Rabu, 3 April 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Naik taraf jalan di Gelang Patah

Posted: 02 Apr 2013 11:57 AM PDT

Oleh IFQDAR RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my

Chor Chee Heung beramah mesra dengan orang ramai di sebuah kedai kopi sambil diperhatikan oleh Jason Teoh (berdiri kanan) ketika mengadakan lawatan kerja sehari di Parlimen Gelang Patah, Nusajaya, kelmarin.

NUSAJAYA 2 April - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan meluluskan peruntukan sebanyak RM400,000 bagi membiayai projek menaik taraf jalan dan longkang di lima buah kampung baharu di Parlimen Gelang Patah, di sini.

Menterinya, Datuk Seri Chor Chee Heung berkata, permohonan mendapatkan peruntukan itu diluluskan selepas lawatan di kelima-lima kampung terbabit.

"Sebelum ini, wakil penduduk ada membuat beberapa permintaan bagi menaik taraf kemudahan prasarana di kawasan mereka dan selepas melakukan lawatan pagi ini, sewajarnya permintaan mereka itu ditunaikan.

"Ini semua bagi menjamin keselesaan kira-kira 9,000 penduduk yang menetap di kampung berkenaan sejak sekian lama," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kampung Baru, Gelang Patah, di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi MCA Gelang Patah, Jason Teoh.

Menurut Chee Heung, lima kampung yang terlibat ialah Kampung Baru Kangkar Pulai, kampung-kampung di Gelang Patah, Ulu Choh, Lima Kedai dan Skudai.

Tambah Chee Heung, pihaknya berusaha mempercepatkan proses pelaksanaan projek menaik taraf itu dan dalam masa sama, berpuas hati dengan perkembangan pembangunan di beberapa kawasan di Gelang Patah.

"Selain Perak, negeri ini juga memiliki kampung baharu terbanyak di Malaysia dan kami akan sentiasa mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua kampung serta Pengerusi Perkampungan Baru bagi mengetahui masalah atau perkembangan semasa.

"Saya sangat berpuas hati dengan projek pembangunan yang telah dijalankan dan berharap memberi banyak manfaat kepada penduduk setempat," katanya.

Pekerja mogok punca sampah tidak diangkut

Posted: 02 Apr 2013 11:57 AM PDT

MUAR 2 April - Masalah sampah tidak diangkut di Pasar Awam Maharani di sini, sehingga dibiarkan 'membukit' selama berhari-hari adalah disebabkan oleh pekerja di bawah kontraktor bertanggungjawab mengangkutnya melancarkan mogok kerana tidak dibayar gaji.

Bagaimanapun, masalah itu difahamkan sudah selesai selepas kontraktor terbabit menjelaskan gaji yang dikatakan tertunggak dan kerja-kerja mengangkut sampah sudah berjalan seperti biasa.

Difahamkan tugas mengangkut sampah di pasar awam tersebut adalah di bawah tanggungjawab dua pihak iaitu kontraktor yang dilantik Majlis Perbandaran Muar (MPM) dan juga SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM).

Pegawai Komunikasi Korporat SWM Environment Sdn. Bhd., Choo Chiau Seng berkata, pihaknya hanya menyediakan dua tong besar di bahagian dalam dan satu lagi di bahagian luar pasar itu bagi menampung kapasiti sampah setiap hari.

Katanya, disebabkan longgokan sampah berbau hanyir dan meloyakan itu sudah menutup jalan dan kawasan di sekeliling tong SWM, pihaknya tidak dapat mengangkut sampah dari tong berkenaan.

"Kita sediakan satu tong di luar pasar untuk sisa sayur dan satu tong dalam pasar untuk sisa perut ikan, lembu dan sebagainya. Disebabkan masalah 'dalaman' kontraktor terbabit, kita tidak dapat mengangkut sampah mengikut jadual," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam masalah sampah di pasar awam itu didedahkan Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-Mukim (JPMM) DUN Bentayan, Chriss Lee Ching Yong selepas pihaknya menerima rungutan peniaga dan orang ramai yang tidak tahan dengan keadaan itu.

Tinjauan Utusan Malaysia di pasar awam itu hari ini mendapati, kerja-kerja pembersihan melibatkan kontraktor terbabit dengan kerjasama SWM, MPM dan sebuah lagi kontraktor dilakukan selama lebih satu jam bermula pukul 9.30 pagi.

Chiau Seng berkata, sepatutnya sampah di kawasan itu yang merupakan tempat tumpuan awam dikutip setiap hari pada tengah hari atau petang dan merupakan rutin harian namun pihaknya menggunakan jentera penolak (JCB) untuk membersihkan keseluruhan 'bukit' sisa buangan itu selain membersihkan bahagian dalam pasar termasuk longkang.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved