Rabu, 22 Januari 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Kembali jalin perpaduan - Azlan

Posted: 21 Jan 2014 11:59 AM PST

Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
utusanperlis@utusan.com.my

Azlan Man menyampaikan sumbangan kepada seorang penerima sewaktu majlis Penyampaian Sumbangan Sempena Tahun Baharu Cina di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pauh di Arau, Perlis, semalam.

ARAU 21 Jan. - Rakyat diminta mengetepikan sebarang perbalahan sebaliknya kembali menjalin perpaduan supaya mereka sama-sama dapat membantu kerajaan memastikan negara berada dalam keadaan stabil pada setiap masa.

Menteri Besar, Azlan Man berkata, hanya dengan keadaan negara yang aman dan harmoni, rakyat dapat menikmati pelbagai hasil pembangunan.

"Apabila negara aman, rakyat bersatu padu, barulah kita (rakyat) boleh menjalankan aktiviti termasuk perniagaan tanpa sebarang masalah dan ini akan menstabilkan kedudukan ekonomi," kata beliau.

Beliau berucap demikian dalam majlis Penyampaian Sumbangan Tahun Baharu Cina 2014 kepada masyarakat keturunan Cina kawasan Pauh di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pauh di sini semalam.

Seramai 333 orang yang terdiri daripada golongan miskin, warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan anak yatim menerima sumbangan wang tunai dan bungkusan buah limau sempena perayaan tersebut.

"Lihatlah contoh negara bermasalah seperti di Afrika, peperangan sesama sendiri memusnahkan negara berkenaan, rakyat susah disebabkan keadaan yang tidak stabil.

"Jadi kita kena bersatu padu, elakkan perpecahan supaya negara maju dan kita dapat mengecap pelbagai nikmat kemakmuran," ujar beliau.

Menurut Azlan, keseluruhannya, sebanyak RM500,000 diperuntukan oleh kerajaan negeri untuk memberi sumbangan seumpama itu di seluruh negeri yang melibatkan 3,429 orang.

"Bantuan kepada rakyat yang memerlukan seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan negeri," tambah beliau.

SJKT Darul Aman mungkin dipindahkan

Posted: 21 Jan 2014 11:59 AM PST

P. Kamalanathan (dua dari kiri) bertanyakan sesuatu kepada seorang pelajar sewaktu melawat sebuah kelas di SMK Pulau Nyior di Jitra, Kedah, semalam.

KUBANG PASU 21 Jan. - Kementerian Pendidikan sedang mengkaji cadangan memindahkan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SKJT) Darul Aman, Taman Datuk Osman Aroff di sini ke tapak baharu yang lebih sesuai untuk keselesaan murid-murid.

Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan berkata, tapak sekolah tersebut yang menempatkan 114 murid tahun satu hingga enam termasuk prasekolah itu didapati tidak lagi sesuai kerana berada di kawasan yang terlalu kecil.

"Sekolah ini telah berusia lebih 30 tahun dan kita terima laporan mengenai sekolah ini yang tidak lagi mampu menampung jumlah murid kerana terletak di kawasan yang agak kecil.

"Bilik darjah sepatutnya lebih kondusif agar murid berupaya menumpukan perhatian tetapi kami terima laporan apabila guru mengajar, murid-murid di bilik sebelah juga dapat mendengar.

"Perkara ini tidak elok kerana murid-murid tidak dapat memberi tumpuan kepada pelajaran dan ini membuatkan murid-murid tidak selesa," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Nyior, Jitra, di sini hari ini.

Menurut Kamalanathan, beberapa lokasi sesuai yang dicadangkan oleh pihak sekolah sedang diteliti dan keputusan mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat.

"Pihak kami terima permohonan sejak 2006 dan ada cadangan beberapa tapak yang terletak berhampiran sekolah ini telah dikemukakan.

"Kita perlu semak dahulu apa status kawasan yang telah dicadangkan sebelum membuat keputusan mengenai penukaran tapak sekolah ini," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Kamalanathan memberitahu, peruntukan RM580,000 untuk membaiki dua bangunan di SMK Sungai Nyior juga telah diluluskan oleh pihak kementerian.

"Bahagian bumbung tujuh bilik darjah dan tiga makmal di sekolah ini juga didapati rosak. Saya kagum dengan pihak sekolah yang masih mampu meneruskan pembelajaran pelajar dengan baik walaupun terdapat sedikit masalah pada bangunan sekolah ini.

"Peruntukan untuk membaiki dua bangunan ini sudah diperoleh dan hanya menunggu kelulusan terakhir bagi memulakan kerja baik pulih sahaja," katanya.

Taktik PATI cuba loloskan diri tidak berjaya

Posted: 21 Jan 2014 11:59 AM PST

Basri Othman (tengah) memeriksa dokumen perjalanan warga asing yang ditahan dalam operasi memberkas PATI di Flat Taman Pelangi, Juru di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, malam semalam.

BUKIT MERTAJAM 21 Jan. - Taktik bersembunyi di belakang almari, bawah katil dan di dalam tangki air membawa padah apabila 46 warga asing termasuk tiga kanak-kanak warga Indonesia ditahan dalam Ops Bersepadu 6P bagi menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Flat Taman Pelangi, Juru dekat sini malam tadi.

Mereka yang ditahan itu membabitkan 32 lelaki dan 14 wanita berusia 5 tahun hingga 40 tahun.

Daripada jumlah itu, mereka ditahan membabitkan 10 lelaki dan 10 wanita termasuk dua kanak-kanak lelaki dan seorang perempuan warga Indonesia, Myanmar (16 lelaki dan tiga wanita), Bangladesh (tiga lelaki) dan seorang lelaki warga Nepal.

Ketua Bahagian Penguat kuasa Jabatan Imigresen negeri, Basri Othman berkata, operasi tersebut membabitkan 102 anggota termasuk Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bermula pada pukul 12.30 malam hingga pukul 2 pagi tadi.

Beliau berkata, dalam operasi itu pihaknya telah memeriksa 211 orang warga asing yang tinggal di flat berkenaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati 46 orang yang ditahan itu didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan tinggal lebih masa di negeri ini.

"Mereka masuk ke negara ini dengan menumpang di rumah kawan-kawan di sini untuk mengelak dikesan," katanya pada sidang akhbar di sini malam tadi.

Operasi Bersepadu itu diadakan ekoran arahan Kementerian Dalam Negeri untuk mengesan PATI yang tinggal lebih masa dan tanpa dokumen di negara ini.

Basri berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 15 (4)Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa dan Seksyen 6 (3) akta yang sama kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, kesemua yang ditahan itu dibawa ke Depoh Tahanan di Juru untuk siasatan lanjut.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved