Jumaat, 19 April 2013

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Merubah wajah daerah Pasir Puteh

Posted: 17 Apr 2013 12:37 PM PDT

Oleh TOREK SULONG
utusankelantan@utusan.com.my

Sebahagian pembangunan perumahan bagi penempatan semula nelayan yang tidak memiliki rumah di Tok Bali, Pasir Puteh.

PASIR PUTEH 17 April - Tiada apa yang boleh dibanggakan oleh rakyat Pasir Puteh sepanjang 23 tahun Pas menerajui pentadbiran kerajaan Kelantan apabila kepimpinan parti itu terbukti gagal membela kebajikan mereka.

Malah, kerajaan Pas negeri juga tidak berkeupayaan membangunkan jajahan ini yang sepatutnya maju sebagai sebuah daerah 'transit' ke negeri Terengganu dan Pahang.

Pasir Puteh merupakan daerah atau jajahan kelima terbesar di Kelantan dengan keluasan 433.8 kilometer persegi dan bilangan penduduk seramai 111, 001 orang (Jabatan Perangkaan: 2005) dan purata isi rumah seramai 5.06 orang.

Sebanyak lapan sub daerah di sini iaitu Limbongan, Bukit Jawa, Bukit Abal, Jeram, Padang Pak Amat, Semerak, Gong Datuk dan daerah Bukit Abal dengan 78 mukim.

Pasir Puteh juga sinonim dengan pantainya yang terletak bertentangan dengan Laut China Selatan iaitu Pantai Bisikan Bayu, Semerak dan Pantai Tok Bali, Tok Bali.

Maka seharusnya kerajaan Pas Kelantan merencanakan projek-projek pembangunan asas dan prasarana untuk rakyat daerah ini yang terkenal dengan sejarah perjuangan Tok Janggut menentang pihak Inggeris.

Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman berkata, pembinaan jalan-jalan kampung atau menurap semula jalan rosak oleh kerajaan Pas negeri sudah cukup menggembirakan rakyat sekiranya dilaksanakan.

Bagaimanapun katanya, tanggungjawab itu terpaksa dipikul Kerajaan Persekutuan yang telah membelanjakan kira-kira RM50 juta bagi membina rangkaian perhubungan jalan kampung untuk keselesaan penduduk.

"Kita tidak pasti sama ada kerajaan Pas Kelantan mempunyai sumber kewangan yang cukup. Tetapi, kerajaan negeri bercadang membina kompleks sukan dan stadium berharga sekitar RM159 juta di Bukit Merbau. Ia dijadikan agenda utama berbanding perkara lain yang lebih diperlukan rakyat.

"Pada saya projek itu barangkali sekadar gimik politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kerana banyak lagi batu asas dan pelancaran projek yang disempurnakan pemimpin Pas tidak menampakkan hasilnya," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Zawawi berkata, kerajaan Persekutuan turut menyediakan kemudahan gelanggang permainan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu di Semerak, Limbongan, Selising dan Gaal bagi kemudahan belia bersukan termasuk gelanggang futsal 1Malaysia dengan kos kira-kira RM1.6 juta.

Menurutnya, bagi rakyat miskin pula, kerajaan melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan pelbagai saluran lain telah memperuntukan sebanyak RM42 juta bagi membaik pulih rumah dan membina semula rumah rakyat bagi tempoh lima tahun lalu.

Jumlah tersebut, jelas Zawawi, tidak termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang membabitkan lebih 37,000 penerima dengan perbelanjaan sebanyak RM17 juta yang diagihkan baru-baru ini.

"Di samping itu terdapat juga usaha membangunkan projek pertanian terutama penanaman padi lima kali setahun yang diyakini akan memberi sumber pendapatan berlipat ganda kepada pesawah, membangunkan semula pengairan dan saliran di Sungai Yong dilaksanakan dengan perbelanjaan sebanyak RM30 juta," katanya.

Projek tersebut, kata Zawawi, memberi manfaat kepada beratus petani di bendang Kemasin-Semerak yang dahulunya mengusahakan tanaman padi secara tradisional dengan mengharapkan sumber air hujan.

Dalam usaha membangunkan syiar Islam di daerah ini pula katanya, kerajaan Persekutuan melalui pelbagai agensi telah membelanjakan kira-kira RM2.5 juta untuk membaik pulih serta menaik taraf 11 buah masjid.

"Ini termasuk kelulusan segera daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri sebanyak RM500,000 kepada Masjid Mukim Pulau Lima yang sudah menyiapkan pembinaan ruangan tambahan awal tahun ini," katanya.

Zawawi berkata, kemenangan selesa BN di Pasir Puteh amat penting untuk menyelaraskan pelbagai agenda membela rakyat seperti masalah peniaga di Pasar Besar, kawasan letak kereta percuma, zon penampan ekonomi setempat dan menjadikan Tok Bali bandar perikanan maju.

Setakat ini, katanya, Tok Bali hanya indah khabar dari rupa kerana segala asas pembangunan di situ dilaksanakan oleh BN dan pihak swasta.

"Hanya baru-baru ini, Pas mengadakan pelancaran rancangan kemajuan kawasan Tok Bali dengan turut memasukkan projek pembangunan beberapa buah sekolah oleh kerajaan Persekutuan yang berdepan masalah debu dan bunyi bising berikutan kerja memunggah bijih.

"Perjanjian persefahaman untuk menswastakan projek telah dilaksanakan, namun ia tidak menampakkan perkembangan sebagaimana diharapkan oleh rakyat," katanya.

Pada ketika kerajaan Pas Kelantan masih terkial-kial untuk melaksanakan projek tersebut, kerajaan Persekutuan pula kata Zawawi, sedang melaksanakan projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) melibatkan peruntukan sebanyak RM2 bilion yang bakal memacu pembangunan daerah ini.

"Projek itu nanti bakal memberi tempias keuntungan kepada rakyat Pasir Puteh dalam pelbagai sudut termasuk peluang pekerjaan, perkhidmatan, agro pelancongan dan lain-lain," katanya.

Selain itu kata beliau, kerajaan juga dalam proses membina sebuah sekolah menengah di Sungai Petai melibatkan kos kira-kira RM15 juta bagi kemudahan pelajar di kampung berhampiran.

Pembinaan sekolah menengah vokasional yang mungkin dinaik taraf sebagai kolej vokasional agroteknologi dengan kos sebanyak kira-kira RM110 juta, juga bakal membawa pelbagai limpahan ekonomi kepada Kampung Gong Chokoh dan sekitarnya.

Tak mahu lagi jadi pembangkang

Posted: 17 Apr 2013 12:37 PM PDT

Oleh YULPISMAN ASLI
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 17 April - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengajak ahli parti itu bergerak sebagai sebuah pasukan bagi memastikan kemenangan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Katanya, jentera parti di semua peringkat perlu bersatu bagi mencapai kemenangan seterusnya memenuhi aspirasi rakyat Kelantan yang mahukan perubahan setelah 23 tahun di bawah pentadbiran Pas.

Malah, katanya, semangat setia kawan yang kuat dengan mengutamakan kepentingan parti akan memastikan BN Kelantan memenuhi kehendak Perdana Menteri dengan menyumbang sekurang-kurangnya lapan kerusi Parlimen dan memenangi 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan BN membentuk kerajaan negeri.

Kita mahu pastikan kali ini, setelah parti mengalami tsunami pada 2008, UMNO Kelantan menyumbang sebanyak mungkin kerusi Parlimen untuk BN mentadbir negara dalam keadaan aman sejahtera dan cukup meyakinkan," katanya.

Beliau berucap dalam majlis sempena pengumuman calon-calon BN Kelantan bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 di Bangunan UMNO negeri, di sini semalam.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, BN Kelantan kini berada dalam keadaan yang kukuh dalam memastikan mampu membuat kejutan seperti diharapkan Najib.

Sehubungan itu, beliau meminta setiap ahli BN berpegang kepada sumpah setia memberikan sokongan kepada parti bagi memastikan perubahan-perubahan yang hendak dilakukan dapat dilaksanakan.

Dalam masa sama, Mustapa turut mengajak ahli-ahli parti terutama mereka yang tidak terpilih menghayati sejarah melibatkan panglima perang Islam, Saidina Khalid Ibnu Walid yang dilucutkan jawatan namun tetap berjuang bermati-matian mempertahankan Islam meskipun hanya sebagai askar biasa.

Calon digugur tetap bersama bantu BN

Posted: 17 Apr 2013 12:37 PM PDT

KUALA TERENGGANU 17 April - Sebanyak 11 orang penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di negeri ini digugurkan daripada senarai calon Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Mereka termasuklah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Datuk Mohamed Awang Tera; ADUN Batu Rakit, Khazan Che Mat; ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid; ADUN Bukit Besi, Datuk Din Adam; ADUN Jabi, Ramlan Ali; ADUN Paka, Mohd. Ariffin Abdullah.

Lima lagi ialah bekas ADUN Kuala Berang, Mohd. Zawawi Ismail; ADUN Permaisuri, Abdul Halim Jusoh; Datuk Seri Abdullah Mohamed Zin (Parlimen Besut) dan Mohd. Nor Othman (Parlimen Hulu Terengganu).

Namun mereka yang terlibat menerima keputusan itu dengan sikap 'berlapang dada' malah tidak akan membataskan diri daripada terus berperanan membantu calon BN.

Malah mereka juga telah menjangka kemungkinan tidak akan terpilih untuk bertanding lagi dan keputusan pucuk pimpinan tetap dihormati.

Bagi Abdullah yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, beliau percaya ada hikmah di sebalik pengguguran namanya daripada mempertahankan kerusi Parlimen Besut yang disandangnya sejak dua penggal lalu.

Menurutnya yang juga Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, sebagai 'orang' parti, setiap keputusan yang ditentukan oleh pucuk pimpinan perlu diterima dengan hati yang reda.

"Seperti yang pernah saya beritahu sebelum ini, saya tidak ada masalah jika tidak dicalonkan, lagipun sudah dua penggal saya pegang jawatan ini dan dalam tempoh itu, saya mendapat kerjasama baik daripada semua pihak.

"Oleh itu, rasanya sudah sampai masanya untuk saya berterima kasih kepada mereka yang sebelum ini membantu menaikkan nama saya sehingga pernah menjawat jawatan menteri," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini semalam.

Sehubungan itu, Abdullah berkata, beliau sedia turun padang bagi membantu kempen calon BN.

"Saya rasa, dengan cara inilah saya berpeluang untuk membalas budi mereka yang pernah menyokong saya," ujar beliau.

Mohd. Ariffin, 60, yang menggalas tugas sebagai ADUN Paka sejak dua penggal lalu juga akur apabila namanya tidak lagi tersenarai kali ini.

"Saya percaya pengganti saya mungkin lebih baik dan saya sendiri telah melakukan yang terbaik sejak diberi tanggungjawab sebagai wakil di kawasan ini iaitu mulai 2004 yang lalu,'' katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved