Utusan Online - Keluarga |
Posted: 25 Jun 2013 11:38 PM PDT Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA Nurul Awanis Ariffin dan Kapten Mohd. Hafidz Shamsir Md. Nasir diarak dengan diiringi anggota pasukan pembawa pedang. Baharu berkahwin sudah berpisah. Jangan pula salah sangka, mereka sekadar berpisah rumah kerana tuntutan kerja masing-masing. Itulah hakikat yang terpaksa dilalui pengantin baru pasangan juara Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia Musim Ke-4, Nurul Awanis Ariffin dan pasangannya, Kapten Mohd. Hafidz Shamsir Md. Nasir, apabila buat sementara ini terpaksa tinggal berjauhan. Nurul Awanis akan menyambung tugasnya sebagai pengendali dokumen di sebuah syarikat swasta di Shah Alam, Selangor. Manakala Mohd. Hafidz akan kembali ke Institut Latihan Tentera Udara di Ipoh, Perak, sebagai Pegawai Latih di Skuadron Latihan Perajurit Muda. Buat masa terdekat ini mereka hanya menjadi pasangan suami isteri 'hujung minggu'. "Memanglah sedih sebab terpaksa berjauhan walaupun sudah bergelar suami isteri. Tetapi saya percaya ini bersifat sementara. "Saya akan cuba untuk mohon berpindah. Jika tidak ada pilihan mungkin salah seorang terpaksa berhenti kerja," kata Mohd. Hafidz. Ditanya mengenai cahaya mata, pasangan yang masing-masing berusia 26 tahun itu, mengakui tidak mahu menunggu lama malah sudah bersedia jika ditakdirkan memperoleh zuriat dalam tempoh terdekat. "Kami tidak bercadang untuk merancang. Sebaliknya lagi cepat dapat anak lagi bagus. Itu antara tujuan kita berkahwin, untuk melengkapkan hidup dengan zuriat yang bakal menyerikan rumah tangga," kata Mohd. Hafidz yang mengimpikan sekurang-kurang empat cahaya mata. Dalam pada itu penangan gelaran juara memberi sedikit kejutan apabila majlis persandingan pasangan tersebut 'diserbu' tetamu yang melimpah-ruah. Seawal pukul 10.30 pagi, 10 khemah berbumbung ala Arab cantik dengan hiasan scallops putih dan lampu candelier yang disediakan oleh penaja, Mastar Catering dipenuhi tetamu yang bertali-arus. Walaupun persandingan Nurul Awanis dan Mohd. Hafidz hanya berlangsung pada pukul 1.30 petang, para tetamu dilihat tidak berganjak. Malah sebaik sahaja selesai menikmati hidangan, masing-masing kelihatan berlegar-legar di kawasan sekeliling sementara menantikan kehadiran pengantin lelaki. Cuaca panas terik sedikit pun tidak menjadi halangan kepada para tetamu untuk melihat dengan lebih dekat pasangan raja sehari bersanding di atas pelamin indah rekaan Izzuddin Karso dari Precious Moments Collection. Persandingan pasangan yang sama cantik dan sama padan itu menyaksikan Nurul Awanis begitu ayu, anggun, dan elegan dalam persalinan Muslimah moden rekaan Dios Astana Bridal. Mohd. Hafidz pula lengkap dengan pakaian istiadat nombor satu Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Mereka turut melakar sejarah tersendiri apabila diraikan dalam upacara persandingan yang penuh dengan adat istiadat ketenteraan, upacara silang pedang oleh 12 anggota lengkap berpakaian seragam dari Pangkalan Udara Butterworth dan Pangkalan Udara Subang. Acara dimulakan dengan perarakan masuk pasangan pengantin sambil diiringi tiupan bagpipe dan kemudiannya menuju ke pelamin Upacara unik itu yang merupakan istiadat rasmi dalam TUDM hanya dapat disaksikan pada majlis perkahwinan yang melibatkan anggota atau pegawai TUDM sahaja. Malah itu adalah amalan bagi pegawai atau anggota tentera semasa melangsungkan perkahwinan. Yang pasti, majlis persandingan kedua-dua mempelai yang berlangsung di rumah pengantin perempuan di Kampung Bahagia, Teluk Intan, Perak itu berlangsung dalam suasana yang penuh gilang gemilang. Mengetengahkan tema warna coklat keemasan, Nurul Awanis dan Mohd. Hafidz ceria menyambut para tetamu yang hadir meraikan hari bersejarah mereka. Majlis perkahwinan pasangan itu turut diserikan lagi dengan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan isteri, Datin Hilmiah Abd. Hamid serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong, Mohd. Azhar Jamaluddin. Hadir sama pada majlis tersebut Penolong Ketua Pengarang II Kumpulan Utusan, Ahmad Abdul Hamid , Pengarang Mega, Aznan Bakar dan Pengarang Keluarga, Siti Zaleha Jorimai. Seri pengantin nyata terserlah dengan tata rias dan solekan hasil sentuhan jejari Norhaniza Abdul Hadi dari Afidah Khamis Make Ups and Stuff. Seperti kelaziman majlis perkahwinan, pasangan pengantin itu tidak terkecuali daripada acara merenjis oleh ahli keluarga terdekat dan juga tetamu kehormat. Sebaik sahaja selesai acara merenjis, keunikan majlis diteruskan lagi dalam upacara memotong kek. Tidak menggunakan pisau seperti pasangan mempelai yang lain, Nurul Awanis dan Mohd. Hafidz memotong kek perkahwinan mereka dengan menggunakan pedang. Apa yang boleh dikatakan lagi. Segala-galanya penuh keunikan dan setiap detik bersejarah itu dirakam melalui bidikan kamera Eddie Esa dan rakan-rakannya dari Sweet & Sour Photo Design. Sebaik sahaja upacara selesai, kedua-dua mempelai menjamu selera di meja makan beradab sambil ditemani kedua-dua ibu bapa masing-masing serta tetamu kenamaan. Sebelum itu, pada sebelah malamnya pasangan itu telah selamat dinikahkan di rumah pengantin perempuan. Hanya dengan sekali lafaz, Nurul Awanis sah menjadi isteri Mohd. Hafidz yang dinikahkan sendiri bapa pengantin perempuan, Ariffin Zakaria. Pasangan itu yang mengambil masa lebih setahun sebelum mengambil keputusan untuk lebih serius dalam perhubungan, tidak pernah menyangka cubaan pertama menyertai Peraduan Gerbang Cinta membuahkan hasil. Ketika ditemui selepas majlis berlangsung, Nurul Awanis memberitahu, dia amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan majlis persandingan tersebut. Jelas anak sulung daripada empat beradik itu, tanpa sokongan padu daripada semua, majlis tersebut tidak dapat dijayakan dengan penuh meriah. "Alhamdulillah, walaupun persiapan dilakukan dalam tempoh yang singkat dan dalam keadaan sedikit kelam kabut, akhirnya majlis persandingan ini berlangsung juga. "Sebenarnya kehadiran tetamu hari ini (Ahad) adalah di luar jangkaan. Apa pun kami cukup berterima kasih dengan semua tetamu yang hadir memeriahkan majlis perkahwinan ini. "Yang pasti apa yang diimpikan telah menjadi kenyataan dan diraikan dalam majlis penuh bermakna," ujarnya. Ditanya mengenai bulan madu, Nurul Awanis berkata, destinasi yang ditaja oleh Poto Travel iaitu ke Korea Selatan memang menjadi idaman mereka berdua. Begitupun, mereka belum menetapkan tarikhnya kerana perlu menyelesaikan majlis persandingan di sebelah Mohd. Hafidz pada 29 Jun ini di Subang Jaya, Selangor. Apa pun majlis persandingan pasangan juara ini mendapat sokongan padu daripada semua penaja seperti Mastar Catering yang menaja jamuan dan kelengkapan khemah, Precious Moments Collection (pelamin dan hiasan meja makan), Afidah Khamis Make Ups and Stuffs (solekan), CJ Print (kad kahwin), Dios Astana Bridal (pakaian pengantin), D'Sayang Entertainment (sistem siar raya), Sweet and Sour Photo Design (fotografi) dan Eja Shahril (tudung pengantin) Turut menaja Poto Travel Sdn. Bhd. (pakej bulan madu), Suri Permai Spa (spa) dan Kampung Pengantin (lokasi dan jamuan). |
Resah anak jadi pengedar dadah Posted: 25 Jun 2013 11:38 PM PDT Oleh Siti Aishah Yusoff Setiap hari Sufiah, 63, berdoa agar anak perempuan tunggalnya Lisa, (bukan nama sebenar) ,30, bersama suaminya akan berubah ke arah jalan hidup yang lebih baik. Dia mengakui setelah mengetahui jalan hitam yang dipilih anak dan menantunya itu sejak dua tahun lalu, gara-gara ingin hidup mewah dengan jalan singkat menyebabkan hati tuanya sentiasa berduka setiap hari apabila mengenangkan nasib mereka. Keadaan dirinya yang semakin uzur tambahan dia juga mempunyai penyakit kencing manis menyebabkan sebahagian pergelangan kakinya terpaksa dipotong sehingga pergerakan agak terbatas. Biarpun dia masih berkemampuan menguruskan diri sendiri, adakala cucunya yang masih kecil berumur enam dan lima tahun datang menjenguk setiap hari kerana jarak rumah mereka yang tidak jauh dari teratak usangnya. Kehadiran mereka berdua sedikit sebanyak dapat menghilangkan perasaan sunyi tatkala bersendirian. Nak diharapkan Lisa, jarang sekali dia datang menjenguk ibu tua itu. Dalam sebulan mungkin sekali atau dua sahaja dia bertandang walaupun jarak rumah mereka tidak sampai sedepa. Sufiah terpaksa tinggal keseorangan di rumah tersebut setelah hampir lima tahun kematian suaminya. Namun, sebelum itu anak perempuannya turut tinggal bersamanya sebelum mereka keluar dan berpindah berdekatan dengan rumahnya empat tahun lalu. Bercerita lanjut, dia mengakui, apabila memikirkan kebajikan dan nasib kedua cucunya itu dia berasa sedih kerana anak perempuannya bersama-sama menantunya tersalah memilih jalan hidup. Kedua-dua mereka kini tidak bekerja. Tetapi kehidupan mereka mewah dengan hasil jualan dadah yang bermula sejak tiga tahun lepas. "Wang yang diperoleh untuk membesarkan anak-anak mereka adalah wang haram. Apatah lagi, wang tersebut jugalah yang dibekalkan setiap bulan kepada saya untuk berbelanja dan membeli ubat-ubatan. "Saya tiada punca pendapatan. Hanya ehsan mereka yang memberikan bantuan wang setiap bulan untuk belanja. "Saya tiada pilihan untuk menolaknya walaupun dalam hati hanya tuhan sahaja yang tahu. Hendak harapkan bantuan memang tiada lagipun hanya seorang anak dimiliki" katanya. Ujar Sufiah, sebelum anak dan menantu terlibat dalam dunia gelap tersebut, kedua-duanya bekerja di salah sebuah hotel yang terletak berdekatan dengan pusat bandar. "Kehidupan mereka dahulu dan sekarang sangat berbeza. Mereka dahulu hidup tidak semewah hari ini. Boleh dikatakan bekerja di hotel hanya untuk cukup menyara perbelanjaan bulanan sahaja. Untuk bermewah dan memberi barangan mahal jauh sekali. Dahulu, kata Sufiah, jika kesempitan wang dia menjadi tempat mereka meminjam wang hasil pekerjaan sebagai tukang cuci. "Namun, selepas menghidap penyakit kencing manis, keadaan tidak lagi mengizinkan untuk terus bekerja," katanya. Namun, sejak akhir ini katanya, apabila anak dan menantunya itu terlibat dengan menjual dadah, hidup mereka sudah berubah. Kalau dahulu hanya mampu memiliki sebuah kereta buatan tempatan yang murah, kini mereka tiada masalah untuk berbelanja besar. "Walaupun mereka kelihatan senang dengan kehidupan sekarang, tetapi saya risau kerana wang yang menjadi darah daging untuk membesarkan anak-anak mereka itu haram dan tidak berkat," jelasnya. Ujarnya, bukan dia tidak pernah menasihati anak dan menantunya untuk kembali ke pangkal jalan, tetapi setiap kali butir bicara keluar dari bibir tuanya, hanya tohmahan dan nada bengis anaknya yang didengari. "Pernah beberapa kali saya dimarahi anak perempuan apabila menegur kesilapannya. Namun, dia meminta saya tidak mempersoalkan dari mana hasil wang yang diperolehinya. "Malah, dia menyuruh saya menerima wang tersebut dan berbelanja tanpa memikirkan kesannya pada diri. Ujarnya jika beliau tidak memberikan wang mana mungkin mak cik dapat meneruskan kehidupan seperti hari ini," kata Sufiah. Dalam nada sedih, Sufiah akui aktiviti tidak bermoral yang didalangi oleh anak dan menantunya lambat laun akan diketahui oleh orang kampung. "Setiap hujung minggu rumah mereka menjadi tumpuan anak-anak muda untuk melepak dan menghabiskan masa sehingga lewat malam. "Berdasarkan permerhatian, kebanyakan mereka yang menjadi pelanggan tetap adalah dalam kalangan anak-anak muda yang menetap di kampung. Sebahagian mereka menganggur dan masih muda remaja," katanya. Tambah Sufiah, mengenangkan keadaan yang menimpa keluarganya, beliau akui risau dengan masa depan kedua-dua cucunya yang sedang membesar. "Jika ditakdirkan aktiviti haram anak dan saya dihidu oleh pihak berkuasa, pasti mereka berdua akan ditangkap dan dijatuhi hukuman yang setimpal. "Bagaimana nasib kedua-dua cucu untuk meneruskan kehidupan mereka tanpa ibu dan ayah. Tambahan mereka juga tiada tempat lain untuk mengadu nasib selain dengan saya,' katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan