Jumaat, 19 April 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


'Doktor Ika' didakwa menipu

Posted: 19 Apr 2013 01:34 PM PDT

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

Hasdi Jamal yang dituduh menyamar sebagai doktor perempuan dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen, Melaka, semalam. - Utusan/Azli Ahad

MELAKA 19 April - Seorang lelaki berperwatakan lembut dikenali sebagai 'Doktor Ika' dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menipu pemilik sebuah klinik swasta dengan menyamar sebagai seorang doktor wanita sejak awal tahun ini.

Hasni Jamal Aripin, 26, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Ida Rahayu Sharif.

Mengikut pertuduhan, Hasni didakwa telah memperdaya seorang doktor, Norman Mohd. Norawai, 41, dengan menyamar sebagai 'Doktor Norzulaikha Jamaluddin' dan menyerahkan dokumen sijil Perakuan Amalan Tahunan palsu.

Perbuatan tertuduh telah mendorong Norman menyerahkan wang berjumlah RM8,280 sebagai gaji kepada tertuduh.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara 15 Januari dan 11 April lalu di sebuah klinik, Dr. Norman Clinic Sdn. Bhd., di alamat No. 28, Jalan MJ1, Teman Merdeka Jaya, Batu Berendam di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhamad Juhari Haron yang mengendalikan pendakwaan memohon agar tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Hasni yang tidak diwakili peguam bela pula memohon agar jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan dia hanya mempunyai RM800 di dalam bank.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 17 Mei ini bagi membolehkan tertuduh melantik peguam bela.

Tertuduh gagal membayar wang jaminan tersebut.

Memetik laporan akhbar pada 14 April lalu, taktik seorang lelaki yang menyamar sebagai doktor wanita untuk bekerja di sebuah klinik swasta terbongkar dalam serbuan di premis berkenaan di Batu Berendam beberapa hari sebelum itu.

Ketika ditahan, lelaki berasal dari Sabah serta menggunakan nama 'Doktor Ika' itu sedang bertugas sebagai doktor sambilan di klinik berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka, Supritendan Soh Hock Sing ketika itu memberitahu sidang akhbar, siasatan mendapati lelaki itu menggunakan sijil Perakuan Amalan Tahunan palsu yang kononnya dikeluarkan Majlis Perubatan Malaysia bagi memohon pekerjaan di klinik itu.

Bersih: Azmin, Chegu Bard gagal ketepi tuduhan

Posted: 19 Apr 2013 01:34 PM PDT

Badrul Hisham

Mohamed Azmin

KUALA LUMPUR 19 April - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali dan Ketua PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin gagal dalam permohonan mereka untuk membatalkan dua daripada tiga pertuduhan yang dihadapi di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 berhubung perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara pada 28 April tahun lalu.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi di sini hari ini yang menolak permohonan pemimpin-pemimpin pembangkang itu kerana tidak mempunyai merit.

Hakim Kamardin Hashim juga memutuskan perintah yang dikeluarkan oleh Majistret Zaki Asyraf Zubir pada 26 April 2012 adalah sah di bawah Seksyen 98 Kanun Tatacara Jenayah (CPC).

Melalui perintah tersebut, Mahkamah Majistret melarang sebarang perhimpunan di Dataran Merdeka dan mengeluarkan amaran supaya orang ramai tidak hadir, berada atau mengambil sebarang bahagian dalam sebarang perhimpunan, antara 28 April hingga 1 Mei 2012.

Hakim Kamardin berkata, berdasarkan kepada semua afidavit, fakta dan keadaan yang berlaku dalam kes itu mewajarkan Zaki Asyraf mengeluarkan perintah tersebut.

''Oleh itu perintah ini tidak bertentangan atau ultra vires (melampaui bidang kuasa) Akta Perhimpunan Aman dan Perlembagaan Persekutuan,'' katanya.

Menurut beliau, walaupun APA 2012 telah berkuat kuasa dan memberikan hak kepada orang awam untuk menganjur dan menyertai perhimpunan aman tanpa senjata, peruntukan di bawah Seksyen 98 CPC masih kekal dan tidak dihapuskan oleh Parlimen.

Hakim Kamardin berkata, larangan yang dikenakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selaras Seksyen 11 APA iaitu untuk pihak penganjur perhimpunan menggunakan Dataran Merdeka sebagai tempat perhimpunan aman tanpa senjata yang dirancangkan adalah munasabah dan selaras dengan undang-undang kecil DBKL.

Oleh itu katanya, pihak polis tidak boleh dikatakan bertindak secara melulu (arbitrary) untuk menghalang perhimpunan yang dirancangkan termasuk mendapatkan perintah itu daripada Majistret berdasarkan Seksyen 98 CPC.

Menurut beliau, larangan atau sekatan oleh pihak polis ekoran daripada keputusan DBKL yang tidak membenarkan perhimpunan awam diadakan di Dataran Merdeka seperti dimohon oleh pihak penganjur.

Pada prosiding berkenaan, pihak pendakwaan diwakili Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Wahab Mohamed dan Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.

Mohamed Azmin dan Badrul Hisham yang juga dikenali sebagai Chegu Bard diwakili peguam Sankara Nair dan Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden.

Mohamed Azmin dan Badrul Hisham memfailkan permohonan itu atas alasan perintah Zaki Asyraf tidak sah kerana dikeluarkan di luar bidang kuasa atau ultra vires dengan APA 2012 yang berkuat kuasa pada 30 Januari 2012 yang membenarkan perhimpunan secara aman diadakan.

Mereka mendakwa, pihak berkuasa yang sepatutnya melarang orang ramai mengadakan perhimpunan secara aman ialah polis dan bukan DBKL, seperti yang disebut dalam perintah itu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved