Jumaat, 19 April 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Perginya Srikandi UMNO

Posted: 19 Apr 2013 01:34 PM PDT

Oleh Nurul anuar kari

PADA hari Jumaat, penghulu segala hari dan di ambang permulaan perjuangan untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), UMNO kehilangan seorang lagi srikandi, Tan Sri Aishah Ghani, 90, yang meninggal dunia pada 12.50 tengah hari di Hospital Gleneagles di Kuala Lumpur.

Allahyarham meninggal dunia genap seminggu selepas perginya seorang lagi tokoh politik dan antara pengasas UMNO, Datuk Paduka Fatimah Abdul Majid yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 12 April lalu.

Aishah dilahirkan pada 15 Disember 1923 di Kampung Sungai Serai, Hulu Langat, Selangor dan menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Bukit Raya, Cheras, Selangor.

Beliau seterusnya melanjutkan pelajaran di peringkat menengah di Diniyah Puteri, Padang Panjang, Sumatera Barat, Indonesia dari 1936 hingga 1939 dan memasuki Maktab Perguruan Tinggi Islam di Padang, juga di Sumatera Barat antara 1940 hingga 1943.

Allahyarham kemudian mengejar cita-citanya dengan melanjutkan pelajaran dalam jurusan kewartawanan di Regent Street Polytechnic di London bermula 1955 hingga 1958 sebelum kembali ke tanah air pada 1959 untuk memulakan tugas sebagai wartawan di Berita Harian dan penyunting di Kumpulan Akhbar New Straits Times.

Perkahwinannya dengan Allahyarham Abdul Aziz Abu Hassan sejak 1946 pula dikurniakan empat orang anak, iaitu Shairudin, Mariati, Datuk Astaman dan Zarim.

Penglibatan Allahyarham dalam bidang politik bermula dengan penyertaan dalam Parti Kebangsaan Melayu (PKM) selaku ketua sayap wanitanya, Angkatan Wanita Sedar (AWAS).

Beliau kemudian keluar dari parti tersebut pada 1946 dan menjadi ahli UMNO bermula 1949 di Cawangan Pasar Pudu dan aktif bersama UMNO Kampung Baru setelah diberi tugas sebagai Setiausaha.

Aishah mengundurkan diri dari bidang kewartawanan pada 1963 apabila diangkat menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Naib Ketua Wanita UMNO, di samping menggalas tanggungjawab selaku Setiausaha Pergerakan Wanita UMNO Selangor antara 1960 dan 1972.

Allahyarham juga dilantik sebagai Senator wanita pertama negara pada 1962 dan 1968, seterusnya diberi kepercayaan selaku wanita pertama mewakili Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Antara 1967 hingga 1972, beliau turut menjadi wakil Malaysia ke Persidangan Suruhanjaya Taraf Wanita PBB, sebelum mengambil alih jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia daripada Allahyarham Tan Sri Fatimah Hashim, bermula 1972 sehingga 1984.

Bermula 1973, beliau dilantik menjadi Menteri Kebajikan Masyarakat dan memegang jawatan tersebut selama 11 tahun sebelum menamatkan khidmat sebagai menteri pada 1984.

Allahyarham merupakan individu yang melancarkan Yayasan Kebajikan Negara yang masih berfungsi sehingga sekarang dan menjadi Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO Malaysia sejak 1986.

Antara jawatan lain yang diamanahkan kepada beliau termasuk Pengerusi Koperasi Jaya Murni Wanita Berhad sejak penubuhannya pada 1975; Pengerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (1985-1997), Ahli Jawatankuasa Yayasan Tun Abdul Razak dan Pengerusi Pusat Perlindungan Wanita Darsaadah.

Sepanjang hayatnya, Aishah turut bergiat aktif dalam dunia perniagaan dan turut dianugerahkan pelbagai bintang serta pingat kebesaran, termasuk Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains Politik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2002.

Bermula dari peringkat bawah dalam UMNO, Allahyarham pernah menyatakan telah memberikan yang terbaik sepanjang berjuang di peringkat kebangsaan parti antara 1960 hingga 2004.

Jiwanya yang berkobar-kobar demi bangsa dan negara timbul sejak melihat kepahitan penindasan Jepun di Malaya sehingga mendorong beliau menyertai perjuangan untuk keluar daripada belenggu penjajah, walaupun ketika itu beliau cuma seorang pelajar yang masih muda.

"Sebenarnya politik bukanlah sesuatu yang susah. Cuma ia berkehendakkan ketabahan hati, kejujuran, semangat rela berkorban dan pengetahuan tentang politik serta minat! Kalau ada pengetahuan pun tapi jika tidak ada minat, tidak ada gunanya juga," kata Allahyarham sebelum ini.

