Isnin, 23 Mei 2011

Utusan Online - Rekreasi


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Harungi jeram di Bali

Posted:

Harungi jeram di Bali

Harungi jeram di Bali

Oleh ANIS SURAYA PUTRI


CABARAN rafting diteruskan dengan treking mendaki ke pusat berkumpul.


Bila teringat tentang Bali, keunikan seni budaya, keindahan pantai dan panorama alam pasti terlintas di minda. Baru-baru ini Bali menjadi pilihan kami berlima untuk meraikan persahabatan yang telah terjalin selama 31 tahun. Saling mengenali sejak berusia 11 tahun, saya, Murni, Sya dan Roza sepakat memilih Bali untuk menikmati keindahan panoramanya dari sudut yang berbeza iaitu menerusi aktiviti mengharung jeram yang semakin meningkat popularitinya di Pulau Dewata itu.

"Rafting di Bali? Kami hanya ketawa apabila diaju pertanyaan itu. Ramai yang tidak yakin tentang keputusan itu kerana tiga daripada kami tidak pernah mencuba sukan tersebut. Saya pula terpaksa mengingat kembali selok belok mengharung jeram menggunakan bot angin kerana jujurnya kali terakhir melakukan aktiviti ngeri itu hampir tujuh tahun lalu.

Tempahan ke Bali dibuat menerusi emel dengan Budi dari Payung Rafting, sebuah syarikat pengusaha river rafting di Bali yang mengendalikan aktiviti mengharung jeram di Sungai Ayung iaitu salah satu destinasi utama rafting Tahap 3&4 di Bali. Kami dikenakan caj sebanyak AS$30 atau RM91 setiap seorang termasuk caj pengangkutan dan makan tengahari.

Hari yang dinantikan tiba

Seperti yang dirancang, di Bali kami menetap di sebuah villa di Kuta sebaik mendarat di Lapangan Terbang Ngurah Rai Denpasar.

Keesokannya pemandu dari Payung Rafting sampai tepat pukul 8 pagi di vila.

Perjalanan diteruskan ke titik permulaan Sungai Ayung di daerah Payangan sebelah barat Desa Ubud. Perjalanan mengambil masa satu setengah jam menyusuri daerah Ubud yang terkenal dengan kehijauan sawah padi dan suasana desa.

Sebaik sampai di titik pemula, kami diarah mendaftar di kaunter di sebuah pondok alat kelengkapan rafting. Kami diberikan helmet, jaket keselamatan dan pendayung setiap seorang. Barang-barang peribadi seperti dompet, baju persalinan dan kamera dimasukkan ke dalam sebuah karung kalis air, diikat rapi dan dibawa ke bot oleh juru pandu. Peserta rafting yang turut menyertai aktiviti itu merupakan pelancong dari Australia, United Kingdom dan Itali.

Ketua juru pandu Payung Rafting memberikan taklimat ringkas antaranya langkah-langkah keselamatan yang perlu dipatuhi dan arahan standard semasa mengharung jeram seperti "boom-boom", "back", "forward", "left", "right", "down" yang perlu dipatuhi. Perasaan bimbang mula menular di jiwa apabila melihat reaksi wajah rakan-rakan. "Masih belum lambat untuk berpatah balik," bisik saya cuba menenangkan perasaan. Kami ketawa serentak tanpa menghiraukan peserta lain di situ.

Selesai taklimat selama 10 minit, kami diarah mengikut juru pandu secara berkumpulan. Juru pandu kami bernama Horas, anak jati Bali berumur lewat 30-an. Horas menerangkan bot angin (inflatable boat) kami berada di pinggir sungai dan kami harus meneruskan treking menuruni 660 susunan batu curam sejauh 3km untuk ke situ -sesuatu yang sememangnya di luar jangkaan.

Lebih cemas lagi apabila treking yang dimaksudkan itu sebenarnya binaan tangga batu sungai berjurang luas yang berlecak dan licin. Berbanding dengan pelancong lain yang bertubuh sasa dan jauh lebih tinggi, kami mengambil masa sekitar 45 minit untuk sampai ke pinggir sungai kerana terpaksa mengimbangi tubuh daripada jatuh.

Namun begitu, penat lelah hilang sekelip mata apabila kaki mencecah air sejuk Sungai Ayung. Pemandangan hijau di tebing Sungai Ayung amat indah sekali dengan kiri-kanannya dipenuhi pepohonan lebat dan berlatar-belakangkan kawasan pergunungan. Beberapa kumpulan monyet dan aneka burung kelihatan di sekitar sungai. Agak menarik, di tebing sungai, terdapat ukiran berbagai bentuk yang menggambarkan mitos Ramayana. Menurut Horas, pemerintahan Daerah membelanjakan ratusan juta rupiah untuk membuat ukiran dan patung tersebut.

Sebaik menaiki bot dan menerima arahan mendayung daripada Horas, kami memulakan aktiviti rafting dengan perasaan penuh cemas apatah lagi memandangkan tiada antara kami yang merupakan pendayung jeram mahir. Bot kami kerap melanggar tebing batu akibat hilang kawalan dan ada kalanya kami jatuh terbaring di lantai bot dengan kaki di udara apabila bot dipintas oleh bot lain secara sengaja.

Namun gelak ketawa kami menambah keceriaan perjalanan. Sepanjang menyusuri sungai sejauh 10 km kami melalui 25 jeram berbagai saiz. Kami berhenti mendayung tiga kali. Dua kali untuk memberi kesempatan bermandi-manda bersama peserta lain dan sekali di air terjun Begawan Giri iaitu titik pertengahan perjalanan menyusuri jeram Sungai Ayung.

Sebaik sampai di air terjun Begawan Giri bot kami sekali lagi hilang kawalan. Sebelum sempat mendayung ke hadapan, bot tiba-tiba berpusing menuju ke cucuran air terjun yang deras selepas melepasi jeram bertingkat. Walaupun berusaha mendayung sekuat yang boleh untuk berundur namun cubaan kami gagal dan Horas akhirnya terjun ke dalam air menarik bot kami ke tebing.

Satu pengalaman yang tidak akan kami lupakan sepanjang hidup. Pemandangan air terjun Begawan Giri begitu mengasyikkan namun sayang sekali kami tidak berkesempatan untuk merakam gambar disebabkan masa yang suntuk. Kami sampai di Kedewatan, titik akhir aktiviti river rafting setelah dua setengah jam menyusuri Sungai Ayung. Dan sekali lagi kami 'terseksa' dengan cabaran treking mendaki 460 tangga batu yang tinggi dan curam.Kami tiba di pondok berehat yang dilengkapi kemudahan mandi dan makanan tengah hari setelah hampir 45 minit mendaki dengan perasaan lega dan gembira tidak terhingga. Sesungguhnya kami telah menyahut cabaran mengharung jeram di Bali - sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikiran kami.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved