PESURUHJAYA DATUK MUSTAFAR ALI ialah Pengarah Siasatan SPRM.
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berfungsi sebagai sebuah suruhanjaya bebas sejak 1 Januari 2009 telah, sedang dan akan mengambil pelbagai inisiatif bagi memastikan ia bertindak secara profesional. Dengan moto 'Amanah, Adil, Tegas' dan diperkukuh dan ditekankan dalam Aspirasi SPRM yang berteraskan pendekatan bebas, telus dan profesional.
SPRM sedar orang ramai meletakkan harapan yang tinggi sebaik sahaja ia dinaik taraf sebagai sebuah suruhanjaya bebas. Malah keperluan ini turut ditekankan dalam Misi dan Kod Etika SPRM.
Justeru, perubahan nama daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada SPRM lima tahun lalu beserta perubahan struktur SPRM dengan melibatkan mekanisme check and balance melalui lima badan bebas SPRM turut meletakkan di kedudukan penuh mencabar bagi memenuhi misi sebagai badan tunggal memerangi rasuah di negara ini.
SPRM juga ingin berkongsi bahawa tidak ada laporan tohmahan atau dakwaan rasa tidak puas hati atau sebagainya mengenai layanan ketika siasatan dijalankan sepanjang 2013 berbanding 28 tohmahan sekitar 2008. Ini memperlihatkan sudah ada penurunan ketara sepanjang lima tahun lalu. Bagaimanapun SPRM sentiasa bekerja keras untuk meningkatkan tahap profesionalisme.
Dalam menjalankan semua tindakan penyiasatan dan operasi, SPRM sentiasa berpegang kepada pendekatan bebas, telus dan profesional.
SPRM juga sentiasa menekankan keperluan pegawai-pegawai penyiasat menjalankan kerja-kerja siasatan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. Tindakan ini juga antara fokus dalam inisiatif yang dirangka di bawah program transformasi.
Dalam mempertahankan integriti dan profesionalisme kerja-kerja siasatan, pegawai-pegawai SPRM bertindak tanpa mengira ideologi politik dan sentiasa bersikap neutral atau berkecuali.
Penyiasatan dilakukan tanpa mengira kedudukan seseorang sama ada individu yang disiasat itu ahli politik kerajaan atau pembangkang, kenamaan atau sebaliknya. Rasuah bukan kerana siapa yang melakukannya tetapi kerana kesan buruk dan keji yang boleh dibawa akibat rasuah.
Sejak dibentuk lima tahun lalu, SPRM dipantau oleh lima badan bebas. Kelima-lima badan bebas ini ialah Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah terdiri daripada Ahli-ahli Parlimen daripada komponen parti kerajaan dan pembangkang, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Aduan, Panel Penilaian Operasi, dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah. Kelima-lima badan itu bertindak sebagai mekanisme check and balance (semak dan imbang) terhadap perjalanan SPRM dalam melaksanakan fungsi dan peranannya.
Ahli-ahli badan bebas ini mewakili masyarakat dan terdiri daripada bekas pegawai-pegawai kanan kerajaan, ahli-ahli politik terdiri parti kerajaan dan pembangkang, golongan profesional daripada kalangan ahli perniagaan dan sektor korporat, ahli akademik, peguam dan personaliti yang disegani.
Baru-baru ini, tulisan Bisik-bisik Awang Selamat mendakwa ada segelintir pegawai SPRM dikatakan keterlaluan dalam menjalankan siasatan, selain mendakwa "tertuduh" tidak dibenarkan ditemani oleh keluarga dan mengambil ubat untuk penyakit yang dihidapi seperti kencing manis dan jantung.
Selain itu, tulisan itu mendakwa "melayan tertuduh seolaholah sudah bersalah tetapi apabila siasatan menunjukkan tertuduh tidak bersalah, tiada usaha dilakukan bagi membersihkan nama (tertuduh)." Awang Selamat juga mengatakan dalam penulisannya terdapat beberapa pegawai penyiasat yang mengaku mereka penyokong pembangkang dan teruja untuk bertindak ke atas para pegawai menteri.
Tulisan itu juga mendakwa SPRM agresif menyiasat keskes pemimpin kerajaan dan penjawat awam, tetapi tidak berani bertindak ke atas pemimpin pembangkang.
Ingin ditegaskan bahawa SPRM terus-menerus berusaha memperbaiki tahap profesionalisme dan sudah pasti akan melakukan pembetulan dan mengambil tindakan sewajarnya jika semua dakwaan tersebut benar-benar berlaku.
Sebarang maklumat, rungutan atau dakwaan boleh disalurkan kepada Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme atau Jawatankuasa Aduan yang akan menyiasat sebarang salah laku pegawai dan staf SPRM.
Menjawab beberapa soalan dibangkitkan itu, ingin dijelaskan bahawa pegawai-pegawai penyiasat sentiasa diarah mematuhi SOP yang ditetapkan. Ini termasuklah membenarkan orang yang ditangkap berkomunikasi dengan saudara-mara atau kawan untuk memberitahu di mana dia berada dan berunding dengan pengamal undang-undang pilihannya.
Kebenaran ini tertakluk kepada peruntukan Seksyen 28A(8) Kanun Acara Jenayah iaitu ia tidak mengakibatkan pemusnahan keterangan, rakan sejenayah melarikan diri atau sebab-sebab keselamatan saksi-saksi dan sebab-sebab tertentu yang boleh menjejaskan siasatan. Sekiranya kebenaran ditangguhkan, pegawai-pegawai SPRM hendaklah merekodkan alasan-alasan mengapa kebenaran tidak diberikan dengan seberapa segera.
Jadi, tidak timbul soal SPRM melarang mana-mana individu yang ditahan reman daripada bertemu dengan anggota keluarga. Diharap masyarakat khususnya pengadu dan media faham tentang peruntukan ini. Arahan untuk seseorang ditahan reman dikeluarkan oleh mahkamah.
Sebelum seseorang itu hendak ditahan reman, suspek akan dibawa untuk menjalani pemeriksaan perubatan. Ini bagi memastikan kesihatan suspek dalam keadaan baik. Dalam menjalankan operasi penyiasatan, SPRM sentiasa menekankan aspek perikemanusiaan yang dipandu oleh SOP dan peruntukan undang-undang. Suspek atau saksi yang diambil keterangan tentunya akan diberi kemudahan rawatan dan ubat-ubatan jika memerlukan.
Ketika ditahan reman dan keterangan diambil, gerak-geri suspek dirakam menerusi kamera, yang juga sebahagian daripada pembaharuan dibawa susulan program transformasi SPRM sejak 2011. Pernah ada laporan media dua tahun lalu yang mendakwa suspek dan anaknya diberi layanan tidak baik ketika berada di premis SPRM. Rakaman video menunjukkan sebaliknya.
SPRM juga dari semasa ke semasa membuat kenyataan rasmi jika siasatan membabitkan individu 'ternama' atau siasatan yang menjadi perhatian umum didapati tiada kes. Perkara ini memang diamalkan walaupun tidaklah dalam kesemua kes. Amalan ini akan diteruskan bila keadaan memerlukan.
Pada Mei 2012, Pengerusi PPO SPRM, Tan Sri Dr. Hadenan Abdul Jalil mengisytiharkan bahawa Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, ketika itu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, 'bersih daripada tuduhan' berhubung isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC). Pada 2010, Hadenan juga mengumumkan Jabatan Peguam Negara telah memutuskan menutup fail siasatan terhadap Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (bekas Menteri Besar Kelantan) dan Datuk Dr. Wee Ka Siong (bekas Timbalan Menteri Pelajaran dan kini Timbalan Presiden MCA).
Ketiga-tiga kes ini pernah dibawa oleh media sehingga menerima reaksi berbeza daripada kedua-dua parti kerajaan dan pembangkang.
Memang menjadi dasar SPRM untuk tidak menghebahkan kes-kes yang sedang disiasat kepada orang ramai, khususnya yang membabitkan pemimpin politik atau personaliti tertentu selaras dengan Seksyen 29(4) Akta SPRM.
Kadangkala SPRM tersepit antara keperluan media massa yang ingin 'berita panas' dan kepentingan awam. Kadangkala maklumat mengenai siasatan orang ternama ini terlepas kepada umum. Dan apabila disiarkan oleh media massa, walaupun adakalanya SPRM meminta jasa baik wartawan tidak menyiarkan, kadangkala permintaan SPRM tidak mendapat 'layanan' sewajarnya. SPRM menjadi sasaran. SPRM juga menghormati kebebasan media.
Dalam keadaan tertentu, ada juga pihak mengharapkan SPRM menyiarkan kes-kes berprofil tinggi yang disiasat. Oleh itu, perkara ini juga menjadi pertimbangan SPRM berlandaskan aspek perundangan dan peraturan.
Tidak dapat dinafikan SPRM berhadapan beberapa kekangan dalam memastikan fungsinya disempurnakan dengan sebaik mungkin. SPRM sedaya upaya berusaha untuk meningkatkan tahap profesionalisme dengan dibantu oleh lima badan bebas, yang dianggotai lebih 40 tokoh ternama dan disegani.
Kami mengaku kami belum lengkap sepenuhnya. Tetapi dari sehari ke sehari SPRM berupaya memperbaiki kualiti pendekatan mencegah rasuah. Cadangan penambahbaikan perkhidmatan SPRM sentiasa dialu-alukan.