Aishah yang telah beberapa kali keluar masuk hospital sebelum ini sekali lagi dimasukkan ke hospital minggu lalu tetapi dikatakan stabil dan masih mampu bercakap walaupun mengalami masalah kesihatan akibat sakit tua.

Beliau bagaimanapun mula kelihatan semakin tidak sihat sejak Khamis lalu dan kemudiannya tidak boleh lagi bercakap sebelum media dimaklumkan cucunya Ahmad Arif Astaman bahawa Allahyarham telah meninggal dunia pada tengah hari sebelum waktu solat Jumaat.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumah No 3, Jalan Kota, Off Jalan Ledang dan dikebumikan pada hari sama di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Asar.

Bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia yang mewarisi jawatan tersebut daripada Aishah, Tan Sri Rafidah Aziz selepas melawat jenazah berkongsi kesedihan dan menyatakan Allahyarham meninggalkan kesan mendalam kepada ramai pihak khususnya golongan wanita di negara ini.

"Saya berasa sangat sedih kerana Kak Esah sudah pergi. Beliau seorang yang kuat bekerja dan banyak membantu dalam memperjuangkan nasib golongan wanita.

"Banyak yang saya perhatikan dan belajar daripada perjuangan serta kerja beliau. Sangat ramah, mesra dan senang bekerja dengannya dan tidak banyak kerenah," katanya.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya di kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.

Pas bereksperimen melalui Husam, Salahuddin

Posted: 19 Apr 2013 01:34 PM PDT

Oleh Zainudin Omar
PENULIS ialah pemerhati sosio politik.

SESETENGAH pihak melihat pencalonan dua Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa ke Parlimen Putrajaya dan Salahuddin Ayub ke Pulai, Johor merupakan kemuncak kepada keyakinan pucuk pimpinan Pas dalam usaha mereka menawan Kerajaan Pusat. Hal ini boleh dilihat daripada kenyataan kedua- dua calon berkenaan, yang menaruh keyakinan bahawa sokongan mereka adalah mantap di kawasan Parlimen berkenaan.

Namun kepada mereka yang mengikuti perkembangan politik di Parlimen Pulai dan Putrajaya, tindakan (pencalonan kedua-duanya oleh Pas Pusat) tidak lebih sekadar percubaan Pas dalam menguji kekuatan sebenar di luar kubu tradisional mereka.

Sebagai sebuah parti yang berpengalaman dalam 13 kali pilihan raya, Pas dilihat terlampau yakin dalam perancangan mereka kali ini. Pulai diwarisi oleh Datuk Nurjazlan daripada bapanya, Datuk Mohamed Rahmat (Allahyarham) manakala Putrajaya secara tradisinya adalah kubu lambang kekuatan UMNO/BN yang akan dipertahankan dengan segala kekuatan.

Ramai yang menganggap taruhan kedua- dua naib presiden itu tidak lebih sekadar 'tikus ujian' kepada Pas. Jika mereka benar-benar serius, parti itu boleh mencalonkan heavyweight mereka ,Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang ataupun Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sesetengahnya pula meletakkan harapan kemenangan kedua-dua orang kuat Pas itu hanya lebih sedikit berbanding peluang Cikgu Fareez Musa melawan Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan ataupun mana-mana calon yang melawan Timbalan Presiden UMNO di Pagoh.

Pandangan lebih nakal melihat pencalonan itu seperti tindakan membunuh karier politik kedua-dua tokoh muda itu. Realitinya di Pulai, penyandangnya Nurjazlan menang selesa dengan majoriti besar 34,926 manakala di Putrajaya penyandangnya Datuk Tengku Adnan memperolehi hampir tiga perempat undi. Kedua-duanya jumlah itu adalah luar biasa, lebih-lebih lagi jika dilihat dalam konteks dan suasana PRU 2008.

Hal ini lebih jelas jika dikaitkan dengan pencalonan Husam. Sebaik sahaja nama beliau naik, orang pertama yang menyambut Husam ialah Syed Azidi Aziz, ataupun lebih dikenali sebagai Kickdefella, blogger yang juga merupakan bekas orang kanan beliau sendiri. Mengikuti kisah persahabatan dan kemudiannya keretakan antara mereka berdua mungkin boleh menjadi asas di sebalik pencalonan Husam di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu. Meneliti kronologi isu-isu di blog Kickdefella menjelaskan bahawa isu yang mengelilingi Husam terlalu banyak. Husam bukan lagi personaliti yang penuh potensi sewaktu didesas-desus sebagai pengganti Nik Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan suatu waktu dahulu.

Husam dalam pandangan Kickdefella tidak lebih sebagai tukang pemberi harapan kepada rakyat Kelantan. Husam orang di belakang projek lebuh raya Kelantan, penternakan kambing berskala besar dan dinar emas yang kesemuanya menemui kegagalan. Selaku orang harapan dan Exco paling kanan Pas yang dianggap tahu selok belok ekonomi, Husam dianggap gagal dalam program-program iktisad yang dirancang Pas Kelantan.

Hakikatnya, kesemua projek berkenaan sangat penting dalam usaha menyerlahkan potensi Kerajaan Pas Kelantan yang memerintah lebih 20 tahun. Pada masa ini, tidak ada pun projek berorientasi rakyat yang dirancang kerajaan negeri menemui kejayaan.

Pas Kelantan amat berharap kepada kejayaan projek berkenaan untuk membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa parti itu bukan sahaja parti yang hebat dalam ceramah. Pas ingin buktikan mereka juga parti pembangunan dan pelaksana sebagaimana UMNO dan Barisan Nasional.

Dengan kegagalan projek-projek itu menyebabkan Pas Kelantan dilihat sebuah parti yang gagal memenuhi harapan rakyat sekalipun diberi peluang dalam tempoh yang sangat lama. Dengan itu, Pas dilihat kembali semula kepada strategi asal mereka.

Sekalipun dilihat bertentangan dengan strategi pakatan pembangkang di peringkat Pusat, Nik Aziz terpaksa memainkan lagu- lagu lama, seperti 'sembahyang orang UMNO tak dapat pahala' supaya rakyat Kelantan tidak banyak bertanya mengenai kegagalan projek-projek kendalian Husam.

Rakyat Kelantan meletakkan kegagalan Pas Kelantan sebagai kegagalan Husam, sehingga memaksa Nik Aziz terus bertanding dalam usia 82 tahun.

Kebangkitan Gelombang Merah juga merupakan suatu respons kepada kegagalan tersebut apabila kemarahan rakyat Kelantan tidak dapat dibendung lagi. Mereka sudah tidak mampu bersabar dengan isu-isu yang dialihkan, sedangkan mereka yang berdepan dengan kesukaran setiap hari misalnya melalui ketiadaan bekalan air sempurna mahupun keraguan dalam isu pemberian tanah kerajaan.

Sementara itu, bagi Salahuddin yang dilihat lebih bertindak sebagai pemain selamat dalam intrig dalaman Pas, beliau dilihat calon yang mampu mengurangkan majoriti, tetapi amat mustahil untuk memenangi kerusi Pulai. Salahuddin dikaitkan dengan kedua-dua kem dalam Pas, iaitu kem Mursyidul Am dan kem Presiden.

Sewaktu isu perpaduan UMNO - Pas menjadi panas, yang membawa Presiden dan Timbalan Presiden ketika itu menemui bekas Perdana Menteri di Putrajaya, nama Salahuddin turut disebut-sebut sebagai pendokong idea berkenaan. Salahuddin terselamat tetapi Timbalan Presiden, Nasharuddin terkeluar dari liga utama Pas.

Salahuddin juga pernah dikaitkan dengan kumpulan Anwarinas, namun tidak terlalu ketara sebagaimana Mat Sabu mahupun Mahfuz Omar. Salahuddin agak rapat dengan Jabatan Perdana Menteri, apabila menjadi satu-satunya wakil Pas ke persidangan meja bulat anjuran Biro Tatanegara suatu waktu dahulu.

Kejayaannya mengekalkan jawatan Naib Presiden Pas menunjukkan beliau diterima baik oleh kedua-dua kem berkenaan. Dengan demikian, pencalonan Salahuddin benar-benar satu percubaan tulen Pas untuk mencuba calon anak Johor bagi menguji selera pengundi di kawasan berkenaan, sekalipun harapan bagi Salahuddin terlalu tipis.

Melainkan jika kedua-duanya tokoh pertengahan Pas ini diberikan kerusi DUN lain di kubu selamat, sama ada di Kelantan atau Kedah, tindakan pencalonan mereka ke kerusi Parlimen berkenaan sememangnya tindakan berupa eksperimen tahap tinggi Pas.

Lebih malang jika tindakan sedemikian hasil daripada perancangan pihak tertentu dalam Pas untuk menyingkirkan personaliti yang dianggap pesaing dalam perebutan tempat selamat dalam PRU kali ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved