Jumaat, 26 April 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Jawi saman Husam kerana sebar fitnah

Posted: 26 Apr 2013 12:38 PM PDT

Che Mat Che Ali

PUTRAJAYA 26 April - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan menyaman calon Pas Parlimen Putrajaya, Datuk Husam Musa kerana menyebarkan fitnah menuduh jabatan itu memecat serta-merta ahli jawatankuasa (AJK) Surau Abdul Rahman Auf di Presint 11, di sini.

Pengarah Jawi merangkap Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali berkata, satu laporan polis dibuat hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya berhubung fitnah tersebut.

"Husam buat fitnah, memang dia buat fitnah kepada Jawi, kepada penjawat awam. Saya akan saman dia dan saya akan lapor polis kerana difitnah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Isu pemecatan itu disiarkan melalui laman sosial facebook Husam P125 Putrajaya yang menyatakan 'AJK Surau dipecat serta merta kerana benar Calon P-125 Putrajaya berta'ruf'.

Husam mendakwa, beliau diberitahu oleh pengerusi dan bendahari surau tersebut kononnya mereka dipanggil menghadap Pengarah Jawi dan memaklumkan semua AJK surau berkenaan telah diberhentikan serta-merta kerana membiarkannya berta'ruf dengan makmum surau tersebut.

Sebelum itu, Jawi dalam kenyataannya pada 23 April memberitahu, Unit Pengurusan Kariah, Jawi Cawangan Putrajaya telah menghubungi beberapa buah surau bertanyakan isu penyalahgunaan surau untuk berpolitik dan Pengerusi surau memaklumkan bahawa Husam hadir pada 20 April.

"Husam menunaikan solat Isyak berjemaah di situ dan kehadirannya tidak diketahui oleh AJK, bukan atas jemputan dan pihak surau juga tidak menerima sebarang permohonan rasmi daripada pihak beliau. Setelah selesai solat Husam menyampaikan tazkirah selama lima hingga 10 minit berkenaan Nabi Yusuf.

"Pada 24 April AJK surau minta berjumpa Pengarah Jawi memberikan penjelasan berhubung perkara itu, pengerusi memaklumkan beliau tiada di surau dan tidak tahu siapa AJK lain dan imam yang ada bersama ketika itu," katanya.

Menurut Che Mat, isu pemecatan serta-merta AJK surau semasa perjumpaan tersebut sebagai mana didakwa dalam facebook P-125 Putrajaya pada 25 April adalah tidak benar sama sekali.

Tindakan UPSI gantung pengajian Adam Adli sah - Hakim

Posted: 26 Apr 2013 12:38 PM PDT

Adam Adli Abd. Halim

KUALA LUMPUR 26 April - ''Para pemimpin (pemimpin negara) hendaklah dihormati walaupun apa pegangan politik mereka. Sebagai orang muda seperti pemohon (Adam Adli Abd. Halim) perlu hormat orang lebih tua dan pemimpin negara kerana satu budaya kita.''

Nasihat tersebut diberikan oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di sini kepada pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli dalam permohonan semakan kehakimannya berhubung penggantungan pengajiannya selama tiga semester.

Adam Adli, 24, dikenakan tindakan tersebut ekoran perbuatannya menurunkan bendera tertera gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di ibu pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ketika perhimpunan haram pada 17 Disember 2012.

Hakim Datuk Zaleha Yusof dalam keputusannya hari ini menolak permohonan semakan kehakiman tersebut setelah mendapati UPSI berhak mengambil tindakan terhadapnya.

''Mahkamah bersetuju dengan hujah pihak responden, tidak wujud pelanggaran apa-apa prosedur terhadap pemohon dalam proses tindakan tatatertib,'' kata Hakim Zaleha.

Memandangkan Adam Adli seorang pelajar, mahkamah tidak membuat perintah tentang kos terhadapnya.

Pelajar semester kelima Pengajian Inggeris sebagai Bahasa Kedua itu digantung pengajian selama tiga semester bermula semester kedua sesi 2011/2012 sehingga September depan setelah dibicarakan oleh Jawatankuasa Tatatertib UPSI, Mac tahun lalu.

Adam Adli kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 17 April 2012 untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Rayuan Tatatertib pada 8 Mac 2012 yang mengekalkan hukuman penggantungan tersebut kerana didakwa melanggar peraturan universiti.

Pemohon yang diwakili peguam Mohd. Afiq Mohd. Noor menamakan UPSI dan Jawatankuasa Rayuan Tatatertib sebagai pihak responden. Mereka diwakili peguam Mohaji Selamat.

Mohd. Afiq memberitahu pemberita, pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Pada 9 Januari 2012, lima ahli Jawatankuasa Tatatertib UPSI yang dipengerusikan Naib Canselornya, Datuk Dr. Zakaria Kasa sebulat suara mendapati Adam Adli telah mencemar nama baik universiti.

Mengikut pertuduhan: Tindakannya menurunkan gambar Perdana Menteri iaitu harta yang bukan miliknya tanpa kebenaran dan persetujuan PWTC dalam keadaan sedar di khalayak ramai secara terbuka dengan sengaja mendedah perbuatan itu untuk dirakam sama ada dalam bentuk gambar atau video telah menimbul kekecohan orang awam.

Perbuatan tersebut bercanggah dengan moral, kesopanan dan tatatertib seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) selain mencemarkan nama baik UPSI yang mendidik, mengajar dan melahirkan para intelektual.

Sabitan kesalahan tatatertib itu diputuskan melanggar Kaedah 3(a)(i) dan (ii), Bahagian II, Tatatertib Am, Kaedah-Kaedah UPSI (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1999.

Dalam penghakimannya, Hakim Zaleha juga mengingatkan, pemohon telah melakukan perbuatan- perbuatan itu (seperti pertuduhan tatatertib) yang mendapat publisiti meluas sehingga nama UPSI terpalit sama.

Mahkamah juga tidak mendapati tindakan tatatertib yang diambil oleh UPSI berunsur mala fide (niat jahat).

Malahan Hakim Zaleha berkata, UPSI dalam afidavit mereka telah menjelaskan dengan panjang lebar kepada pemohon tentang haknya.

Hak tersebut ialah pemohon boleh membawa sama ada pelajar lain ataupun kakitangan UPSI untuk mewakili atau mengemukakan pembelaannya sendiri dalam prosiding tatatertib terhadapnya.

Namun pemohon tidak berbuat demikian malah semasa rayuannya di depan Jawatankuasa Rayuan Tatatertib, dia tidak hadir dan hanya menghantar wakil yang datang lewat pada pukul 12 tengah hari selain memilih untuk tidak mengemukakan sebarang representasi.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved