Jumaat, 21 Oktober 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Himpun bukan seperti Bersih

Posted:

Himpun bukan seperti Bersih

Himpun bukan seperti Bersih

DR. AHMAD ZAKI ISMAIL
Penasihat Persatuan Pengguna Islam

Hasrat kira-kira 1,000 NGO Islam di seluruh negara yang akan berhimpun di perkarangan letak kereta Stadium Shah Alam pada hari ini, Sabtu 22 Oktober pada pukul 2 petang telah menerima pelbagai maklum balas yang pelbagai. Ada yang menyokong dan sudah tentu ada juga yang menentang.

Malah ada yang menyamakannya dengan perhimpunan Bersih yang pernah diadakan sebelum ini. Inilah yang sebenarnya cuba dijelaskan supaya perspektif yang betul dapat diterangkan kepada khalayak dan seluruh rakyat di negara ini agar tidak menimbulkan salah tanggap atau kegusaran yang tidak berasas.

Oleh itu wajarlah objektif perhimpunan berkenaan diteliti terlebih dahulu sebelum sebarang tanggapan dibuat dengan cara sembrono hingga ia menenggelamkan tujuan sebenar ia diadakan. Matlamatnya adalah:

* Untuk menerangkan kedudukan perkara yang sebenarnya tidak seperti yang digembar-gembur melalui media.

* Mengukur tahap kesatuan dan semangat kekitaan dikalangan orang Islam khasnya terhadap gerak-kerja Kristianisasi termasuk peristiwa 3 Ogos 2011.

* Memberitahu rakyat perlunya persoalan akidah ditangani melalui hujah agama bukan dibiarkan berlarutan menjadi modal politik.

* Menyerlahkan Institusi Raja yang menjadi payung bangsa Melayu dan Islam dalam hal peranan mereka dalam sama-sama menangani isu yang menyentuh sensitiviti orang Melayu Islam di negara ini.

* Menzahirkan kekuatan akidah dan keimanan masyarakat Islam sambil memberi amaran tentang bahaya yang akan menimpa negara ini seandainya isu ini terus dieksploitasi.

* Menyedarkan rakyat tentang wujudnya peruntukan dalam Perlembagaan dan undang-undang negeri yang tidak mengizinkan mana-mana pihak mengganggu-gugat kesucian Islam serta tindakan mendakwah agama selain daripada Islam kepada orang Islam.

Malah dalam pelbagai blog sudah pun diuar-uarkan bagaimana pihak kerajaan seolah-olah bersekongkol dan menuding jari pada pihak UMNO yang kononnya menjadi peneraju dalam program ini sehingga ia mendapat permit kelulusan daripada pihak berkuasa tidak seperti mana yang dialami oleh penganjur Bersih.

Tidak kurang juga yang seolah-oleh mengugut kepada pihak pakatan pembangkang supaya tidak menyertai Himpunan ini supaya tidak dicop menyebelahi Barisan Nasional (BN) dalam isu kepentingan ummah.

Ternyata, budaya baru yang ingin diperkenalkan kepada rakyat negara ini terutamanya golongan muda seolah-olah mereka wajib menyanggah establishment. Di mana apa sahaja gerak kerja yang positif untuk membantu pihak berkuasa mewujudkan persefahaman, kerjasama merentas sempadan bangsa dan agama seringkali disamakan dengan menyokong parti pemerintah meskipun ia tidak langsung berkaitan dengan isu politik.

Perkara lain yang perlu ditekankan di sini bahawa, program himpunan sejuta umat ini sebenarnya bukan direncanakan untuk menukar atau meminta apa-apa perkara yang sudah ditetapkan di dalam Perlembagaan negara.

Ia sekadar memohon supaya semua kaum dan penganut agama lain di negara ini mematuhi, memahami dan menghormati antara satu sama lain. Terutamanya kepada agama Islam yang merupakan agama rasmi negara yang sudah diberikan hak-hak serta keistimewaan tertentu.

Tidak ada negara lain di dunia ini yang begitu prihatin dalam menjamin kebebasan beragama bagi penduduk minoriti mereka seperti mana yang dinikmati oleh rakyat negara ini. Ia bukan hanya sekadar kata-kata manis tetapi boleh dilihat melalui data, fakta dan gambaran fizikal yang terserlah di hadapan mata kita sekiranya kita mahu berlapang dada dan tidak prejudis.

Saban tahun, himpunan penganut Hindu terbesar di dunia sempena Thaipusam di Batu Caves melebihi angka jutaan orang dan tercatat di dalam Buku Rekod Guinness yang terbesar di dunia. Itu belum lagi patung yang tertingginya kalau dibandingkan dengan jumlah penduduk India yang hanya kira-kira 2 juta sahaja daripada 29 juta penduduk negara ini.

Ratusan gereja, kuil dan pelbagai rumah ibadat lain yang dibina di seluruh negara yang jika dikira melebihi jumlahnya daripada jumlah masjid bagi umat Islam negara ini. Itu pun tidak pernah menjadi kecaman atau halangan daripada kerajaan dan umat Islam negara ini dan sudah tentu ia berbeza di negara lain yang umat Islam menjadi penduduk minoritinya.

Oleh itu, adalah sudah kena pada masa dan ketikanya bagi seluruh umat Islam dan juga para penganut agama lain di negara ini yang cintakan keamanan dan kesejahteraan serta yang tahu bersyukur di atas segala yang kita nikmati selama ini bersatu dalam program ini bagi mengukuhkan soladiriti yang sudah mula goyah akibat permainan kasar pihak yang tidak bertanggungjawab.

Tidak banyak yang diinginkan oleh umat Islam di negara ini kepada para penganut agama lain. Hanya persefahaman, tahu batas, dan menghormati antara satu sama lain. Sekiranya permintaan sekecil itu pun tidak dihormati maka bermakna mereka ini bukanlah rakyat yang tahu diuntung dan sudah pun melanggar prinsip asas yang sudah dipersetujui serta dipegang bersama selama ini.

Sekiranya susu yang diberikan selama ini dibalas dengan tuba, kebaikan dan kesabaran umat Islam di negara ini mahu dicuba maka sebarang tindak balas yang akan diterima tidak boleh dikatakan sebagai satu penindasan lagi. Itulah mesej yang ingin disampaikan dengan jelas tanpa berselindung lagi.

Islam bukan dimiliki oleh orang Melayu semata-mata, ia adalah milik orang India, Cina dan sebagainya. Kerana itu, menuduh Himpunan Sejuta Umat sebagai bersifat perkauman adalah tidak benar dan bersifat dangkal. Sebab itu dalam perhimpunan itu kelak wakil-wakil dari umat Islam seluruh dunia termasuk dari negara Balkan yang pernah mengalami isu yang sama turut dijemput mengambil bahagian dan berkongsi pengalaman mereka.

Apalah lagi yang perlu dilakukan oleh umat Islam di negara ini bagi menunjukkan kepada orang lain betapa bertolak ansurnya mereka selama ini. Tidak cukupkah lagi dengan segala macam hinaan, cercaan, caci maki malah perlanggaran hak dan sebagainya yang saban waktu diterima lantas kemudiannya dibuat permohonan maaf di atas media dengan sebaris kata-kata permohonan maaf kerana tidak sengaja.

Cukuplah, sudah sampai masanya kita menegakkan yang hak dan menyatakan pendirian supaya kelangsungan kerja-kerja keji dan terkutuk ini harus dihentikan dan negara boleh fokus kepada isu-isu lain untuk kemakmuran bersama.

Selagi kita tidak dihormati apalah yang boleh kita harap daripada orang lain. Kalau teman satu selimut sudah menjadi gunting dalam lipatan, tindakan perlu dilaksanakan. Aggaplah Himpunan Sejuta Umat ini sebagai hanya satu titik permulaan bagi menemukan titik-titik persefahaman dan memperkukuhkan ikatan.

Full content generated by Get Full RSS.

Amaran Dr. Mahathir tidak boleh diabaikan

Posted:

Amaran Dr. Mahathir tidak boleh diabaikan

Amaran Dr. Mahathir tidak boleh diabaikan

DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).

HAIRAN juga tiada reaksi terhadap kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamed tentang Melayu akan hilang kuasa dalam 10 tahun lagi. Tiada menteri, timbalan menteri, individu atau NGO yang bersetuju atau menyangkal kenyataan bekas perdana menteri tersebut.

Apakah orang Melayu sudah menerima hakikat yang ia akan hilang kuasa dalam 10 tahun. Kebetulan pula 10 tahun lagi ialah 2020, tahun yang kita patut mencapai taraf negara maju dan berpendapatan tinggi.

Apakah ini maknanya bila kita mencapai taraf negara pendapatan tinggi, orang Melayu sudah terpinggir dan angka tersebut tercapai melalui bukan Melayu?

Apakah Dr. Mahathir menggunakan psikologi untuk melontarkan sesuatu yang boleh menyedarkan orang Melayu tentang perlunya melakukan sesuatu sebelum terlambat?

Apakah yang boleh menyedarkan orang Melayu hari ini? Bersatu antara UMNO, Pas dan PKR tidak mungkin.

Kelemahan dalam bidang ekonomi sudah jelas masih tidak boleh menyedarkan orang Melayu. Ramai yang mengatakan bukan semua orang Melayu yang papa kedana, ramai yang kaya raya. Lihat saja bila Perhimpunan Agung UMNO betapa banyak BMW, Mercedes, Alphard, Cayenne dan pelbagai jenama kereta yang mahal.

Ada juga orang Melayu yang sorok kereta Ferrari mereka dengan dibalutkan dengan canvas supaya orang tak tahu yang dia ada Ferrari. Orang Melayu yang kaya raya ini tidak peduli siapa berkuasa 10 tahun lagi kerana kedudukan mereka sudah kukuh.

Orang Melayu yang tidak terlibat dengan politik begitu juga. Kalau hidup mereka kais pagi makan pagi, kais petang makan petang seperti yang kita lihat dalam program televisyen Bersamamu setiap minggu, mereka pun tidak akan kisah siapa yang memerintah dan majoritinya orang Melayu dan mungkin orang Melayu akan lebih susah hidup mereka.

Ada beberapa perkara yang bakal berlaku sekiranya bukan Melayu memerintah. Kemungkinan besar yang boleh memerintah ini ialah DAP. Dan DAP telah berjanji akan mengubah beberapa perkara dalam Perlembagaan sekiranya mereka berkuasa.

Pertama mereka akan tukar agama rasmi daripada agama Islam kepada yang lain, kedua bahasa rasmi juga akan ditukarkan daripada bahasa Melayu kepada lain bahasa dan ketiga segala keistimewaan dan hak orang Melayu di bawah Perlembagaan akan dimansuhkan.

Kemungkinan parti politik bangsa Cina ini bergabung dengan MCA dan Gerakan sesuatu yang tidak mustahil. Lebih teruk lagi kalau PAP dari Singapura pula diajak bersama. Itu baru betul.

Kehilangan kuasa orang Melayu dalam negara ini bermakna negara ini akan terjual.

Dalam kita hendak berkuasa, kita beri lebih perhatian kepada bukan Melayu, kononnya menyepikan mereka menyebabkan kita kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-12. Kini mereka dah pandai minta macam-macam dan dapat pula apa yang diminta.

Golongan orang Melayu yang diberikan perhatian ialah golongan tertentu sahaja, mereka yang sudah ada entiti mereka dan hanya perlu diperbaiki berlipat ganda lagi. Yang lain tidak akan merasai usaha lipat ganda entiti ini.

Seperkara yang perlu pihak memerintah sedar ialah terdapat 3.9 juta pemilih yang belum mendaftar untuk mengundi.

Kalau kita andaikan 60 peratus daripada jumlah ini terdiri daripada belia dan remaja dan mereka ini lebih terikut dengan dunia siber, gosip dan fitnah yang tersebar merata dalam dunia blog, mereka tidak menerima perhatian media arus perdana.

Mesej yang ingin disampaikan kepada mereka tidak sampai dan mereka bakal membuat keputusan yang mungkin akan merugikan pihak yang sedang memerintah.

Hakikatnya orang Melayu sudah lemah dalam bidang ekonomi dan yang sedikit kuasa ekonomi yang ada ini kalau hilang juga dan kuasa memerintah pula hilang, orang Melayu akan jadi ibarat Red Indian di Amerika Syarikat tinggal di penempatan tertentu sahaja.

Kita sedar juga ada usaha gigih sedang dilakukan oleh parti pembangkang untuk menarik orang Melayu dalam usaha untuk mengubah pandangan masyarakat terhadap parti mereka. Mereka berpendirian inilah 1Malaysia yang sebenarnya.

Tidak ada keharmonian dalam mana-mana masyarakat yang majoritinya sesuatu bangsa jika kedudukannya lemah dalam ekonomi dan politik.

Ramai orang Melayu yang menyangka diri mereka cukup cekap dalam politik. Sebaliknya politik orang Melayulah yang memecah belahkan orang Melayu. Mungkin kalau tidak ada politik, orang Melayu hari ini tidak berpecah belah.

Walau apa pun amaran Dr. Mahathir tidak boleh diabaikan begitu saja. Pihak yang sayangkan negara ini dan tidak mahu ia jatuh ke tangan orang lain - walaupun mereka mungkin rakyat negara ini juga - perlu mengorak langkah mengatur strategi, jangan heboh-heboh, bangunkan langkah yang konkrit dan suntikan semangat kepada orang Melayu keseluruhannya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved