Ahad, 21 Julai 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


CUEPACS mahu penjawat awam lebih berdedikasi laksana tugas

Posted: 20 Jul 2013 11:08 PM PDT

KUALA BESUT 21 Julai - Penjawat awam digesa meningkatkan dedikasi selain ikhlas dalam melaksanakan tugas selaras dengan pelbagai kemudahan dan insentif yang diberi kerajaan kepada mereka.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, mereka juga perlu mengubah minda daripada menumpukan perhatian terhadap tuntutan kebajikan kepada membantu kerajaan meningkatkan sistem penyampaian.

"Penjawat awam dituntut mahir dalam peranan mereka bagi membantu kerajaan yang telah banyak melayan pelbagai tuntutan yang dikemukakan yang tidak selalu diperoleh di negara lain," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau turut menasihatkan penjawat awam menjalani pemeriksaan kesihatan apabila umur mencecah 40 tahun bagi memastikan mereka berada dalam keadaan yang terbaik untuk terus berkhidmat sehingga umur persaraan.

"Kita tidak mahu ada penjawat awam yang tidak sihat tetapi masih meneruskan perkhidmatan mereka sehingga 60 tahun yang pasti tidak akan membantu dalam meningkat prestasi perkhidmatan awam," katanya.

Aman Palestin rayu sumbangan baik pulih Masjid Al-Aqsa

Posted: 20 Jul 2013 11:22 AM PDT

Oleh MOHD. HAZLI HASSAN

BANGI 21 Julai - Badan amal membantu rakyat Palestin, Amal Palestin Berhad (Aman Palestin) merayu rakyat Malaysia untuk menyumbang dalam membantu membaik pulih Masjid Al-Aqsa di Tebing Barat, Palestin.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Sufian Awang Piut berkata, sehingga kini pihaknya berjaya berkerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) di Tebing Barat untuk menyalurkan dana membaik pulih Masjid Al-Aqsa.

"Alhamdulillah, malam ini sahaja kita berjaya mengutip sumbangan RM60, 000 untuk program Iftar Amal Sempena Membaik Pulih Masjid Al-Aqsa.

"Malah sehingga kini kita berjaya menghantar kira-kira RM750,000 ke Palestin termasuk RM320,000 dihantar ke Gaza, RM256,000 ke Masjid Al-Aqsa dan RM96,000 ke khemah-khemah pelarian rakyat Palestin di Lebanon," katanya selepas program Iftar Amal anjuran Aman Palestin dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Cawangan Hulu Langat di sini malam tadi.

Awang Sufian turut berkata, pihaknya mendapat kerjasama Muasasah Al-Quds, NGO di bawah Syeikh Raed Solah, Baitul Zakat Jenin dan Jamiatul Nisa' Dr. Iqrimah Sobri untuk menyalurkan dana ke Masjid Al-Aqsa.

Ini kata beliau membolehkan NGO-NGO tersebut membeli peralatan pembersihan dan keperluan lain untuk proses membaik pulih Masjid Al-Aqsa.

"Israel sedang berusaha untuk memusnahkan kompleks Masjid Al-Aqsa sejak tahun 1967.

"Jadi, keperluan untuk mengimarahkan Al-Aqsa perlu ada untuk menghalang tindakan itu berterusan. Namun mereka memerlukan dana ekoran rakyat Palestin masih tertindas di negara sendiri.

"Kerjasama yang kita peroleh dengan NGO-NGO di Tebing Barat memudahkan dana disalurkan terus ke Al-Aqsa," katanya.

Terdahulu pada program Iftar Amal itu juga, Isma Cawangan Hulu Langat turut menyerahkan sumbangan RM30,000 kepada imam Gaza, Sheikh Walid Mustafa Salim.

Selain itu, Aman Palestin turut meraikan 93 anak-anak yatim dari Rumah Amal Belaian Kasih, Ampang dan Rumah Peribadi Mulia, Kajang.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Aman Palestin melalui laman web

3 parti Cina BN bergabung

Posted: 20 Jul 2013 11:14 AM PDT

Oleh muzdalifah mustapha
pengarang@utusan.com.my

Chang Ko Youn

KUALA LUMPUR 20 Julai - Gerakan, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) akan mengadakan perbincangan rasmi tentang pembentukan satu parti baharu yang berasaskan kaum Cina selepas kesemuanya selesai mengadakan pemilihan.

Pemangku Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn berkata, perbincangan yang julung kali akan diadakan itu menjurus kepada kepentingan untuk mewujudkan satu entiti parti kaum Cina yang menggabungkan kesemua parti Cina dalam Barisan Nasional (BN).

''Saya bersama Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan Presiden SUPP, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui telah berbincang tentang perkara ini beberapa kali sebelum ini. Bagaimanapun keputusan tentangnya perlu dicapai hanya selepas semua parti memilih barisan kepimpinan yang baharu, mungkin selepas Oktober.

''Sekarang yang penting, MCA perlu memperbaiki isu dalaman, Gerakan juga. Untuk mewujudkan sebuah parti baharu bukan semudah yang disangka, bukan MCA masuk Gerakan dan Gerakan masuk MCA. Kita berbeza. Ini yang perlu dibincangkan,'' katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Ko Youn berkata, dalam usaha untuk menggabungkan kesemua parti yang ada kini semua pihak perlu memikirkan tentang satu parti untuk semua kaum memandangkan keahlian Gerakan dan SUPP bukan sahaja terdiri daripada kaum Cina tetapi Melayu, India, Kadazan dan Iban.

Sehubungan itu katanya, di samping mewujudkan satu parti baharu berasaskan kaum Cina, cadangan untuk mewujudkan satu parti baharu berasaskan semua kaum amat perlu atau hanya satu parti iaitu BN.

Terdahulu Ko Youn yang mempengerusikan mesyuarat Gerakan hari ini memberitahu, pihaknya mencadangkan kepada kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya menggantikan penggunaan dakwat kekal kepada sistem biometrik semasa pilihan raya akan datang.

Kata beliau, menerusi sistem biometrik kerajaan BN bukan sahaja boleh membantu membersihkan nama SPR daripada mendapat kecaman pelbagai pihak, sebaliknya meningkatkan keupayaan Jabatan Pendaftaran Negara.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan orang ramai terutama mereka yang telah berhijrah dan menetap di kawasan berdekatan tempat bekerja hanya mengundi pada pilihan raya di kawasan tersebut dan bukannya di kampung halaman masing-masing.

''Mereka digalakkan untuk menukar alamat dalam kad pengenalan mengikut kediaman mereka sekarang dan bukan alamat kampung lagi. Dengan cara ini dapat memberi keadilan kepada calon yang bertanding.

''Bayangkan mereka yang menetap di Petaling Jaya tetapi apabila mengundi pulang ke Kuala Kangsar. Sudah pasti mereka tidak kenal calon di Kuala Kangsar dan tidak tahu isu yang melanda orang tempatan. Jika mereka salah memberi undi tidak adil pada orang tempatan dan calon,'' katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved