Jumaat, 12 April 2013

Utusan Online - Rekreasi


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Menyondol Gunung Kajang

Posted: 11 Apr 2013 02:00 AM PDT

Oleh ROHANA MAN
rohana.man@utusan.com.my

SEORANG pendaki berusaha keluar dari sebuah gua menerusi laluan yang sempit.

MUNGKIN banyak yang membayangkan mendaki Gunung Kajang di Pulau Tioman, Pahang adalah satu pendakian yang santai. Ini kerana ketinggiannya hanya 1,038 meter (3,405 kaki) dari paras laut. Sudah tentu ramai menjangkakan pendakian ke puncak tidaklah sukar.

Namun jangkaan itu meleset apabila pendaki terpaksa 'menerjah' belantara pulau yang tebal untuk sampai ke puncak gunung tersebut.

Menerjah atau istilah yang digunakan kami adalah terpaksa 'menyondol' Gunung Kajang. Ini kerana penunjuk arah (guide) yang merupakan penduduk Kampung Paya mengenakan caj yang mahal iaitu RM180 seorang.

Jumlah peserta program mendaki anjuran Nature Explorer itu pula adalah 25 orang. Ini bermakna kami perlu membayar RM4,500 untuk khidmat penunjuk arah sahaja.

Oleh kerana itu, ketua ekspedisi, Roshamrizal Zahari, 40, atau lebih dikenali sebagai Sham Castello memutuskan untuk mencari sendiri laluan ke puncak dengan menggunakan Global Positioning System (GPS).

Berbekalkan pengalamannya sebagai penunjuk arah, kami memulakan pendakian pada pukul 7.20 pagi pada 24 Mac 2013. Awal pendakian mudah kerana trek boleh nampak dengan jelas. Peserta menyeberang sungai dan tiba di kawasan pokok besar yang akarnya berselirat menyentuh tanah.

Di pokok itu tertulis perkataan Mother Willow dan terdapat tangga menuju ke puncak batu besar yang melekat pada pokok tersebut.

Dari situ perjalanan diteruskan hingga trek mulai hilang yang memaksa peserta berpatah balik beberapa kali.

Hasil bantuan GPS, akhirnya trek yang betul ditemui. Perjalanan di trek yang luas itu tidak kekal lama apabila hilang secara tiba-tiba. Di situ, terdapat sejumlah batu-batu yang besar.

Menurut Sham, halangan batu-batu besar seperti itu boleh membuatkan GPS gagal mengesan kedudukan sebenar puncak Gunung Kajang.

Peserta diarah berkumpul di satu tempat, manakala Sham dan Zuraida Elias (Moon), 37, berpisah mencari arah ke puncak. Moon ialah penunjuk arah tempatan tetapi tidak pernah sampai ke Gunung Kajang.

Dalam pencarian itu, kumpulan pendaki berpecah kepada dua iaitu sebanyak 17 peserta mengikut Sham dan lapan peserta lain mengikut Moon.

Saya berada dalam kumpulan Sham kerana yakin GPS dan pengalamannya akan membawa kami ke puncak.

Lagipun ketika itu, terdengar suara beberapa pendaki di hadapan menjerit dengan berkata: "Puncak! Dah sampai puncak!" Ayat-ayat itu melegakan dan secepat kilat kami bergegas mendaki bukit tersebut.

Rupa-rupanya, kata-kata itu sekadar untuk menyedapkan hati para pendaki yang telah berjalan selama empat jam, tetapi masih gagal menemui puncak.

Dalam keadaan hampa, pendakian diteruskan dan ternyata belantara yang ditempuh menyajikan cabaran yang bukan sedikit.

Selain 'berperang' dengan pacat yang bermaharajalela, pendaki juga bergelut dengan pokok duri dan mengkuang yang amat banyak sehingga mengoyakkan seluar.

Perjalanan terasa seperti tiada penghujungnya apabila satu demi satu halangan muncul. Selain menyelinap di bawah dahan pokok tumbang, memanjat akar-akar pokok, pendaki juga terpaksa menuruni cerun curam menuju ke pintu gua.

Apabila dihitung, sebanyak tujuh gua batu pelbagai saiz perlu dilalui dengan berhati-hati. Selepas masuk ke dalam beberapa gua, terpaksa memanjat semula dinding gua untuk naik ke permukaan. Akar pokok dijadikan 'tali' bagi membantu naik ke atas.

Gua sudah dilepasi, namun 'kelibat' puncak masih tidak kelihatan. Dalam keadaan tenaga yang semakin menyusut, tiba-tiba terdengar suara orang berbual. Dari jauh kedengaran seperti suara Moon. Memang benar seperti dijangka, rupa-rupanya kumpulan Moon tetap meneruskan pendakian walaupun tanpa membawa parang dan GPS.

Mereka hanya berpandukan tanda takik di batang pokok sebagai panduan untuk meneruskan pendakian. Tanda takik itu dibuat oleh pendaki terdahulu.

Syukur dan gembira kerana akhirnya kumpulan kami bersatu semula. Lebih menggembirakan apabila satu jam kemudian, kami berjaya menemui trek sebenar Gunung Kajang yang luas.

Sebaik sahaja keluar dari belantara tebal dan memasuki trek tersebut, masing-masing berlari-lari ke arah puncak.

Kami tidak tahu berapa jauh lagi puncak, tetapi tetap 'menggagahkan' diri untuk berjalan lebih laju sehinggalah terdengar suara orang menjerit: "Puncak! Puncak! Puncak!"

Akhirnya puncak Gunung Kajang berjaya ditemui selepas menempuh kepayahan selama kira-kira sembilan jam. Saya menjejakkan kaki di puncak yang ditanda dengan beirut tepat pukul 4.10 petang. Ada lagi peserta di belakang yang tiba setengah jam kemudian.

Pemandangan laut dan pulau yang nampak berbalam boleh dilihat dari satu lokasi dekat puncak.

Kami tidak berada lama di puncak kerana hari mulai lewat petang. Selepas menikmati nasi putih, ayam merah dan tumis kubis, puncak Gunung Kajang ditinggalkan pada pukul 4.55 petang.

Perjalanan turun pada awalnya amat 'bahagia' kerana trek yang dilalui luas dan bersih. Rimbunan pokok buluh ditempuhi sehinggalah tiba di sebuah gua sempit. Saiz pintu gua amat sempit. Jadi, seorang demi seorang mengambil giliran melaluinya.

Untuk sampai ke pintu gua itu pula perlu mendaki dahan pokok. Di hadapan pula menunggu halangan pokok tumbang yang memaksa kami meniti ranting pelbagai saiz.

Itu belum lagi halangan terpaksa meniti pokok tumbang merentangi gaung yang dalam. Oleh kerana gayat, saya bersama Nur Mursyida Musa dan Norazila Md. Khalil mengengsot perlahan-lahan di atas balak tersebut.

Aksi itu memang kelihatan melucukan, tetapi debaran di hati kami hanya Tuhan yang tahu. Sebaik sahaja sampai ke seberang gaung, hari mulai gelap. Masing-masing mengeluarkan head lamp untuk meneruskan perjalanan.

Namun malang tidak berbau, dalam perjalanan turun, dua peserta wanita terjatuh sehingga kaki terseliuh. Seorang terpaksa dipapah bergilir-gilir oleh rakan-rakan, manakala seorang lagi terpaksa dikendong oleh seorang peserta mat salleh, Michiel Tieleman dari Belanda. Beliau mengikut rakannya yang merupakan kenalan Sham menyertai ekspedisi ini.

Malam yang gelap diredah dengan penuh hati-hati agar tidak ada lagi yang tergelincir. Untuk memudahkan pengurusan kumpulan, Sham mengarahkan pendaki berkumpul di sebatang anak sungai untuk menunggu peserta belakang tiba.

Apabila semua peserta tiba, perjalanan turun diteruskan. Saya bersama dua pendaki lelaki tiba di Kampung Paya sekitar pukul 11.55 malam, manakala yang lain tiba kemudian. Tiga peserta lain yang sudah lama sampai menyediakan air minuman karbonat kepada kami.

Keseluruhan pendakian ini mengambil masa kira-kira 16 jam dan syukur kerana semua pendaki selamat walaupun ada yang cedera.

Jika tidak 'menyondol' trek ke puncak, sudah tentu pendakian tidak sesukar ini.

Mereka yang ingin mendaki Gunung Kajang boleh menghubungi Sham di talian 012-6206087 atau Nur Mursyida (012-2399265).

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved