Sabtu, 1 Oktober 2011

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Berbasikal jual DVD haram

Posted:

Berbasikal jual DVD haram

Berbasikal jual DVD haram

Oleh FARABI SHEIKH SAID Al JABRI
utusan9@utusan.com.my


ZAINAL Abidin Othman (kanan) bersama pegawainya mempamerkan DVD dan basikal yang dirampas daripada seorang lelaki yang menjual DVD tanpa tapisan di Bahau, dekat Seremban, kelmarin.


SEREMBAN 30 Sept. - Helah seorang lelaki warga China menjual cakera padat digital (DVD) dengan menggunakan basikal terbongkar apabila ditahan di sebuah medan selera di Bahau dekat sini, semalam.

Lelaki berusia 24 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dari Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan (BKF) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Negeri Sembilan, hasil maklumat awam.

Ketika ditahan suspek membawa bungkusan plastik hitam mengandungi sebanyak 167 DVD pelbagai filem serta drama dari Korea dan China

Ketua Cawangan BKF KDN negeri, Zainal Abidin Othman memberitahu, kesemua DVD yang dijual dengan harga RM8 sekeping itu tidak mempunyai sijil Perakuan B daripada Lembaga Penapisan Filem.

"Pihak kami telah menjalankan risikan selama sebulan hasil maklumat awam mengenai aktiviti penjualan DVD secara haram di restoran dan medan selera di pekan terbabit.

"Kita kemudian berjaya mengesan seorang lelaki warga China menaiki basikal sambil membawa bungkusan plastik dan berlegar-legar di sebuah medan selera," katanya di sini, semalam.

Katanya, berdasarkan maklumat, suspek bergiat aktif pada sebelah pagi dan malam dengan bergerak dari meja ke meja para pelanggan.

"Suspek ditahan mengikut Seksyen 18 Akta Penapisan Filem 2002 iaitu kesalahan menjual filem tanpa mempamerkan Sijil Perakuan B.

"Jika sabit kesalahan, suspek boleh didenda sehingga RM30,000 atau penjara maksimum tiga tahun," katanya.

Jambatan Jalan Air Keroh siap enam minggu

Posted:

Jambatan Jalan Air Keroh siap enam minggu

Jambatan Jalan Air Keroh siap enam minggu

JASIN 30 Sept. - Keresahan penduduk Jalan Air Keroh di Kampung Bukit Senggeh di sini, menanti jambatan baru yang tertangguh pembinaannya sejak dua minggu lalu dijangka berakhir dalam tempoh enam minggu lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Datuk R. Perumal berkata, kontraktor yang dilantik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi menyiapkan projek itu memberi jaminan akan memulakan kerja-kerja pembinaan Isnin ini.

Menurutnya, pada masa ini, kontraktor sedang berusaha mengumpulkan barangan keperluan projek dan peralatan mesin yang diperlukan bagi menyiapkan jambatan baru tersebut secepat mungkin.

''Jika semuanya berjalan lancar termasuk kelengkapan mesin sudah ditempatkan di tapak projek, kerja-kerja menyiapkan jambatan baru ini sudah boleh dimulakan Isnin ini," katanya ketika ditemui pemberita ketika melawat tapak pembinaan jambatan terbabit di Kampung Bukit Senggeh di sini, hari ini.

Lawatan itu diadakan sebagai susulan kepada keluhan penduduk di situ terutama 13 penghuni daripada dua keluarga di kampung itu yang mendakwa mengalami pelbagai kesulitan akibat ketiadaan laluan alternatif bagi menggantikan jambatan lama yang rosak.

Sebagai alternatif menyelesaikan masalah itu, kontraktor terlibat menyediakan laluan sementara bersebelahan jambatan lama termasuk laluan ladang getah berhampiran rumah penduduk.

Menurut Perumal, kontraktor terbabit juga bersetuju untuk membaiki semula laluan bersebelahan jambatan lama bagi membolehkan penduduk menggunakan laluan terbabit dengan sempurna.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri berkata, JPS turut menjelaskan pembinaan jambatan baru berkenaan tidak dihentikan selama dua minggu seperti yang didakwa penduduk.

Sebaliknya, ujar Perumal, masalah itu timbul berkaitan dengan isu tempahan bekalan bahan binaan yang dihadapi kontraktor sehingga menyebabkan kerja-kerja pembinaan dihentikan sementara waktu.

''Selepas ini, saya yakin, pembinaan jambatan baru ini akan siap sebelum tempoh enam minggu mengikut jadual," katanya.

Sharifah Aini, Rozita Che Wan meriahkan Malam Puisi Utusan Rabu ini

Posted:

Sharifah Aini, Rozita Che Wan meriahkan Malam Puisi Utusan Rabu ini

Sharifah Aini, Rozita Che Wan meriahkan Malam Puisi Utusan Rabu ini


Rozita Che Wan


MELAKA 30 Sept. – Jika sebelum ini penyanyi tersohor tanah air, Datuk Sharifah Aini tampil di pentas menyampaikan lagu popular di era 70-an dan 80-an tetapi penampilannya kali ini berlainan sedikit apabila beliau akan mendeklamasikan puisi pada Malam Puisi Utusan 2011 di perkarangan pusat beli-belah Mydin, Ayer Keroh di sini, Rabu ini.

Selain Sharifah Aini, johan Akademi Fantasia musim kesembilan, Hazama akan turut menonjolkan bakatnya selaku penyair beraksi di atas pentas untuk tontonan orang ramai.

Turut sama memeriahkan acara tersebut ialah penyanyi kumpulan Slam, Zamani dan aktres jelita, Rozita Che Wan.

Malam Puisi Utusan yang berusia lebih daripada 15 tahun itu buat pertama kali diadakan di luar dari Kuala Lumpur adalah anjuran bersama Exxon Mobil, Astro, Kerajaan Negeri, Persatuan Penulis Negeri Melaka (Penama) dan Mydin, Ayer Keroh.

Ketua 1 Penama, Datuk Othman Mohamad berkata, bagi golongan penyair yang akan mendeklamasi puisi akan diketuai Sasterawan Negara, Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah atau nama penanya, Kemala.

Menurutnya, selain Kemala, turut hadir penyanyi dikir barat paling popular, Halim Yazid, bekas johan Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kemerdekaan, Shukri Abdullah dan penyair lantang dari Pahang, Marsli N.O.

''Orang ramai juga berpeluang melihat penampilan penyair yang juga ahli akademik, Dr. Lim Swee Tin, kumpulan Kopratasa dan Pyan Habib.

''Di samping itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, dua wakil dari Penama, Astro, Kumpulan Utusan dan lebih menarik kehadiran dua orang kurang upaya (OKU) memeriahkan malam tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat penganjuran Malam Puisi Utusan 2011 di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Othman yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) berkata, acara tersebut akan turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob, Ahli Mesyuarat Kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Beliau menambah, lebih daripada 2,000 orang dijangka membanjiri pekarangan Mydin, Ayer Keroh bagi menyaksikan Malam Puisi Utusan yang pertama kali dianjurkan di negeri ini bermula kira-kira pukul 8.45 malam.

''Penuntut dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Bandar, Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KYM) dan pelajar sekolah menengah akan turut hadir,'' ujarnya.

Dalam pada itu beliau turut mempelawa orang ramai untuk hadir beramai-ramai untuk menyaksikan kehebatan penyair tersohor negara dan artis mendeklamasi puisi.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved