Jumaat, 12 April 2013

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Terpikat dengan nama isteri

Posted: 12 Apr 2013 11:05 AM PDT

Oleh SITI NORLIDA ROSLAN

BAKAL bergelar ibu dan ayah pada bila-bila masa dalam bulan April ini.

WAJAH seperti wanita Melayu klasik dan nama seperti nama bunga menjadi tarikan utama Khairil Ridzwan, 36, atau lebih dikenali sebagai Loque untuk mendekati gadis yang berjaya menambat hatinya, suatu ketika dahulu.

Kedua-dua perkara yang menarik hatinya itu membuatkan dirinya berusaha untuk mencambahkan benih-benih cinta di antara dirinya dan Dahlia Nadirah, 28 tahun.

Itulah yang menjadi titik permulaan bibit-bibit cinta di antara mereka. Justeru, Loque menjadikan laman sosial Myspace sebagai medium untuk mendekati sang kekasih hati.

Itulah juga yang menyaksikan detik awal perkenalan mereka yang mana ketika itu, Dahlia masih bergelar pelajar di sebuah kolej swasta dan Loque pula telah berkecimpung dalam industri muzik tanah air.

Menurut anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu, dia langsung tidak menyangka langkah menambah kenalan secara suka-suka di Myspace mendapat reaksi positif daripada Dahlia.

"Seingat saya, saya mengenali dia pada tahun 2007. Pada mulanya, saya hanya sekadar ingin menambah kenalan tetapi dalam masa yang sama, saya macam jatuh cinta pandang pertama terhadapnya," katanya kepada S2.

Menurut Loque, dalam pada itu, jauh di sudut hatinya, dia berasa tindakannya mahu mendekati Dahlia adalah sia-sia sahaja.

Ini kerana dia beranggapan Dahlia seorang wanita yang cantik dan tidak mungkin ingin berkawan dengannya.

"Namun tanggapan itu meleset kerana Dahlia memberi reaksi di luar jangkaan saya," kata Loque tersenyum.

Dahlia yang sebelum ini hanya mendengar suaminya bercerita, mencelah dengan berkata, dia tidak mengenali Loque walaupun ketika itu Loque merupakan seorang ahli sebuah kumpulan muzik, Butterfingers.

"Memang saya tak tahu dia seorang penyanyi sehinggalah saya melihat profil Loque di Myspace," ujarnya yang memberitahu selepas berkenalan, kedua-dua mereka mula berbalas pesanan mesej di peti masuk Myspace.

Dari sehari ke sehari, perhubungan mereka semakin rapat tetapi masih berstatus kawan biasa. Namun, sewaktu Loque menyambung pelajaran ke luar negara, barulah Dahlia betul-betul jatuh cinta dan mereka mula saling meluahkan perasaan rindu masing-masing.

Sang pujaan hati 'tertinggal' di Malaysia dan sang pujangga berada di Amerika Syarikat, maka selama tiga setengah tahun itulah, mereka mengharungi percintaan jarak jauh yang menguji tahap kesabaran dan kepercayaan antara satu sama lain.

"Walaupun kami jauh, namun alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan kami tidak mempunyai masalah kerana kami berkongsi minat dan perwatakan yang lebih kurang sama.

"Suatu hari, saya berjanji untuk menjemputnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) apabila dia pulang ke Malaysia.

"Disebabkan saya mahu tengok wajahnya buat kali pertama, saya jadi gementar dan terkejut melihat fizikal dia yang tidak serupa di dalam gambar.

"Dia pula hanya tersenyum melihat reaksi saya dan mengatakan fizikal dirinya berubah daripada kurus menjadi 'berisi' disebabkan senang hati dapat berkawan dengan saya," kata Dahlia tersenyum sambil mata melirik kepada suaminya.

Pada kesempatan dia pulang ke Malaysia itu, Loque merancang untuk mengikat tali pertunangan dengan Dahlia.

Katanya, rombongan merisik ke rumah ibu bapa Dahlia di Paya Jaras Hulu, Sungai Buloh, Selangor berjalan lancar.

"Rombongan saya diterima baik ahli keluarga Dahlia, dan saya merasa sangat gembira kerana tidak menyangka wanita yang saya idamkan bakal menjadi suri hidup saya," kata Loque tersenyum lebar.

Selepas setahun mengikat tali pertunangan, mereka akhirnya diijabkabulkan pada 28 Januari 2010 dan kini sedang menunggu saat kelahiran cahaya mata pertama yang pastinya akan menambahkan lagi keceriaan dalam rumah tangga yang dibina.

Jelas Loque, selepas berkahwin, hidupnya lebih terurus dan menjadi lebih matang dalam mengharungi bahtera rumah tangga.

Ditanya mengenai keistimewaan Loque di mata Dahlia, jawapannya amat ringkas iaitu seorang yang mementingkan kesempurnaan, bijak dan kelakar.

Malah katanya, rumahnya pasti akan sunyi sekiranya Loque terpaksa ke luar kawasan atau sibuk dengan tugasan perniagaan.

Itulah sebabnya, mereka akan memaksimumkan aktiviti masa lapang sekeluarga termasuk keluar menikmati hidangan kegemaran atau bercuti ke destinasi dalam dan luar negara.

"Walaupun saya sibuk, namun keluarga tetap berada di tempat paling utama di hati saya," katanya.

Disapa persoalan adakah mereka sudah bersedia untuk menjadi ibu dan ayah, Loque menjawab, dia telah lama bersedia dan tidak sabar menunggu kelahiran zuriat pertama.

Dalam pada itu, Dahlia dijangka akan bersalin pada bila-bila masa dalam bulan ini.

"Semua kelengkapan bayi telah disediakan, dan Dahlia pula nampaknya tidak sabar-sabar untuk menimang anak pertama.

"Saya berdoa agar semuanya berjalan lancar dan selamat,'' katanya mengakhiri perbualan.

Dia suami dan chef terbaik kami

Posted: 12 Apr 2013 11:05 AM PDT

HIDUP berumah tangga sering diuji. Macam-macam perkara akan dilalui yang memerlukan kesabaran dan ketabahan untuk mengekalkan kebahagiaan rumah tangga.

Sehubungan itu, pasangan suami isteri hendaklah selalu muhasabah diri dan saling membantu antara satu sama lain agar persefahaman sentiasa wujud. Begitu juga dalam mencuba hidup, sesuatu yang baharu itu memerlukan keberanian dan kemahuan. Di mana ada kemahuan pastinya di situ ada petunjuk.

Itulah juga yang berlaku dalam rumah tangga. Tidak siapa tahu suami yang pemalas dan tidak rajin ke dapur, satu hari akan menjadi seorang tukang masak yang baik dan mampu menambat hati isteri dan anak-anak dengan air tangannya.

Semuanya boleh berlaku hanya dengan belajar dan sedar akan pengorbanan isteri yang kadang kala perlu diberi perhatian dan dibantu.

Inilah kisah yang menjadi pilihan saya minggu ini. Kisah yang jarang berlaku dan sesuai untuk menjadi teladan kepada para suami yang mungkin tidak begitu gembira untuk ke dapur.

Kita ikuti apa yang berlaku dalam rumah tangga Zihan (bukan nama sebenar) sehingga suaminya bertukar menjadi seorang chef yang pandai memasak pelbagai makanan walaupun sebelum itu tidak langsung mahu ke dapur.

Begini kisahnya:

"Saya seorang isteri dan ibu kepada empat orang anak. Menyedari anak-anak semakin membesar dan tidak ada pemantauan yang baik daripada kami suami isteri, saya mengambil keputusan berhenti kerja kira-kira dua tahun lalu. Semuanya saya lakukan kerana sayangkan suami dan anak-anak, tambahan pula pembantu rumah amat sukar diperoleh pada masa ini.

"Sudah tentu keputusan saya menggembirakan suami dan anak-anak kerana saya boleh memberi sepenuh perhatian terhadap rumah tangga. Suami saya, Shukor (bukan nama sebenar), seorang penjawat awam menyokong penuh tindakan saya untuk bersara awal demi anak-anak yang sedang membesar.

"Dua minggu setelah saya berhenti kerja, anak kedua saya, Elisha mengalami kemalangan jalan raya dan dimasukkan ke hospital.

"Seminggu saya menjaganya di hospital menyebabkan tugas saya di rumah tidak dapat dilakukan. Urusan rumah tangga diambil alih sepenuhnya oleh suami yang mengambil cuti tahun untuk menguruskan anak-anak.

"Hati saya risau mengenangkan bagaimana makan minum anak-anak sebab selama ini, suami tidak pernah memasak, jauh sekali untuk ke pasar membeli barang-barang memasak.

"Tetapi keadaan menjadi sebaliknya apabila setiap hari, suami datang ke hospital dengan membawa makanan yang lazat untuk saya dan Elisha. Katanya, di rumah juga saya tidak perlu risau kerana anak-anak sudah ada makanan yang hendak dimakan apabila balik dari sekolah.

"Anak-anak memuji masakan ayah mereka seperti seorang chef yang terkenal. Pelbagai juadah disajikan untuk kami setiap hari, semuanya sedap belaka. "Pandai abang memasak," puji saya dan bertanya belajar dari siapa?

"Sedap ke? Biasa sahaja. Abang cuba-cuba sahaja... Alhamdulillah menjadi pula, dia menjawab sambil tersenyum. Saya semakin hairan, agaknya apa rahsia yang dia sembunyikan daripada saya dan anak-anak. Satu hari, saya pulang ke rumah kerana tertinggal dompet. Kepulangan saya tanpa menghubungi suami terlebih dahulu.

"Ketika saya masuk ke dalam rumah terdengar perbualan seseorang di ruang dapur. Perlahan-lahan saya melangkah untuk mengintai siapakah gerangan yang sedang membantu suami saya di dapur. Tidak pula nampak orangnya.

"Kemudian saya tersenyum sendiri apabila melihat rakaman CD seorang chef sedang menunjukkan cara-cara memasak terpasang di TV ruang dapur. Itulah rahsia masakan suami enak dan setaraf masakan seorang chef. Saya biarkan sahaja 'chef Shukor' dengan menu sajiannya pada hari itu. Setelah mengambil dompet, saya cepat-cepat keluar dari rumah dan kembali ke hospital tanpa suami sedari.

"Selama seminggu itu, saya hanya mendiamkan diri, tidak menegur dan bertanya kepada suami. Yang pasti, saya dan anak-anak menikmati hidangan masakan suami dengan sepenuh hati.

"Saya berasa terharu kerana suami telah melakukan yang terbaik untuk kami anak beranak. Dia berada di sisi saya ketika saya memerlukan bantuan daripadanya.

"Selepas seminggu berada di wad hospital, anak saya dibenarkan pulang. Kami sekeluarga merancang untuk mengadakan kenduri doa selamat. Anak-anak mahukan ayah mereka memasak dan saya pun bersetuju untuk membantu.

"Akhirnya, mahu tidak mahu suami terpaksa membuka rahsia yang dia memasak dengan mengikuti rakaman CD masakan sambil tersenyum malu. Kami tersenyum. Saya tidak berkata apa-apa apabila melihat anak-anak bertepuk tangan menyokong bapa mereka. Saya bangga ada suami yang memahami dan mahu belajar memajukan diri untuk kami sekeluarga.

"Sekurang-kurangnya makanan yang disediakan itu berkualiti, boleh dimakan dan tidak membazir. Tidak salah kita belajar kerana terdapat berbagai kaedah terkini untuk memudahkan kita melakukan kerja-kerja harian di rumah atau di mana sahaja.

"Suami telah mengajar saya untuk menjadi isteri dan ibu yang sentiasa menjaga kebajikan anak-anak dan rumah tangga daripada perkara lain. Mulai hari itu, saya juga membeli CD menu masakan yang dijual di pasaran.

"Terima kasih abang kerana mengilhamkan saya cara terkini penyediaan masakan untuk keluarga yang sebelum ini tidak pernah saya fikirkan. Seronoknya seluruh rumah mula rajin ke dapur. Ada yang membantu membersihkan sinki, mop lantai dan yang perempuan, sudah pandai potong sayur, kopek bawang walaupun belum masuk alam remaja.

"Saya terharu kerana sebelum ini, suami saya tidak menunjukkan tanda-tanda rajin ke dapur tetapi apabila anak kami ditimpa kemalangan, dia telah melaksanakan kerja yang sepatutnya saya buat di rumah dengan baik.

"Terima kasih Ya Allah di atas rahmat-Mu kepada keluarga saya. Terima kasih kerana memberi saya seorang suami yang baik dan prihatin. Semoga rumah tangga kami kekal bahagia hingga ke akhir hayat dan semoga keluarga kami sentiasa di dalam perlindungan-Mu. Amin," Zihan menamatkan cerita.

Menarik bukan kisah Zihan dan suaminya? Saya turut gembira dengan kehidupan yang mereka lalui dan berharap apa yang berlaku dalam rumah tangga Zihan akan menjadi teladan kepada pasangan suami isteri lain.

Hendaknya lebih banyak kaum Adam di luar sana yang telah menjadi suami tampil membantu isteri dengan belajar memasak sebagai persediaan apabila berlaku keadaan terdesak.

Jika sebelum ini, suami hanya membantu membersih rumah, sidai pakaian atau membasuh pinggan mangkuk, apa kata sekarang belajar memasak pula. Sekurang-kurangnya boleh bertukar-tukar menu dengan isteri.

Syabas dan tahniah kepada Shukor kerana bijak mengambil kesempatan untuk belajar memasak pada saat isteri sedang menjaga anak di hospital. Saya doakan keluarga Zihan akan diberi rahmat oleh Allah SWT.

Kepada para isteri, jangan pula mengambil kesempatan sekiranya suami sudah mengambil alih tugas di dapur, sebaliknya perlu ada semangat saling membantu agar keharmonian rumah tangga dapat terus dipertahankan.

Menamatkan catatan, sedikit pesanan yang mungkin boleh dikongsi bersama. Suami yang bertanggungjawab bukan sahaja mampu melaksanakan amanah yang Allah berikan kepadanya tetapi juga bijak membaca perasaan dan menilai pengorbanan isteri untuk kesejahteraan dirinya, keluarga dan rumah tangga dengan rasa kasih yang tidak ada sempadan.

Salam

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved