Rabu, 3 April 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Teruskan tradisi, demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan nasional

Posted: 03 Apr 2013 12:24 PM PDT

Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) diadakan ketika di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. - BERNAMA

SAYA ingin memaklumkan kepada rakyat Malaysia bahawa pada pagi ini telah menghadap Yang di-Pertuan Agong dan menyembah warkah kepada baginda memohon perkenan supaya Parlimen Ke-12 dibubarkan pada hari ini Rabu 3 April 2013.

Sehubungan itu, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Baginda telah pun memperkenankan bagi Parlimen Ke-12 dibubarkan berkuatkuasa hari ini

Sehubungan itu, saya menasihatkan kepada ketua-ketua kerajaan negeri yang berkenaan untuk menghadap ketua-ketua negeri mereka bagi mendapat perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing agar pilihan raya umum dapat diselaraskan secara serentak di seluruh negara.

Rakyat Malaysia yang dikasihi, hari ini empat tahun lalu, pada tanggal 3 April 2009, saya telah mengangkat sumpah untuk memikul amanah serta tanggungjawab sebagai Perdana Menteri negara Malaysia yang tercinta.

Dalam tempoh tersebut saya bersama-sama Timbalan Perdana Menteri, anggota jemaah menteri dan anggota pentadbiran yang lain telah pun dengan segala ikhtiar dan upaya, mencetuskan dan melaksanakan pembaharuan serta perubahan berpaksikan kepada falsafah 1Malaysia, 'Rakyat di dahulukan, pencapaian diutamakan' serta dipandu oleh Dasar Transformasi Nasional.

Dalam tempoh 4 tahun yang lepas, rakyat Malaysia telah dapat mengalami dan menyaksikan sendiri bagaimana program, perancangan serta Dasar Transformasi Nasional yang melibatkan program transformasi kerajaan, ekonomi, politik dan sosial telah dilaksanakan dan seterusnya membuahkan hasil dalam meningkatkan kesejahteraan hidup mereka dan memakmurkan negara.

Kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan ini ialah yang meletakkan kepentingan tuan-tuan dan puan-puan rakyat Malaysia di atas segala-galanya. Kami merupakan kerajaan yang apabila berjanji, menepati janji, kami sebuah kerajaan yang apabila diberi amanah akan menjunjung dan melaksanakannya, bukan sikap kami menanam tebu di bibir.

Semuanya bukti komitmen kami mampu dinilai serta diukur daripada prestasi dan track rekod kami sepanjang 4 tahun yang lalu.

Rakyat Malaysia yang dikasihi, pembubaran ini akan membuka laluan kepada bermulanya proses pilihan raya umum bagi kali yang ke-13 untuk negara semenjak tahun 1959. Iaitu apabila kita mula mengadakan pilihan raya umum yang pertama selepas merdeka.

Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan sebagai asas pemerintahan. Kuasa mutlak untuk memilih kerajaan berada di tangan rakyat.

Sejarah telah menunjukkan bahawa kebunggaran demokrasi telah berjaya menyediakan asas-asas yang subur untuk kestabilan dan keamanan nasional yang telah dinikmati warga negara ini selama lebih 5 dekad.

Amalan demokrasi di Malaysia kekal dan berjaya kerana walaupun bersifat sengit dan amat berdaya saing namun pada akhirnya ia berjaya kerana semua pihak menghormati proses dan keputusannya. Saya ingin menyeru agar tradisi ini diteruskan demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan nasional.

Semua parti politik yang memilih untuk terlibat dalam pilihan raya umum kali ini perlulah bertanggungjawab. Janganlah kerana tidak yakin dengan sokongan rakyat terhadap parti masing-masing maka ada pihak yang cuba menyemai racun syak wasangka dan seterusnya merosakkan kepercayaan kepada integriti proses pilihan raya yang bakal diadakan.

Insaflah dan ambillah iktibar daripada apa yang berlaku di negara-negara lain di mana taktik ini telah cuba diguna pakai. Kesan dan akhirnya keputusan pilihan raya di negara-negara tersebut tidak lagi diyakini dan mana-mana kerajaan yang dipilih termasuk dari parti yang mengamalkan taktik-taktik tersebut telah ditolak rakyat. Negara akhirnya menjadi tidak stabil, pelabur hilang keyakinan, kemakmuran nasional merudum dan akhirnya rakyat menderita.

Sejarah selama ini telah membuktikan bahawa di Malaysia sejak merdeka lagi, proses pilihan raya yang diadakan bersifat berwibawa, adil dan telus.

Kerajaan yang telah dipilih hasil pilihan raya umum sama ada di peringkat Persekutuan mahu pun di peringkat negeri ialah kerajaan yang mendapat sokongan serta keyakinan majoriti rakyat sesuai dengan amalan demokrasi. Amalan demokrasi sebagai teras pemerintahan merupakan mekanisme terbaik yang pernah dicipta manusia.

Hakikatnya perbezaan pendapat, idea dan pandangan bukannya penyebab malapetaka atau punca perpecahan. Malah jika ditangani dan diuruskan secara baik sejarah telah menunjukkan ia mampu mendatangkan rahmat, yang akan membahagiakan rakyat dan memajukan negara.

Marilah kita sama-sama, sama ada parti kerajaan mahupun parti pembangkang memberikan komitmen untuk memelihara keutuhan proses demokrasi dan menghormati keputusan yang akan dibuat oleh rakyat.

Marilah kita bersama-sama berdoa agar pilihan raya ini akan berjalan dengan lancar aman, dan selamat.

Rakyat Malaysia yang dikasihi, saya ingin memberi jaminan bahawa kerajaan yang ada akan meneruskan tugas dan tanggungjawabnya sesuai dengan prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sehingga selesai proses pilihan raya.

Saya juga ingin menyeru di samping memberi jaminan kepada semua rakyat Malaysia serta parti politik yang terlibat bahawa jika berlaku sebarang peralihan kuasa sama ada di peringkat Persekutuan mahu pun di peringkat negeri ia akan dan perlu berlangsung secara aman dan tertib.

Inilah iltizam kita dalam menjunjung prinsip demokrasi. Inilah tekad kita dalam menggerakkan transformasi politik. Inilah komitmen kita dalam menghormati suara dan mendahulukan kepentingan rakyat.

Kepada semua rakyat Malaysia terutama yang tinggal di pantai timur Sabah janganlah bimbang dan takut. Laksana dan tunaikanlah tanggungjawab tuan-tuan dan puan-puan sebagai warganegara Malaysia. Pihak keselamatan negara akan menjalankan tugas mereka untuk memastikan persekitaran yang selamat untuk tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Setiap undi tuan-tuan dan puan-puan adalah penting. Jangan bazirkan ia. Jangan pertaruhkan masa depan anak-anak dan negara Malaysia.

Fikir dan renungkanlah dengan sebaik-baiknya sebelum membuat keputusan. Ini kerana undi saudara saudari akan menentukan bukan sahaja hala tuju negara dan negeri tetapi juga untung nasib anak cucu kita semua.

Dalam pilihan raya ini tuan-tuan dan puan-puan bukan sahaja bertanggungjawab memilih wakil saudara dan saudari bagi setiap kawasan Parlimen dan DUN tetapi juga memilih kerajaan yang akan mendokong aspirasi tuan-tuan dan puan-puan.

Rakyat Malaysia yang dikasihi, saya berdiri di sini dengan penuh rasa tawaduk dan terhormat kerana diberi kepercayaan untuk memimpin tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Saya dan rakan-rakan amat menghargai dan menjunjung tinggi kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat dan akan memberikan yang terbaik demi untuk Malaysia dan warganya.

Di sini saya selaku ketua kerajaan Barisan Nasional (BN) ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana telah memberi kepercayaan kepada rakyat Malaysia kepada kami kerajaan BN untuk menerajui kepimpinan negara semenjak lima tahun yang lepas.

Mulai hari ini saya dan rakan-rakan kepimpinan BN akan turun dan bertemu dengan rakyat seluruh pelosok negara bagi meyakinkan rakyat Malaysia kenapa kami BN perlu diberi peluang kembali membentuk kerajaan dengan majoriti yang kukuh.

Kami akan menggunakan mandat kukuh yang diberi insya-Allah untuk melipat gandakan lagi usaha bagi melakar masa depan yang lebih baik, yang lebih bermakna, yang lebih sejahtera untuk saudara dan saudari serta anak cucu kita semua.

Ayuh, teruskan perjalanan kebangsaan untuk mencapai wawasan nasional ke arah Malaysia yang maju dan berpendapatan tinggi.

Ingatlah pencapaiannya bukan secara automatik. Ia memerlukan kita melipatgandakan usaha dan meneruskan kesinambungan kejayaan yang wujud.

Marilah kita bersama-sama berganding bahu, berpimpin untuk menjadikan impian ini sebuah realiti.

Malaysia yang maju, makmur dan selamat penuh dengan peluang serta sarat harapan bagi semua.

Demi Malaysia usaha bakti kita curahkan, kepada Tuhan kita berserah.

Gelanggang PRU-13 kini dibuka

Posted: 03 Apr 2013 12:24 PM PDT

Oleh Noraini Razak

BERSAMA barisan Jemaah Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-13. Saat yang ditunggu-tunggu itu berlangsung dalam suasana rasmi.

Di belakang Perdana Menteri, timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelihatan tenang mendengar satu persatu ucapan yang dilontarkan Najib. Begitu juga dengan menteri-menteri Kabinet yang lain. Mereka nampak kemas dan yakin dengan sut hitam serta bertali leher merah. Yang wanita tampil menawan dengan pakaian serba merah.

Sememangnya tarikh 3 April amat bermakna bagi Najib. Empat tahun lalu pada tarikh ini beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-6. Genap empat tahun menjalankan tugas sebagai peneraju negara, beliau mengumumkan pula pembubaran Parlimen bagi mengisi penantian rakyat pihak sejak setahun lalu.

Berbeza di dalam bilik tempat Najib membuat pengumuman yang disiarkan secara langsung menerusi RTM, wartawan dan jurugambar yang menunggu di luar bangunan Perdana Putra terpaksa mencari tempat berlindung disebabkan hujan lebat. Mereka menunggu sejak awal pagi.

Tidak seperti kebiasaan, pengumuman pembubaran kali ini dibuat tanpa memanggil sidang media. Najib pasti ada alasan tersendiri mengapa memilih siaran langsung. Tentunya tidak mahu ada pihak lain mengambil kesempatan menyebarkan berita-berita palsu - mengambil iktibar hebahan pembubaran palsu tidak lama dulu. Lagi pun rakyat boleh mendengar dan melihat sendiri apa butir-butir pengumuman Najib.

Apa pun senario keterujaan baik di Putrajaya mahu pun di mana-mana saja, pengumuman pembubaran Parlimen ke-12 menamatkan segala teka-teki. Spekulasi serta khabar angin tentang pembubaran Parlimen yang begitu meluas mutakhir ini, tertutup sudah.

Kini yang dinanti dan dikejar adalah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Badan pengendali pilihan raya di Malaysia itu akan menyusun tarikh penamaan calon, kempen dan seterusnya membuang undi. Sebanyak 19 perkara baru diperkenalkan SPR untuk memastikan PRU-13 menjadi gelanggang pertandingan yang terbaik.

Secara tradisinya, apabila Parlimen dibubarkan, maka Dewan Undangan Negeri (DUN) pantas menyahut. Menteri Besar atau Ketua Menteri (kecuali Sarawak) akan menghadap Sultan, Yang Dipertuan atau Yang Dipertua untuk mendapat perkenan supaya DUN dibubarkan pada hari yang sama. Proses itu bagi membolehkan pilihan raya dijalankan serentak.

Sepanjang 12 kali pilihan raya diadakan tidak timbul masalah bagi kerajaan negeri untuk memperoleh perkenan daripada penaung masing-masing. Bagaimanapun pernah berlaku cubaan untuk memohon DUN yang baru dibentuk selepas pilihan raya dibubarkan iaitu di Terengganu, Kelantan dan Sabah. Kesemua permohonan itu ditolak kerana penaung kerajaan negeri berpendapat ia tidak perlu selain kerana kerajaan yang dipilih sememangnya mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan negeri.

Oleh kerana PRU-13 bakal diadakan dalam keadaan parti pemerintah iaitu Barisan Nasional (BN) hilang majoriti dua pertiga dan empat negeri jatuh ke tangan pembangkang, soal pembubaran DUN dan Parlimen secara serentak sememangnya hangat diperkatakan.

Selangor misalnya pernah berura-ura mahu mengadakan pilihan raya berasingan. Bagaimanapun umpama memukul tin kosong, bunyi kuat hasilnya tiada, akhirnya negeri itu akur untuk membubarkan DUN mereka hari ini dan berjanji untuk mengadakan pilihan raya serentak. Hal yang demikian membuka laluan untuk PRU-13 dilangsungkan di peringkat permulaan dalam suasana yang harmoni dan sepakat.

Jangan pula ada cubaan di pihak kerajaan negeri pembangkang mahu menggadai janji apabila tidak membuat permintaan kepada penaung masing-masing supaya DUN dibubarkan. Jika Menteri Besar Kedah berjanji akan menghadap Sultan hari ini, begitu juga Ketua Menteri Pulau Piang yang mahu berjumpa Yang Dipertua Negeri itu juga hari ini diikuti Selangor dan Kelantan, maka tunaikanlah janji-janji tersebut.

Selesai debaran menunggu Parlimen dibubarkan, tumpuan kini bila pula hari pembuangan undi. Bagi 2.3 juta atau 21.69 peratus pengundi baharu, tentunya PRU-13 menjadi medan pertama untuk mereka melaksanakan tanggungjawab dalam menentukan masa depan negara. Manakala selebihnya iaitu kira-kira 11 juta pengundi sedia ada meneruskan agenda lima tahun sekali bagi melengkapkan PRU-13 yang disifatkan banyak pihak sebagai ibu kepada semua pilihan raya.

Sebanyak 576 kerusi DUN dan 222 kerusi Parlimen akan dipertandingkan tentunya menuntut pilihan yang bijak dalam kalangan pengundi terutamanya bagi memastikan pembangunan dan keharmonian yang dinikmati sekarang tidak tinggal kenangan.

Bagi calon-calon yang akan bertanding pada PRU-13, timbalah pengajaran, belajar dari pengalaman. Negara kita berhadapan dengan cabaran yang amat getir apabila parti pemerintah kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat. Demonstrasi, keganasan dan tunjuk perasaan hakikatnya bukan satu eksperimen sebaliknya persediaan ke arah pembentukan sebuah kerajaan yang lebih kuat.

Kepada wakil rakyat yang sudah terlalu lama dan berasakan khidmat mereka tidak lagi relevan, maka inilah masanya untuk sedar diri. Lihat semula kad laporan anda. Adakah anda wakil rakyat yang berkhidmat atau sekadar yang berhormat.

Kepada semua parti, berhemahlah. Patuhi undang-undang serta peraturan pilihan raya. Jangan buat-buat lupa bahawa kebanyakan daripada 19 peraturan baharu yang diperkenalkan SPR untuk PRU-13 ini dipersetujui semua parti. Sehubungan itu, jangan hanya memuji SPR jika menang. Manakala tewas, SPR dikambinghitamkan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved