Sabtu, 1 Oktober 2011

Utusan Online - Megabait


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Megabait


Hentikan lelap di stereng

Posted:

Hentikan lelap di stereng

Hentikan lelap di stereng

Oleh MOHD. RIDZWAN IMAN
ridzwan.iman@utusangroup.com.my


ALAT penggera anti tidur akan membunyikan penggera apabila mendapati pemandu tunduk ke sudut tertentu akibat terlalu mengantuk atau terlelap.


KES pemandu bas dua tingkat terlelap yang kemudiannya menyebabkan basnya kemalangan hingga mengorbankan 10 penumpang memang suatu peristiwa yang perlu membuka mata semua orang, terutama pemandu di jalan raya.

Sememangnya sesiapa sahaja yang pernah memandu kereta mempunyai pengalaman yang hampir sama dengan pemandu bas itu iaitu terlelap seketika akibat terlalu mengantuk dan kadang kala kenderaan yang dipandu terbabas seketika dari laluannya.

Bagi yang bernasib baik, mereka akan tersedar sebelum kejadian buruk berlaku dan pada yang kurang bernasib baik, mereka mungkin tersedar selepas kemalangan berlaku.

Menurut kajian di Amerika Syarikat (AS), 23 peratus pemandu dewasa pernah terlelap ketika memandu dan kajian Bahagian Perubatan Tidur di Sekolah Perubatan Harvard mendapati, 250,000 pemandu terlelap setiap hari.

Kajian bersama Yayasan Tidur Kebangsaan AS itu juga mendapati 54 peratus pemandu dewasa menyatakan mereka terpaksa terus memandu walaupun berasa amat mengantuk dan 23 peratus daripadanya mengakui mereka benar-benar telah terlelap ketika memandu.

Melihat kepada statistik itu, sememangnya ia amat mengerikan kerana sesiapa sahaja daripada kita tentu boleh menyebabkan kemalangan akibat terlelap - seperti yang berlaku kepada pemandu bas dua tingkat yang mengorbankan 10 nyawa penumpang tadi.

Sememangnya tiada siapapun ingin berlakunya kemalangan tetapi jika terlalu mengantuk, tiada apa yang boleh anda lakukan (selain daripada tidur) kerana mata akan terlelap dengan sendirinya ketika kita sedang memandu dan ia berlaku tanpa disedari.

Bagaimanapun, terdapat alat atau gajet berteknologi yang boleh digunakan oleh pemandu untuk mengelakkan mereka terlelap ketika memandu kerana alat penggera itu akan mengejutkan sesiapa sahaja yang didapatinya terlentuk akibat mengantuk.

Teknologi yang digunakan itu sebenarnya bukanlah satu 'sains roket' kerana ia telah digunakan setiap hari oleh kita iaitu jam penggera.

Penggera anti mengantuk ini akan mengejutkan dan menganggu pemandu - sebaik sahaja mereka 'terhanguk-hanguk' kerana mengantuk atau terus terlentuk dek kerana terlena seketika.

Guna sensor

Terdapat dua jenis alat penggera anti tidur. Jenis yang pertama ialah yang telah dibina ke dalam kereta dan menggunakan sensor, kamera dan lain-lain alat teknologi tinggi untuk mengesan keadaan pemandu yang letih dan mengantuk.

Penggera yang kedua ialah alat yang dipasang di telinga pemandu dan akan mengeluarkan bunyi jika pemandu didapati menunduk dalam waktu yang lama dalam sudut tertentu kerana terlelap.

Penggera jenis pertama yang kebanyakannya dipasang kepada kereta-kereta mewah sememangnya berkos tinggi tetapi anda masih boleh mendapatkan alat penggera murah dengan menggunakan alat jenis kedua yang diletak di telinga.

Penggera jenis ini boleh dibeli dengan harga antara RM40 dan RM60 dengan pelbagai jenama seperti Nap Zapper, No Nap, Doze Alert dan sebagainya.

Alat ini akan diselitkan di telinga pemandu seperti fon telinga dan apabila dihidupkan, sensor yang terdapat pada alat itu akan mengukur sudut kepala pengguna yang menegak.

Apabila pemandu memandang ke hadapan, kedudukannya dianggap menegak dengan sudut kosong darjah dan apabila ia menunduk dengan sudut 15 atau 30 darjah, alat itu akan membunyikan penggeranya untuk menyedarkan pemandu.

Anda boleh menentukan sudut sesuai dengan cara anda tertidur, jika anda boleh tertidur dengan kepala menegak, mungkin anda perlu meletakkan sudutnya kepada jarak yang lebih kecil seperti lima atau 10 peratus.

Bagaimanapun, jika anda seorang yang suka mengangguk-angguk menari mengikut irama lagu di radio atau pemain CD kereta ketika memandu, anda perlu menetapkan sudutnya kepada jarak lebih besar seperti 30 peratus.

Sebuah lagi alat anti mengantuk yang dicipta dikenali sebagai Anti Sleep Pilot (ASP) yang dijual dengan harga kira-kira RM700 di laman web www.amazon.co.uk. Maklumat syarikat boleh diperoleh di laman web www.antisleeppilot.com.

Alat ini agak berbeza kerana ia perlu diletakkan di papan pemuka kereta anda dan seterusnya memantau tahap keletihan pemandu dengan mengambil kira berapa lama ia bergerak, berapa lama tindakan menyentuhnya diambil oleh pemandu (ia perlu disentuh apabila berbunyi) dan kemudian akan mencadangkan kepada anda untuk berhenti berehat.

Sistem terbina dalam

Selain dari sistem penggera yang disangkut di telinga itu, beberapa syarikat pengeluar kereta juga sedang membangunkan pelbagai sensor anti tidur untuk pemandu dengan memasukkan teknologi ke dalam kereta.

Mercedes-Benz Attention Assist misalnya merupakan sistem pemantau yang akan melihat perubahan kepada cara pengendalian stereng pemandu dan kemudiannya disambungkan kepada enjin kereta dan juga sistem pemberhentian kenderaan.

Lexus pula meletakkan kamera pada papan pemuka kereta yang akan mengawasi wajah dan tingkah laku pemandu sama ada ia menunjukkan ciri-ciri pemandu itu akan tidur.

Alat Kawalan Pemandu Volvo pula membolehkan kereta diperbetulkan laluannya jika didapati kenderaan secara tiba-tiba terkeluar dari laluan asal, sama ada disebabkan pemandu terlelap atau faktor lain.

Kesimpulannya berasa mengantuk ketika memandu adalah suatu fenomena biasa tetapi sejauh mana kita bernasib baik kerana tidak mengalami kemalangan kerana tersedar sebelum kenderaan terbabas teruk.

Untuk tidak mengambil risiko itu, adalah perlu setiap pemandu mendapatkan alat tersebut dan bagi syarikat-syarikat kenderaan awam terutama bas ekspres pula, mereka seharusnya diwajibkan membekalkan alat sistem anti mengantuk kepada semua para pemandunya demi memastikan keselamatan penumpang.

Jikalah pemandu bas dua tingkat yang kemalangan dan mengorban 10 penumpang tadi dibekalkan dengan alat anti tidur atau mengantuk, tentu kemalangan itu dapat dielakkan dan dia pula tidak perlu meringkuk di penjara.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved