Selasa, 4 Oktober 2011

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Taman Lokan gamit pelancong

Posted:

Taman Lokan gamit pelancong

Taman Lokan gamit pelancong

Oleh MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM
utusanmelaka@utusan.com.my


ZAINAL Md. Ali menunjukkan lokan yang terdapat di Taman Lokan miliknya yang terletak di tebing Sungai Linggi-Rembau di Masjid Tanah, Alor Gajah.


ALOR GAJAH 3 Okt. - Sungai Linggi yang menjadi sempadan antara Negeri Sembilan dan Melaka bukan lokasi asing kerana selain mempunyai nilai sejarah sejak era Kesultanan Melayu Melaka, sungai itu juga sering menjadi buah mulut khususnya di kalangan kaki-kaki pancing.

Sungai Linggi juga boleh dikatakan cukup sinonim dengan udang galah atau nama jolokan 'si sepit biru' dan pelbagai spesies ikan sungai termasuk senangin, sembilang dan serkot.

Mengimbau kembali sejarah, Sungai Linggi yang bermula di pertemuan Sungai Rembau dan Sungai Linggi di sini, pernah menjadi laluan pedagang bijih timah pada abad ke-18.

Pernah dikaitkan dengan laluan yang digunakan oleh Hang Tuah semasa membawa puteri Tun Teja dari Pahang untuk dipersembahkan kepada Sultan Melaka, Sultan Mansor Shah.

Selain kisah sejarah, udang galah dan hidupan lain yang mengangkat nama Sungai Linggi, terdapat satu lagi keistimewaan yang mungkin belum diketahui umum iaitu sebuah kawasan yang dikenali sebagai Taman Lokan yang berada berada di tebing Sungai Linggi-Rembau.

Bagi yang pertama kali menyusuri sungai tersebut pasti tertanya-tanya apabila melihat papan tanda "Selamat Datang ke Taman Lokan" yang ditulis tangan.

Pastinya ramai yang beranggapan kawasan berkenaan adalah sebuah pusat rekreasi dan riadah.

Bagaimanapun, mereka pasti terkejut melihat hampir keseluruhan ruang di taman itu dihiasi dengan kulit lokan seperti Jalur Gemilang, bendera Melaka, logo 1Malaysia serta lorong pejalan yang turut menggunakan kulit lokan sebagai urutan kaki.

Tidak cukup dengan itu, terdapat dua kerusi yang diberi nama kerusi urut lokan yang dibuat khusus untuk merehatkan badan menggunakan kulit lokan sebagai pelapik duduk dan penyandar.

Walaupun Taman Lokan terletak jauh dari bandar raya ini, namun ia cukup terkenal di kalangan pelancong dari dalam dan luar negara.

Tidak hairanlah pelancong luar negara seperti Indonesia, Singapura, Australia, Pakistan, Bangladesh, England, Korea Selatan dan beberapa negara lagi kerap mengunjungi taman tersebut.

Lokan adalah spesies makanan laut yang tergolong dalam spesies kupang dan kepah yang menjadi salah satu makanan penduduk di negeri ini terutama yang tinggal di pesisir pantai Selat Melaka.

Kulitnya pula dijadikan salah satu produk pelancongan terbaru menjadi mercu tanda tarikan pelancong ke Kuala Linggi yang terletak kira-kira 120 kilometer dari bandar raya ini.

Taman Lokan yang diilhamkan oleh bekas pesara tentera, Zainal Md. Ali, 59, berkonsepkan sebuah taman rekreasi dan bakal menjadi ikon baru Sungai Linggi-Rembau.

Di kawasan seluas 0.96 hektar yang dibuka pada 2007 bermula dengan hanya 20 lokan dibiakkan sebagai permulaan, kini jumlahnya hampir mencecah 4,000.

Biarpun Taman Lokan yang dibina hasil titik peluh Zainal tidak secantik taman rekreasi lain yang terdapat di negeri ini tetapi ideanya mewujudkan taman tersebut tetap menjadi tarikan pelancong.

Berkunjung ke taman ini, orang ramai berpeluang merehatkan badan sambil menikmati keindahan Sungai Linggi-Rembau yang penuh dengan hutan paya bakau, flora dan fauna.

Pada sebelah malam pula, mereka berpeluang melihat kelip-kelip sehebat di Kuala Selangor dan lain-lain tempat di negara ini.

Trek menggunakan kulit lokan pula dibina sepanjang 100 meter bertujuan sebagai urutan kaki dan jika berkesempatan boleh merasai buah nipah yang enak rasanya.

Di samping itu juga, pengunjung turut berpeluang menyusuri sungai Linggi serta memancing udang galah dan pelbagai spesies ikan air tawar dan laut kerana sampan turut disediakan.

Taman Lokan juga turut menyediakan penginapan inap desa yang cukup selesa bagi menghilangkan penat selepas seharian menjelajah kawasan tersebut.

Zainal mohon bantuan kerajaan negeri

Posted:

Zainal mohon bantuan kerajaan negeri

Zainal mohon bantuan kerajaan negeri


Seorang nelayan, Arshad Hamzah, menunjukkan udang galah yang menjadi antara tarikan bagi Sungai Linggi-Rembau selain pelbagai spesies hidupan sungai lain.


ALOR GAJAH 3 Okt. - Taman Lokan mampu menjadi produk baru pelancongan di negeri ini jika mendapat bantuan daripada kerajaan negeri terutamanya Bahagian Promosi Pelancongan Melaka (BPPM).

Pengusahanya, Zainal Md. Ali, 59, berkata, taman tersebut tidak dapat menyediakan pelbagai infrastruktur berbanding taman rekreasi lain kerana kurang bantuan daripada kerajaan negeri.

Menurutnya, taman tersebut perlu mendapat bantuan kerajaan negeri kerana ia semakin mendapat perhatian pelancong dalam dan luar negara serta ahli akademik yang berminat membuat kajian mengenai lokan.

"Walaupun taman ini dibina dengan kos RM2,000 dengan menggunakan kayu hanyut untuk membuat jeti tetapi sambutan yang diterima sangat menggalakkan terutamanya daripada pelancong luar negara.

''Jika kerajaan negeri sedia membantu, saya yakin taman ini akan menjadi lebih terkenal kerana ia secara tidak langsung menjadikan Kuala Linggi dikenali oleh pelancong," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, sejak taman itu dibina, dia menganggap dirinya sebagai duta kecil yang mempromosikan Malaysia dan negeri Melaka.

Malah katanya, ada di antara pelancong luar negara yang datang merupakan pegawai tinggi kerajaan di negara berkenaan.

"Saya tunjukkan kepada pelancong luar mengenai keistimewaan negeri Melaka dan Sungai Linggi kerana di sini kita mempunyai pelbagai produk seperti makanan laut, hasil sungai, lokan, udang galah serta membawa mereka menyusuri sungai sambil melihat keindahan flora dan faunanya," ujarnya lagi.

Zainal yang berasal dari Ramuan China Besar, Masjid Tanah itu mengidamkan agar suatu hari Taman Lokan akan menjadi ikon kepada Sungai Linggi.

Lebih penting katanya, taman itu bakal muncul sebagai salah satu produk pelancongan negeri yang berdaya saing yang seterusnya mampu meningkatkan jumlah kemasukan pelancong ke negeri ini.

Beroperasi secara haram

Posted:

Beroperasi secara haram

Beroperasi secara haram

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 3 Okt. - Sebuah hotel bertaraf tiga bintang dan dua buah restoran termasuk sebuah premis makanan segera antarabangsa dikesan menjalankan perniagaan secara haram sejak beberapa minggu lalu.

Selain beroperasi tanpa lesen perniagaan, premis tersebut terbabit turut didapati belum memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ketua Ahli Majlis Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Mohd. Yusof Hassan yang mendedahkan perkara itu dalam tinjauannya di tiga premis tersebut di sini baru-baru ini berkata, beliau terkejut bagaimana keadaan itu boleh berlaku.

"Saya dapati bahagian belakang salah sebuah restoran itu belum siap sepenuhnya tetapi sudah beroperasi walaupun Tenaga Nasional Berhad (TNB) masih belum membuat sambungan bekalan ke tempat mereka.

"Semakan juga mendapati, ketiga-tiga premis ini masih belum mendapat CCC tetapi apa yang menghairankan ialah bagaimana mereka boleh mendapat bekalan air dan elektrik?" katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Beliau menambah, perkara itu perlu dipandang serius kerana orang ramai seringkali akan menyalahkan MBMB sekiranya berlaku kejadian yang meragut nyawa atau kerugian seperti kebakaran dan sebagainya.

"Saya akan bangkitkan perkara ini dalam mesyuarat teknikal MBMB dalam tempoh terdekat ini bagi mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemilik premis terbabit," katanya.

Menurut Mohd. Yusof, pemeriksaannya itu juga mendapati sebuah hotel bertaraf tiga bintang yang beroperasi di Taman Melaka Raya di sini sejak tiga bulan lalu sudah dikenakan 30 kompaun oleh MBMB kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Katanya, kompaun bagi kesalahan sama pernah dikenakan terhadap pemilik restoran makanan segera di Cheng, kerana turut beroperasi walaupun belum mendapat lesen perniagaan sejak tiga minggu lalu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved