Selasa, 4 Oktober 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Pantau pelaksanaan Belanjawan 2012

Posted:

Pantau pelaksanaan Belanjawan 2012

Pantau pelaksanaan Belanjawan 2012

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@yahoo.com

SEBENARNYA, tempoh untuk membuat saranan bagi Belanjawan 2012 boleh dikatakan sudah tamat memandangkan draf pembentangan Perdana Menteri juga sudah berada di peringkat tapisan akhir.

Namun, itu tidak bermakna Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lagi menerima cadangan proaktif dan produktif mana-mana pihak terutamanya daripada rakyat jelata.

Gaji, harga barang dan minyak menjadi tiga faktor utama menentukan kos sara hidup rakyat kini tetapi kerajaan sebenarnya hanya boleh mengawal aspek gaji atau pendapatan, itu pun sehingga tahap tertentu sahaja bagi mengelakkan inflasi.

Faktor minyak sememangnya di luar kawalan kerana terpaksa mengikut harga pasaran dunia sementara harga makanan dan kebanyakan produk lain akan mengikut harga minyak memandangkan hampir keseluruhan jentera pengangkutan dan pembuatan masih menggunakan minyak.

Bagaimanapun, masih terdapat beberapa aspek pelaksanaan Belanjawan 2012 untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat yang masih dalam bidang kuasa kerajaan.

Bagi pemerhati veteran hal ehwal ekonomi negara, Profesor Dr. Amir Baharuddin, bukannya isi Belanjawan 2012 tetapi aspek pelaksanaan selepas pembentangannya adalah yang paling penting.

"Apa sekalipun yang diumumkan dalam belanjawan ini tidak akan menjadi atau memberi kesan jika pelaksanaannya tidak dipantau rapi. Mengikut cara transformasi kerajaan dan ekonomi, biarlah apa yang diumumkan berkesan, menepati sasaran dan paling penting dirasai rakyat yang mengundi kerajaan," tegasnya.

Tambahnya, jika rakyat selesa dan merasai apa dijanjikan, maka mereka akan sayang kerajaan kerana apa yang dikehendaki adalah 'keberkesanan'.

Antara saranan beliau adalah satu mekanisme pemantauan terhadap penyampaian sebarang bentuk subsidi atau insentif yang dijanjikan kepada rakyat agar tidak berlaku ketirisan kepada warga asing atau mereka yang tidak layak.

"Subsidi seperti buku atau komputer riba kepada pelajar juga perlu dipantau rapi bagi memastikan yang layak dan berhak sahaja menerimanya. Perhatikan juga sama ada penerima telah menerima subsidi sama sebelum ini," katanya.

Beliau juga berharap barang atau produk yang dikawal atau ditetapkan harganya dipantau rapi, bukan sahaja di peringkat runcit malahan di peringkat gerai.

Amir turut mencadangkan pemantauan atau kawalan terhadap kadar sewaan dilaksanakan agar penjimatan harga barang tidak diserap pula dengan kos sewa terlalu mahal. Belanjawan 2012 boleh dirosakkan jika kadar sewaan tidak dipantau langsung kerana akhirnya kos itu akan ditolak kepada pengguna melalui kenaikan harga barang yang dijual.

"Kerajaan boleh wujudkan kawalan kadar sewaan memandangkan ada pemaju dan pemilik kini bertindak mengenakan caj sewaan melampau sehinggakan peniaga sendiri tidak mampu membayar sewa," dakwanya.

Dalam aspek pemantauan, beliau mencadangkan kementerian berkenaan menggunakan sepenuhnya kerjasama pengguna selaku agen pemantau pasaran dengan menyediakan tempat membuat aduan.

"Memandangkan mekanisme pemantauan dan kawalan sukar dilaksanakan kerana kekurangan tenaga kerja, kementerian berkenaan perlu menggunakan sebaiknya kesediaan para pengguna sendiri memantau harga barang dan perkhidmatan.

"Sediakan tempat untuk mereka salurkan aduan dan laporan seperti portal di internet tetapi jangan pula tidak disusuli tindakan kerana rakyat mahu melihat ada kesan hasil bantuan yang mereka salurkan secara percuma kepada kerajaan," jelasnya.

Berhubung kenaikan gaji dan bonus untuk kakitangan awam, Amir berkata, beliau tidak menyokong kenaikan gaji kerana dikhuatiri hanya membawa kepada inflasi kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

"Gaji tinggi tidak berguna jika disusuli inflasi tinggi akibat tiada pemantauan dan pelaksanaan perundangan terhadap peniaga yang ingkar. Pemberian bonus adalah lebih baik kerana bukan berpanjangan dan sukar dijadikan alasan menaikkan harga barang," katanya.

Walaupun Belanjawan 2012 mungkin telah ada ketetapan, beliau tetap mencadangkan pemberian bonus terlebih dahulu dan disusuli pemantauan terhadap kawalan perbelanjaan dan inflasi sebelum diberikan insentif lain seperti kenaikan gaji.

"Perlu ditekankan di sini, transformasi kerajaan, transformasi ekonomi dan Belanjawan 2012 boleh dianggap berjaya jika wujud 'keberkesanan' dalam pelaksanaannya dan ini bermula dengan pemantauan rapi apa yang diumumkan atas kertas, dan apa yang dicapai akhirnya," tegasnya.

Ketua Jaringan Jawatankuasa Kluster Ekonomi dan Kewangan, Majlis Profesor Negara, Profesor Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman juga bersetuju aspek pelaksanaan amat penting dalam menentukan kejayaan Belanjawan 2012.

"Bergantung kepada apa yang diumumkan dalam belanjawan kali ini, aspek pelaksanaan dan pengurusan amat penting dalam mengelakkan ketirisan berlaku.

"Kerajaan boleh belanjakan berapa sekalipun mengikut keperluan dan keutamaan tetapi sukar mencapai sasaran jika pelaksanaan rancangan itu tidak dipantau dengan baik," tegasnya.

Berhubung kebarangkalian kenaikan gaji, beliau berharap kerajaan turut memberi fokus kepada skim simpanan pekerja dan bukan sekadar kemampuan berbelanja.

"Dari satu sudut, pekerja secara umumnya pasti gembira tetapi ini tidak bererti mereka mampu menyimpan kerana kos sara hidup mungkin terus meningkat bersama gaji yang lebih besar. Produktiviti kerja juga perlu diberi tumpuan kerana pekerja tidak produktif tetapi menikmati gaji tinggi akan memberi kesan kepada ekonomi,"jelasnya.

Oleh itu, Abdul Rahim lebih cenderung ke arah kenaikan gaji diberi berdasarkan prestasi kerja berbanding diberi sama rata kepada semua kakitangan awam agar kesannya dinikmati dalam jangka panjang dan bukan bersifat sementara sahaja.

Beliau menjelaskan, kerajaan juga tidak semestinya memberi kenaikan gaji kerana insentif lain seperti potongan cukai pendapatan dan cukai lain juga dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat.

"Subsidi bagus untuk rakyat tetapi akan menambah defisit belanjawan tahunan negara. Oleh itu, insentif lain seperti potongan cukai lebih sesuai dan berkesan. Cabaran utama bagi kerajaan kini adalah mencari keseimbangan jangka panjang dan jangka pendek. Walaupun belanjawan ini dikaitkan dengan pilihan raya umum, defisit yang ditanggung juga perlu ditangani," katanya.

Memberi contoh cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Abdul Rahim menjelaskan cukai tersebut bagus untuk jangka panjang dan dapat mengurangkan defisit belanjawan tahunan negara.

"Namun, GST tidak sesuai dilaksanakan buat masa ini bukan sahaja dari sudut politik malahan tetapi dari sudut ekonomi berikutan peningkatan kos sara hidup.

"Semuanya bergantung kepada keseimbangan yang mahu dicapai sementara pemantauan pelaksanaannya akan menentukan keseimbangan dan sasaran Belanjawan 2012 memberi kesan positif kepada rakyat dan ekonomi negara," ujarnya.

Pas oportunis demi kuasa

Posted:

Pas oportunis demi kuasa

Pas oportunis demi kuasa

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

SEORANG rakan menyuakan kepada penulis senaskhah lidah rasmi sebuah parti pembangkang dalam keluaran akhir bulan lepas. Hendak dikatakan tidak pernah membaca akhbar tabloid tersebut, tentunya penulis menipu diri sendiri. Sebagai pengamal media, tentunya organ rasmi pembangkang itu juga termasuk dalam bacaan penulis. Cumanya, jarang-jarang dibaca.

Sesekali membaca lidah rasmi pembangkang itu apabila disuakan oleh rakan penulis itu, 'terpana' juga dengan tindak balas akhbar yang kononnya menjadi lidah rasmi sebuah parti Islam ini.

Mana tidaknya, dari awal muka surat hingga ke muka 31, sebahagian besar kandungannya sarat dengan komen-komen pedas terhadap keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Bukannya hendak berterima kasih kepada Perdana Menteri, tapi habis dikutuk dan dihentamnya pemimpin kerajaan itu. Kononnya keputusan Najib itu dipengaruhi oleh tindak balas pembangkang ke atas akta itu sejak sekian lama dan pada masa sama memomokkan bahawa akta yang menggantikan ISA kelak lebih dahsyat dan zalim ke atas kebebasan awam dan politik.

Lebih pelik lagi, komen 'membelasah' Perdana Menteri dimulai dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan para sahabat yang muttaqin.

Masya-Allah. Dan lebih angkuh lagi, dicoretkan angka 11 yang dimomokkan sendiri oleh salah seorang karyawan dalam lidah pembangkang ini bahawa angka tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 yang amat diminati Perdana Menteri sebagai 'simbol sepasang batu nesan iaitu simbol kematian UMNO dan Barisan Nasional (BN).'

Tidak ketinggalan juga, dalam organ pembangkang itu dicoretkan pembelaan ke atas seorang pemimpin kanannya yang membela komunis. Belum apa-apa sudah 'angkat bakul sendiri'. Mungkin itulah sebabnya apa sahaja di depan mata yang boleh dijadikan bahan kempen untuk menaikkan parti pembangkang habis disapu oleh pemimpinnya - oportunis.

Demikian juga dengan hukum hudud. Setelah Pas sendiri meredakan tuntutannya untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan dengan mengalihkan perjuangannya daripada menegakkan sebuah negara Islam kepada negara berkebajikan, dek demi memastikan lebih ramai orang Melayu tidak meninggalkan parti itu, pemimpinnya bersandiwara lagi.

Rakyat Selangornya pastinya tidak lupa dengan tembelang Pas apabila berdepan dengan dasar kerajaan PKR Selangor yang membenarkan arak dijual di kawasan majoriti penduduknya beragama Islam. Pas dan PKR langsung tidak mengendah dan mengambil apa-apa tindakan meskipun menerima pelbagai bantahan daripada rakyat yang beragama Islam terutamanya orang Melayu.

Kerana ingin menjaga hati, ditambah pula dengan rasa takut kepada pemimpin-pemimpin DAP, penyokong dan pemimpin dari kedua-dua parti tersebut hanya mampu berdiam diri dan memekakkan telinga. Maka semakin beraja di mata dan bersultan di hatilah DAP apabila melihat Pas dan PKR langsung tak berani membantah.

Di mana suara 'harimau-harimau' Pas dan coretan serta kritikan dalam lidah rasmi pembangkang apabila Majlis Fatwa Pulau Pinang melarang seluruh masjid di Pulau Pinang daripada menyiarkan bacaan al-Quran dengan menggunakan pembesar suara sebelum subuh.

Hakikatnya banyak lagi isu yang merugikan orang Melayu yang sepatutnya memerlukan campur tangan daripada pemimpin Pas Pusat, tetapi ia didiamkan begitu sahaja. Ketika ini sibuk pula Pas menguar-uarkan diri sebagai 'pejuang' untuk membersihkan daftar pemilih daripada kelibat warga asing.

Minggu lepas, Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Khalid Samad sibuk mendakwa bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima bantahan Pas Shah Alam dan bersetuju menggugurkan 52 nama yang disyaki warga asing daripada daftar pemilih di kawasan berkenaan. Dakwa Khalid lagi, ia adalah daripada sejumlah 58 nama yang disenaraikan dalam bantahan Pas Shah Alam kepada suruhanjaya tersebut.

Mengulas kenyataan Khalid itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam berkata, pada masa ini SPR memang mengeluarkan nama-nama di laman web suruhanjaya itu untuk tujuan semakan.

Ia memang suatu kaedah biasa dalam urusan mana-mana organisasi untuk membuat upgrading. SPR, katanya, tidak boleh melakukannya secara bersendirian tetapi memerlukan kerjasama daripada semua pihak, sama ada Jabatan Perdaftaran Negara (JPN), Kementerian Pertahanan (pengundi pos dari kalangan polis dan tentera) apatah lagi parti-parti politik yang prihatin.

Beliau menarik perhatian mengenai dakwaan Pemuda Pas Pusat bahawa terdapat 170,818 nama dalam daftar pemilih suku kedua tahun ini yang tidak mempunyai kod negara. Dakwa Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi dewan itu, Suhaizan Kaiat, berdasarkan pada semakan di laman web JPN, pengundi-pengundi itu disenaraikan dengan kod rasmi '71' - merujuk kepada warga negara tidak diketahui negara asal kelahirannya, maka dakwa Suhaizan lagi, 'mereka diberi hak mengundi di negara ini'.

Suhaizan seterusnya mendakwa, seramai 42.33 peratus atau 72,742 pengundi yang tidak diketahui negara asal kelahiran ini adalah dari rumpun bangsa Cina dan 17.33 peratus atau 29,605 pengundi bangsa India manakala rakyat Bangladesh adalah mereka yang paling sedikit sekali.

Menjawab dakwaan Suhaizan itu, Abdul Aziz menjelaskan: "Sebenarnya ia berkait rapat dengan sistem di JPN itu sendiri. Jika rakyat Malaysia itu lahir di luar negara (tidak kira di Singapura, Indonesia atau Amerika Syarikat), nombor tengah dalam kad pengenalannya ditetapkan rujukannya sebagai kod '71'.

Kata Abdul Aziz: "Dalam kes kod '71' ini, ia bukan bermakna pendaftar pemilih itu mesti berasal daripada penduduk tetap (PR). Ini kerana kebanyakan pemegang kod '71' itu adalah asalnya rakyat Malaysia tetapi dilahirkan di luar negara.

Contohnya, Dr. Wan Azizah dan Azmin serta ramai lagi yang angka tengah pada nombor kad pengenalannya adalah '71'. "Kod '71' itu adalah sebagai garis panduan JPN sahaja," kata beliau.

Abdul Aziz mengakui kadang kala terdapat dalam pendaftaran JPN itu orang yang sama identitinya yang secara teknikalnya mendaftar sebanyak dua kali. Ia memperlihatkan seolah-olah dia ada dua kad pengenalan tanpa dia sendiri mengetahuinya.

"Dan apabila disemak, JPN mendapati salah satunya tidak aktif," katanya. Dalam aspek ini, beliau menegur tindak-tanduk pemimpin Pas yang suka menghebohkan sesuatu kepada akhbar dan umum untuk memburuk-burukkan SPR.

"Pas bukan bertujuan untuk membersihkan daftar pemilih, apabila jumpa kelemahan dalam daftar itu, ia lebih kepada tujuan politik dengan mendakwa SPR bermacam-macam seperti lemah dan tidak cekap...tidak ada tujuan lain Pas ini melainkan motif politik sentiasa," kata Abdul Aziz.

Yang nyata, Pas akan terus oportunis dalam menjayakan misinya untuk menumbangkan BN. Tidak kiralah sama ada ia bertentangan dengan Islam, asalkan matlamat menghalalkan cara.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved