Ahad, 21 Julai 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


3 perkara utama majukan Pontian

Posted: 20 Jul 2013 11:14 AM PDT

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
utusanjohor@utusan.com.my

Mohamed Khaled Nordin menyampaikan sumbangan kepada anak yatim dalam Majlis Ramah Mesra dan Berbuka Puasa bersama penduduk di Masjid Jamek Bandar Pontian, kelmarin. - Mingguan/Muhammad Zikri

PONTIAN 20 Julai - Tiga perkara utama akan diberikan tumpuan bagi membolehkan Pontian terus menikmati pembangunan seimbang.

Perkara tersebut ialah penempatan penduduk di beberapa kawasan rizab kerajaan termasuk rizab sungai, pelebaran jalan raya Pontian-Johor Bahru dan memasukkan seluruh daerah itu ke dalam Iskandar Malaysia.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan negeri akan mengusahakan penempatan yang baharu untuk mereka yang mendiami rizab kerajaan dan rizab sungai memandangkan golongan tersebut berdepan dengan risiko banjir, air pasang besar dan pelbagai perkara berkaitan.

"Perkara ini telah dibangkitkan oleh Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon semasa taklimat pembangunan dan jelas ia merupakan keutamaan kepada penduduk yang terlibat dan menjadi harapan pentadbiran daerah untuk melihat tiada lagi penempatan sedemikian pada masa depan sejajar dengan kepesatan pembangunan.

"Kertas kerja mengenai penempatan semula sedang diperincikan oleh Pejabat Daerah Pontian dan diharap dapat dilaksanakan dalam tempoh beberapa tahun ini," katanya semasa berucap dalam Majlis Ramah Mesra dan Berbuka Puasa bersama penduduk di Masjid Jamek Bandar Pontian, di sini semalam.

Dalam majlis itu turut disampaikan sumbangan sempena Ramadan kepada 100 penerima yang terdiri daripada anak-anak yatim, saudara baharu, pelajar institusi pengajian tinggi, hafiz al-Quran, ibu tunggal serta golongan kurang berkemampuan.

Mohamed Khaled berkata, pelebaran jalan Pontian-Johor Bahru melalui bandar Pekan Nanas juga penting bagi mengatasi masalah kesesakan terutama pada waktu puncak yang menjadi keluhan penduduk daerah ini yang berkerja di Johor Bahru, Nusa Jaya, Gelang Patah dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).

Mercun, rokok seludup bernilai RM15,000 dirampas

Posted: 20 Jul 2013 11:14 AM PDT

Zainuddin Yaacob (dua, kanan) menunjukkan mercun yang berjaya dirampas dari sebuah bazar Ramadan dalam sidang akhbar di Balai Polis Majidee, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 20 Julai - Polis menahan empat lelaki dan merampas mercun serta rokok bernilai RM15,000 dalam serbuan di sebuah bazar Ramadan dan sebuah rumah di Kampung Melayu Majidee di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, dalam serbuan di bazar Ramadan kelmarin, pihaknya merampas mercun dan bunga api bernilai RM8,000.

Katanya, dalam serbuan semalam pula, pihaknya merampas pelbagai jenis rokok bernilai RM7,000 di sebuah rumah.

"Dalam dua serbuan itu, kita menahan empat lelaki berusia 22 hingga 53 tahun," katanya dalam sidang akhbar di balai Polis Majidee di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua mereka yang ditahan itu ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 74 Akta Bahan Letupan dan Kakisan 1973 dan Akta Kastam 1967 bagi kesalahan menyeludup rokok.

Zainuddin seterusnya memberitahu, pihaknya akan meningkatkan penguatkuasaan menerusi operasi ke atas pembekal atau individu yang menjual mercun.

"Saya juga meminta ibu bapa memantau anak masing-masing supaya tidak terlibat membakar mercun atau membuat mercun buatan sendiri," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved