Jumaat, 26 April 2013

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Seorang lemas, dua lagi dikhuatiri hilang

Posted: 26 Apr 2013 09:20 AM PDT

Oleh HASHIM P. MAMAT

PADANG RENGAS 27 April - Seorang remaja ditemui mati lemas manakala dua rakannya dikhuatiri menerima nasib sama selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi-manda di Sungai Paya Lintah, Batu Hampar dekat sini kira-kira pukul 5 petang semalam.

Mangsa yang lemas ialah Mohamad Khairul Safuan Tajuddin, 18, manakala dua rakannya yang masih hilang hanya dikenali sebagai Farah dan Ida berusia 15 dan 16 tahun.

Ketua Polis Daerah Padang Rengas, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Muhamad berkata, enam yang lain termasuk abang kembar Mohamad Khairul, Mohamad Khairul Azwan berjaya menyelamatkan diri.

"Berdasarkan keterangan mereka yang terselamat, arus deras tiba-tiba datang dan menghanyutkan ketiga-tiga mangsa manakala yang lain sempat berpaut pada pokok buluh di sungai berkenaan," katanya ketika dihubungi malam tadi.

Abdul Ghafar berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat.

Beliau memberitahu, pasukan bomba dan penyelamat dibantu pihak polis serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menjalankan kerja-kerja mencari sejak petang sebelum menghentikan operasi pada pukul 8 malam tadi dan akan disambung siang ini.

Sementara itu, Mohamad Khairul Azwan memberitahu, dia dan adiknya bersama rakan-rakan sedang dalam perjalanan balik dari Kampung Salak Station dekat sini sebelum singgah di sungai berkenaan untuk mandi-manda.

Katanya, aliran air sungai terlalu deras sehingga turut menghanyutkan motosikalnya.

"Mulanya keadaan biasa-biasa sahaja walaupun hujan agak lebat. Ketika kami sedang bersedia untuk pulang, arus deras tiba-tiba datang dan menghanyutkan adik (Mohamad Khairul Safuan).

"Mujur saya sempat berpaut, tidak lama selepas itu baru kami sedar Farah dan Ida juga tiada," katanya ketika ditemui di HKK.

Sementara itu, bapa mangsa, Tajuddin Othman, 31, memberitahu, dia tidak mengetahui kedua-dua anak kembarnya keluar dari rumah kerana sedang bekerja.

Tajuddin berkata, dia mendapat berita kematian anaknya itu kira-kira pukul 6 petang lalu terus bergegas ke hospital. - UTUSAN

Tkp Kastam ditembak mati

Posted: 26 Apr 2013 12:38 PM PDT

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN, SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
pengarang@utusan.com.my

KU Chin Wah (dua dari kiri) menyiasat lokasi insiden Shaharuddin Ibrahim ditembak mati di persimpangan lampu isyarat Lebuh Sentosa, Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 26 April - Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Bahagian Perkastaman/Cukai Dalam Negeri, Datuk Shaharuddin Ibrahim mati ditembak dalam perjalanan ke tempat kerja berhampiran persimpangan lampu isyarat Lebuh Sentosa di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, dalam kejadian kira-kira 8.15 pagi itu, pegawai kanan berumur 58 tahun itu terkena tiga das tembakan di leher dari jarak dekat oleh dua lelaki menunggang motosikal.

Kejadian itu berlaku ketika kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Murano berwarna hitam yang dinaiki mangsa bersama pemandunya sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat untuk menghala ke Lebuh Wawasan.

"Mangsa duduk bersebelahan dengan pemandunya dalam perjalanan ke tempat kerja dari rumahnya di Dengkil, Selangor tiba-tiba didatangi sebuah motosikal dari arah belakang yang dinaiki dua lelaki.

''Secara tiba-tiba mereka melepaskan tiga das tembakan mengenai leher mangsa dan terus memecut melarikan diri," katanya kepada pemberita semasa ditemui di lokasi kejadian di Presint 9, di sini hari ini.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Putrajaya oleh pemandunya sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 9.20 pagi.

Jarak lokasi kejadian kurang daripada satu kilometer dari Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, Hospital Putrajaya, Ibu Pejabat Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya serta Putrajaya Sentral.

Beliau berkata, mangsa dipercayai ditembak menggunakan senjata api jenis automatik.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kita sedang menunggu keputusannya, sebarang maklumat lanjut akan menyusul kemudian," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihak polis akan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran tempat kejadian untuk membantu siasatan.

Sementara itu, seorang saksi yang enggan dikenali memberitahu, penembak dipercayai menggunakan alat penyenyap kerana kejadian itu hanya disedari selepas Allahyarham rebah berlumuran darah.

Pemandu berkenaan kemudian terus membuat pusingan U untuk ke Hospital Putrajaya.

Kejadian menyebabkan kesesakan teruk di persimpangan lampu isyarat tersebut kerana polis melakukan siasatan dipercayai untuk mencari kelongsong peluru dan bahan bukti lain.

Seorang lagi saksi yang enggan dikenali berkata, dia melihat dua lelaki berkulit gelap menaiki sebuah motosikal melepaskan tembakan ke arah mangsa.

Katanya yang semasa kejadian hendak menuju ke tempat kerja, kereta mangsa berada di hadapan kenderaannya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved