Rabu, 26 Jun 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Persiap diri masuki alam pekerjaan

Posted: 25 Jun 2013 12:10 PM PDT

Oleh Nursuraya Zulkifli
utusanmelaka@utusan.com.my

SEBAHAGIAN pelajar IPT Melaka yang menyertai Seminar Melangkah Ke Alam Kerjaya, di Melaka, baru-baru ini.

MELAKA 25 Jun - Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) disaran supaya mempersiapkan diri termasuk kemahiran berfikir secara kritikal bagi menghadapi cabaran dunia pekerjaan selepas menamatkan pelajaran nanti.

Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Datin Munirah Abdullah Bajanuddin berkata, persiapan itu membolehkan mereka memenuhi cabaran dan meninjau peluang pekerjaan yang disediakan bukan sahaja berbekalkan ilmu akademik tetapi juga berdasarkan bakat dan kebolehan yang dimiliki.

Katanya, hal berkenaan merupakan dimensi pemikiran baru yang perlu dimiliki oleh bakal-bakal graduan untuk lebih berdaya saing sebelum melangkah ke alam kerjaya.

"Graduan yang melengkapi diri mereka dengan kemahiran tertentu termasuk cara berkomunikasi adalah lebih diperlukan untuk terlibat dalam mana-mana sektor pekerjaan.

"Jika dilihat pada masa ini, isu mengenai pengangguran di kalangan siswazah belum menemui jalan penyelesaian kerana masih banyak lepasan universiti tidak mendapat pekerjaan," katanya semasa merasmikan Seminar Melangkah Ke Alam Kerjaya di sini, baru-baru ini.

Yang hadir sama, Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Melaka, Noor Hisamsol Md. Sidik dan Pengarah Bahagian Pembangunan Kapasiti, Shahnaz Shahizan.

Majlis anjuran pejabat Pembangunan Wanita Negeri Melaka ini dihadiri kira-kira 250 peserta melibatkan pelajar-pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknikal Melaka (UTeM) serta pelajar-pelajar dari kolej komuniti.

Dalam pada itu, Munirah turut mengingatkan mahasiswa supaya tidak hanya mengharapkan pihak universiti atau kerajaan sahaja untuk membantu mereka memperolehi pekerjaan sebaliknya pelajar juga perlu memenuhi tuntutan itu sendiri.

"Sehubungan itu, para pelajar perlu meningkatkan pengetahuan dalam bidang-bidang berkaitan, memahami matlamat kerjaya yang ingin dituju serta merancang bagaimana dapat meningkatkan kemahiran serta pencapaian dalam kerjaya pada masa hadapan," katanya.

Katanya, antara perkara lain yang dapat memperkukuhkan dan memberi kelebihan kepada graduan ialah berkaitan dengan kemahiran insaniah, misalnya dalam penguasaan bahasa kedua, komunikasi kerja berpasukan dan penampilan.

Jerebu: Siap sedia rawat pesakit

Posted: 25 Jun 2013 12:10 PM PDT

Oleh ARHIZA AHMAD
utusanN9@utusan.com.my

PEMANDANGAN sekitar bandar Seremban yang berjerebu, semalam.

SEREMBAN 25 Jun - Semua hospital dan klinik kerajaan di negeri ini diminta berada dalam keadaan siap sedia berikutan keadaan jerebu yang melanda negara ketika ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zailan Adnan berkata, sejak jerebu melanda jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan berkaitan masalah pernafasan meningkat sebanyak 10 peratus.

Menurutnya, peningkatan itu membabitkan semua hospital dan klinik termasuk klinik swasta di negeri ini.

"Kebanyakan pesakit mengadu mengalami masalah kesihatan yang dipercayai berpunca daripada jerebu.

"Mereka ini mengalami masalah pernafasan, batuk dan pedih mata," katanya di sini hari ini.

Dr. Zailan berkata, mereka yang mengalami masalah kesihatan seperti lelah dan warga emas tidak digalakkan melakukan aktiviti luar.

Tambahnya, hospital akan dipastikan mempunyai kakitangan dan ubat-ubatan mencukupi dalam usaha memberi rawatan awal kepada pesakit.

Kata beliau, pihaknya turut mengedarkan penutup mulut dan hidung secara percuma kepada pesakit di klinik kesihatan.

"Orang ramai yang berada di luar rumah diingatkan menggunakan penutup mulut dan hidung bagi mengelak terhidu udara tidak bersih," katanya.

i-INOVA tampil inovasi OKU

Posted: 25 Jun 2013 12:10 PM PDT

SEREMBAN 25 Jun - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Akademi Sains Malaysia (ASM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kementerian Pendidikan akan mengadakan Program Ekspo Inovasi Islam (i-INOVA) pada 25 hingga 27 Oktober ini.

Program kali keempat yang turut mendapat kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Persatuan Saintis Malaysia (Perintis) itu akan diadakan di Stadium Tertutup Nilai dekat sini.

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) USIM dalam kenyataan di sini hari ini berkata, i-INOVA tahun ini mempunyai keistimewaan tersendiri sebagai platform penghasilan produk dan inovasi berlandaskan syariah untuk pasaran global selain penampilan kreativiti golongan orang kurang upaya (OKU).

"Dalam konteks OKU, Jawatankuasa Penganjur menetapkan sasaran agar produk inovasi yang dihasilkan dapat membantu memudahkan urusan harian dan meningkatkan produktiviti golongan OKU," demikian menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menjelaskan, bagi membantu mengkomersialkan inovasi dan produk yang dipertandingkan, program Business Matching juga akan diadakan bagi mengkomersialkan produk-produk yang berpotensi dipasarkan dengan kerjasama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Dalam masa sama, tambahnya, pihak penganjur turut mengadakan pertandingan inovasi untuk pelajar sekolah iaitu Pertandingan Tunas Cipta.

"Mereka yang berminat atau ingin mengetahui maklumat lanjut boleh menghubungi urus setia i-INOVA di talian 06-7986510/6505 atau e-mel najwa@usim.edu.my; anazrul84@ussim.edu.my; asri@usim.edu.my atau kamal@usim.edu.my," demikian menurut kenyataan itu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved