Rabu, 22 Januari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


16 notis tunjuk sebab dikeluarkan

Posted: 22 Jan 2014 11:32 AM PST

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

Shahiruddin Ab. Moin (tengah) menimbang ikan sambil melihat tanda harga bagi ikan dan makanan laut di sebuah restoran ikan bakar ketika operasi pemeriksaan harga di Tanjung Lumpur, Kuantan, kelmarin. UTUSAN/MAHATHIR ALI

KUANTAN 22 Jan. - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri mengeluarkan sebanyak 16 notis tunjuk sebab kepada peniaga hasil pemeriksaan ke atas 12,337 premis di seluruh negeri ini sempena Ops Harga 2014 yang dilancarkan baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, daripada pemeriksaan ke atas pemborong, peruncit dan pengusaha restoran serta medan selera itu mendapati kebanyakan kes berkaitan tanda harga dan menggunakan alat timbang tidak sah.

"Operasi yang dilaksanakan pada setiap hari dari pagi hingga malam bermula 1 Januari itu memfokuskan tiga perkara iaitu penandaan harga, pengeluaran notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan pemeriksaan alat penimbang dan sukat.

"Ops Harga 2014 ini menyasarkan lokasi seperti pasar basah, kedai runcit termasuk di restoran dan akan berterusan sehingga kita mendapati harga barangan kembali stabil," katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi pemeriksaan di sebuah restoran di sini semalam.

Menurut Shahiruddin, peniaga yang diberikan notis perlu mengemukakan sebab dalam tempoh tujuh hari dan jika didapati bersalah akan dibawa ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya.

"Sehingga semalam, penguat kuasa PPDNKK negeri telah mengenakan kompaun sebanyak RM5,300 dengan nilai rampasan bernilai RM28,285.

"Kesalahan tersebut dikenal pasti berlaku di beberapa daerah di negeri ini seperti Kuantan, Temerloh, Jerantut, Raub, Bera dan Rompin," jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, masyarakat perlu menyedari hak mereka sebagai pengguna dan harus bijak terutama membuat perbandingan harga, kualiti dan perkhidmatan yang ditawarkan sebelum membuat pembelian bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa peniaga yang tidak beretika.

"Peniaga jangan sesekali cuba mengambil kesempatan dan pengguna juga perlu tahu hak mereka dengan bertanya mengenai harga dengan membuat perbandingan sebelum pembelian," jelasnya.

68 PATI termasuk bayi ditahan di Kuantan

Posted: 22 Jan 2014 11:32 AM PST

Warga asing dikumpulkan untuk pemeriksaan oleh Jabatan Imigresen Pahang dalam operasi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) di Kuantan, kelmarin.

KUANTAN 22 Jan. - Jabatan Imigresen negeri menahan seramai 68 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang bayi berumur 15 bulan dalam Ops 6P Bersepadu yang diadakan dua buah kawasan pembinaan di sekitar daerah ini bermula awal pagi semalam.

Kesemua mereka ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal melebihi tempoh masa, bekerja menggunakan pas pelawat dan memiliki pas lawatan kerja sementara palsu.

Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Razali Ahmad berkata, dalam operasi pertama selama dua jam bermula dari pukul 1 pagi itu, seramai 172 warga asing diperiksa di sebuah tapak projek perumahan di Bukit Rangin di sini.

"Hasil pemeriksaan kita menahan 37 PATI yang berumur lingkungan 20 hingga 46 tahun yang merupakan warganegara Indonesia, India, Myanmar dan Bangladesh. Bayi itu pula ditahan bersama ibunya yang juga merupakan PATI," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam operasi kedua pula, seramai 89 warga asing telah diperiksa dalam operasi yang diadakan di tapak pembinaan di kawasan Kampung Tiram di sini.

"Hasil pemeriksaan kita telah menahan seramai 31 PATI yang terdiri daripada warganegara Indonesia, Myanmar, Bangladesh, Nepal dan Pakistan.

"Ketika pemeriksaan, beberapa PATI juga didapati cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan oleh pihak kami," katanya.

Tambah beliau, kesemua PATI yang berumur lingkungan 18 hingga 46 tahun itu ditahan dalam operasi yang diadakan bermula pukul 10 pagi hingga 12.30 tengah hari semalam.

Katanya, PATI yang ditahan ini disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Perkara 39(b) Peraturan Imigresen 1963.

"Kesemua PATI yang ditahan kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Ajil, Terengganu untuk tindakan lanjut," katanya.

Dalam pada itu, katanya, operasi itu membabitkan 25 anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen negeri, 20 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan lapan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Kawasan pembinaan tumpuan operasi cegah aedes

Posted: 22 Jan 2014 11:32 AM PST

KUANTAN 22 Jan. - Sebanyak 11 pemaju hartanah dikenakan kompaun oleh Jabatan Kesihatan daerah berikutan kawasan tapak pembinaan mereka dikesan mempunyai tempat pembiakan nyamuk aedes dalam operasi yang dijalankan semalam.

Pegawai Kesihatan daerah, Dr. Amirullah Mohd. Arshad berkata, daripada jumlah tersebut, lima pemaju diberi notis mengikut Seksyen 8 bagi melakukan kerja-kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi pembiakan nyamuk aedes dalam tempoh tiga hari.

"Jika mereka gagal mematuhi notis berkenaan, kawasan pembinaan mereka perlu ditutup dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Tindakan adalah mengikut Akta Pemusnahan Serangga Membawa Penyakit 1975 (Pindaan 2000). Kami amat memandang serius perkara ini kerana bimbang kes demam denggi akan terus meningkat di daerah Kuantan.

"Ini memandangkan terdapat peningkatan ketara dalam tempoh 20 hari bagi bulan Januari berbanding tempoh sama tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pemeriksaan mengejut di 24 kawasan pembinaan sekitar daerah ini di sini semalam.

Menurut Dr. Amirullah, operasi yang bermula dari pukul 8 pagi hingga 5 petang itu membabitkan seramai 100 pegawai dan kakitangan.

"Antara kawasan yang diperiksa adalah Taman Satelit, Lorong Air Putih, Taman Serukun, Pasar Balok dan Tanjung Lumpur.

"Sehubungan itu, kami meminta kerjasama penduduk memastikan kawasan kediaman dan sekitar bersih sekali gus dapat mengelakkan nyamuk aedes membiak," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved