Selasa, 4 Oktober 2011

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Jadikan pusat prasekolah moden

Posted:

Jadikan pusat prasekolah moden

Jadikan pusat prasekolah moden

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

KUALA LIPIS 4 Okt. - Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Kuala Kechau di sini, dipilih menyertai program pembangunan pendidikan prasekolah anjuran Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM).

Ia merupakan usaha Persatuan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Universiti Malaya (PPAKKUM) menjadikan tabika luar bandar di negeri ini sebagai pusat pendidikan prasekolah yang moden.

Program perintis itu diterajui oleh Prof. Madya Dr. Mariani Md. Nor. yang turut menyumbang kepakaran dalam aspek pedagogi dan bahan bantuan mengajar (BBM) untuk tabika tersebut.

Beliau berkata, selain Tabika Kemas Kuala Kechau, Fakulti Pendidikan UM dan PPAKKUM turut bersedia menawarkan khidmat dalam membantu Tabika Kemas di luar bandar dan pedalaman di negeri ini ke arah mempelbagai pedagogi pengajaran dan pembelajaran (P&P) prasekolah.

"Projek ini sebahagian daripada pengisian Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak agar mahasiswa terlibat dapat memperoleh pengalaman serta dapat mengaplikasikan pengetahuan dalam dunia sebenar.

"Untuk itu, kita sedia membantu mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif di Tabika Kemas luar bandar dan pedalaman agar kanak-kanak berkenaan dapat belajar dalam persekitaran yang menyeronokkan mereka," katanya.

Mariani yang juga Penyelaras Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak Fakulti Pendidikan UM berkata demikian selepas majlis perasmian Program Dekorasi Tabika Kemas Daerah Lipis di Kampung Kuala Kechau di sini, kelmarin.

Program tersebut yang dijayakan oleh 80 mahasiswa Fakulti Pendidikan UM itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengangkutan dan Pertumbuhan negeri, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak.

Sementara itu, Mohd. Soffi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Benta berkata, fasa pertama projek berkenaan membabitkan peruntukan RM5,000.

"Saya bersyukur kerana usaha PPAKKUM telah membantu menjadikan Tabika Kemas Kuala Kechau setaraf dengan institusi prasekolah di tempat lain.

"Malah daripada aspek bahan pengajaran, kemudahan di sini lebih menarik dan canggih menerusi proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih kreatif, kritis dan dinamik berdasarkan model prasekolah di Australia," katanya.

Pada majlis itu, Mohd. Soffi turut mengumumkan peruntukan tambahan RM5,000 untuk membantu projek dekorasi Tabika Kemas Kuala Kechau.

Beliau menambah, komitmen PPAKKUM yang menawarkan pelbagai inovasi amat dihargai kerana ia dapat menambah minat kanak-kanak Tabika Kemas untuk mengikuti pendidikan prasekolah.

"Untuk itu, kerajaan negeri bersedia menawarkan Tabika Kemas di luar bandar dan pedalaman untuk PPAKKUM menabur bakti khususnya membantu menambah baik peralatan belajar dan keceriaan bangunan berkenaan," ujarnya.

Dua graduan terima Anugerah Diraja UMP

Posted:

Dua graduan terima Anugerah Diraja UMP

Dua graduan terima Anugerah Diraja UMP


HASRUL Reeza Mustaffa (tengah) bersama para penerima anugerah lain gembira selepas majlis Konvokesyen Ke-6 UMP di Gambang, Kuantan, baru-baru ini.


KUANTAN 4 Okt. - Universiti Malaysia Pahang (UMP) mencatat sejarah apabila dua graduannya menerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen Keenam universiti itu di sini, baru-baru ini.

Ini merupakan Anugerah Pelajaran Diraja pertama yang dikurniakan buat penuntut UMP sejak universiti tersebut diwujudkan.

Mereka ialah graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer, Hasrul Reeza Mustaffa dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Mohamad Nazrin Kooy Mohd. Daniel Kooy.

Bagi Hasrul, ia merupakan kali kedua dia menerima anugerah tersebut kerana sebelum ini mendapat anugerah sama semasa mengikuti pengajian peringkat diploma di universiti itu.

Katanya, kejayaan itu adalah hasil daripada dorongan kedua-dua ibu bapanya yang mahu dia berjaya dalam pelajaran.

"Setiap pagi dan petang, bapa akan menghubungi saya untuk memastikan saya ke kuliah supaya tidak ketinggalan dalam mengikuti pengajian.

"Saya merasakan seolah-olah semangat bapa sentiasa ada dalam diri saya untuk berjaya," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis konvokesyen tersebut di sini.

Pada majlis itu, Canselor UMP, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menyampaikan ijazah dan diploma kepada 1,200 graduan.

Menurut Hasrul, tiada rahsia untuk mencapai kejayaan kecuali sentiasa berusaha untuk menjadi lebih cemerlang.

Anak Penyelia Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Perak itu berkata, penglibatannya dalam aktiviti persatuan di kampus bukan penghalang kepada dirinya kerana paling utama akademik harus diberi perhatian.

40 mahasiswa UUM sertai Kembara Ilmiah

Posted:

40 mahasiswa UUM sertai Kembara Ilmiah

40 mahasiswa UUM sertai Kembara Ilmiah


PARA peserta Kembara Ilmiah dari UUM berhimpun sebelum bergotong-royong membersihkan Tanah Perkuburan Kampung Kedondong di Jerantut, baru-baru ini.


JERANTUT 4 Okt. - Seramai 40 mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) berkampung tiga hari di daerah ini sempena Kembara Ilmiah 2011 yang bermula Khamis lalu.

Program tersebut melibatkan mahasiswa tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan yang diiringi seorang pensyarah, Prof. Madya Dr. Frederick Fernandez.

Ketua program, Siti Fatiah Basri, 22, berkata, sebaik sahaja tiba di sini, mereka dibawa ke Taman Pelangi untuk bertemu dengan keluarga angkat masing-masing.

"Keesokannya (Jumaat), kami semua mengadakan program Rehat Minda bersama murid-murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Jerantut yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Datuk Lau Lee," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Siti Fatiah berkata, kesemua peserta program tersebut kemudiannya mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan Tanah Perkuburan Kampung Kedondong yang menempatkan pusara pahlawan Melayu terbilang, Mat Kilau.

"Kami cukup bertuah kerana dapat melihat sendiri pusara Mat Kilau yang merupakan tokoh terbilang negeri Pahang.

"Selain itu, kami turut diberi penerangan tentang sejarah perjuangan Mat Kilau dalam menentang penjajahan British oleh Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kedondong, Rosli Mat Salim," ujarnya.

Beliau memberitahu, pada sebelah malamnya pula, mereka mengadakan majlis beramah mesra bersama keluarga angkat dan penduduk di Taman Pelangi.

"Pada hari terakhir di Jerantut, kami semua mengadakan aktiviti khidmat masyarakat di Felcra Sungai Pohor dekat sini.

"Program ini bertujuan mendekatkan mahasiswa dengan masyarakat selain menyelami kehidupan penduduk kampung dan mengetahui dengan lebih mendalam sejarah daerah ini," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved