Selasa, 9 April 2013

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Bachok pusat longgokan sampah?

Posted: 08 Apr 2013 12:55 PM PDT

Pusat pelupusan sampah di Kampung Beris Lalang di Bachok yang menerima sampah dari Kota Bharu dan lain-lain daerah telah menimbulkan rasa rimas dan tidak puas hati penduduk di kawasan berkenaan.

BACHOK 8 April - Pemimpin Pas perlu membuktikan kepada rakyat Bachok mengenai pencapaian dan kemajuan Pantai Irama dekat sini yang telah diangkat sebagai pusat pelancongan Islam oleh kerajaan Pas Kelantan.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Dr. Ilias Husain berkata, ketika ini tiada sebarang petunjuk bagi menggambarkan Pantai Irama merupakan pusat pelancongan Islam sebagaimana diuar-uarkan oleh kerajaan Pas Kelantan.

Beliau berkata, sebaliknya daerah ini telah dijadikan 'pusat' pembuangan sampah dari bandar Kota Bharu dan daerah sekitar yang dibuang di Kampung Beris Lalang dekat sini.

Keadaan itu jelas beliau, telah menjejaskan penduduk setempat sehingga mereka bertindak menghantar memorandum bantahan kepada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini.

"Namun tidak ada sebarang tindakan susulan oleh kerajaan. Malah, pemimpin kerajaan negeri juga tidak melayan permintaan penduduk supaya datang melawat kampung atau tinggal bersama mereka untuk turut sama menghidu bau busuk dan menghadapi serangan lalat," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas berceramah di Kampung Beris Lalang, dekat sini malam tadi.

Ilias berkata, pembangunan Pantai Irama yang menjadi ikon bandar Bachok banyak dibantu oleh Kerajaan Pusat yang turut menyalurkan peruntukan jutaan ringgit bagi menambak pantai yang musnah akibat hakisan pada setiap tahun.

Kata beliau, hasrat penduduk Kampung Beris Lalang untuk memindahkan pusat pelupusan sampah itu akan diselesaikan sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya menawan kembali kerajaan negeri.

Menurutnya, kawasan seluas 121.4 hektar yang sebahagiannya digunakan sebagai tempat membuang sampah akan dijadikan kawasan perumahan rakyat, lengkap dengan projek industri hiliran dan kilang bagi manfaat penduduk miskin.

"Masalah sampah, tanah yang masih luas terbiar dan lain-lain kemudahan tidak dapat dibangunkan jika rakyat masih belum insaf terhadap keperitan dan kesukaran yang terpaksa mereka hadapi sepanjang 23 Pas mentadbir Kelantan," kata beliau.

Tanah runtuh ancam penduduk Ayer Lanas

Posted: 08 Apr 2013 12:55 PM PDT

Mamat Samat (kiri) menunjukkan tanah di belakang rumahnya yang runtuh akibat hakisan yang didakwa berlaku sejak tahun lalu ketika ditemui di Kampung Ayer Lanas, Jeli, Kelantan, kelmarin.

JELI 8 April - Sebanyak 10 keluarga di Kampung Ayer Lanas Blok Tanah Merah dekat sini bimbang rumah mereka roboh ekoran tanah runtuh akibat hakisan yang didakwa berlaku sejak setahun lalu.

Penduduk terbabit mendakwa, hakisan ekoran aliran air longkang dari jalan berhampiran telah menyebabkan tebing di kawasan itu runtuh dan runtuhan tersebut dikatakan semakin menghampiri rumah mereka.

Sehubungan itu, mereka menggesa pihak berkenaan segera mengambil tindakan bagi mengelak sebarang musibah termasuk kehilangan harta benda dan nyawa.

Seorang penduduk, Mamat Samat, 74, mendakwa, limpahan air longkang dari jalan besar berhampiran menyebabkan struktur tanah di kawasan itu semakin tidak stabil sehingga berlaku tanah runtuh.

Mamat mendakwa, meskipun keadaan itu telah berlarutan sejak tahun lalu, namun belum ada penyelesaian konkrit diambil oleh kerajaan negeri.

"Banjir yang melanda di sini baru-baru ini, menyebabkan tebing bukit berhampiran terhakis teruk," dakwanya ketika ditemui di rumahnya, di sini semalam.

Sementara itu, Nor Azlina Zukefli, 29, memberitahu, bahagian belakang rumahnya yang didiami sejak 10 tahun lalu kini terletak kurang dua meter dari cerun tebing berkenaan dan berkemungkinan roboh pada bila-bila masa sekiranya hujan lebat melanda kawasan itu.

"Saya tidak mampu berbuat apa-apa kecuali berdoa supaya tidak ada lagi banjir dan hujan lebat selepas ini. Kami sekeluarga tidak tidur sepanjang malam pada musim banjir baru-baru ini kerana khuatir keselamatan dan kehilangan harta benda.

"Mahu baiki sendiri tebing bukit yang runtuh sememangnya saya tidak berkemampuan untuk berbuat demikian," katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Ayer Lanas, Alias Salleh berkata, masalah yang dihadapi penduduk terbabit akan dimaklumkan kepada pihak berkenaan untuk membolehkan tindakan dilakukan segera.

"Selain rumah penduduk yang terancam, masalah longkang yang menjadi punca hakisan itu juga akan dimaklumkan kepada pihak berkenaan," katanya.

Lebih 300 sertai Berjalan Kaki Bersama Keluarga di Besut

Posted: 08 Apr 2013 12:55 PM PDT

idris Jusoh (barisan kedua, dua dari kanan) berjalan bersama orang ramai dan pemimpin tempatan dalam Program Berjalan Kaki Bersama Keluarga anjuran UMNO Bahagian Besut di Besut, Terengganu, kelmarin.

BESUT 8 April - Lebih 200 orang terdiri daripada para ibu bapa dan anak-anak menyertai Program Berjalan Kaki Bersama Keluarga sejauh 2.5 kilometer anjuran UMNO Bahagian Besut semalam.

Program yang bermula di Kem Seri Keluang itu diketuai Ketua UMNO Bahagian Datuk Seri Idris Jusoh dan turut dihadiri Naib Ketua UMNO Bahagian, Muhammad Pehimi Yusof dan Setiausaha Bahagian, Dr. A. Rahman Mokhtar.

Selain itu, Ketua Wanita Bahagian, Engku Naimah Engku Taib dan Ketua Pemuda Bahagian, Mohd Mahadi Musa turut bersama kepimpinan bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri serta orang ramai memeriahkan program tersebut.

Sebelum memulakan acara berjalan kaki mengelilingi kawasan perkelahan Pantai Bukit Keluang itu, peserta terlebih dahulu menyertai acara senamrobik.

Penyelaras program, Baharum Said berkata, program itu merupakan salah satu aktiviti rekreasi bagi meningkatkan kecergasan diri di samping mengeratkan hubungan dan kemesraan antara ahli keluarga.

Kata beliau, pendekatan itu boleh mengeratkan hubungan antara ahli dan kepimpinan semua peringkat UMNO Bahagian Besut.

Menurutnya, program itu menjadi sebahagian daripada pendekatan 'turun padang' serta transformasi ke arah menyelami denyut nadi rakyat supaya apa jua permasalahan masyarakat dapat didengar.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved