Selasa, 6 Mei 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Kelazatan ubi gadung

Posted: 05 May 2014 12:19 PM PDT

Oleh NORLIA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

SEKUMPULAN penduduk bergotong-royong menghiris ubi gadung di Kampung Sera Bawah, Pulai, Baling, Kedah, baru-baru ini. - UTUSAN/Norlia Ramli

BALING 5 Mei - Ubi gadung merupakan sejenis tumbuhan liar beracun yang boleh mengakibatkan kesan pening dan mual kepada mereka yang tersilap memakannya.

Lantas, bukan sesuatu yang menghairankan jika ia kurang popular walaupun ia yang tumbuh menjalar dan memanjat pokok lain mudah kedapatan di hutan-hutan kecil negara ini.

Namun bagi masyarakat daerah ini, ubi gadung bukan perkara asing kerana ia pernah menjadi makanan ruji satu ketika dulu.

Walau bagaimanapun, penyediaan ubi gadung hanya dilakukan oleh mereka yang berpengalaman untuk memastikan ia bebas daripada racun.

Penduduk Kampung Sera Bawah, Pulai dekat sini, Besah Md. Noh, 59, merupakan satu-satunya penduduk yang mahir dengan cara penyediaan ubi ini.

Menurutnya, tunjuk ajar yang diberikan oleh ibu bapa sebelum ini menjadikannya dia orang yang dipercayai oleh penduduk kampung untuk menyediakan makanan itu.

Besah berkata, penyediaan ubi gadung bukan kerja yang mudah, ia perlu mengambil masa sekurangnya empat hari sebelum dapat menikmatinya.

Katanya, tempoh itu amat sesuai bagi memastikan ubi gadung bebas daripada sebarang racun yang boleh memberi kesan kepada pemakannya.

"Kalau masak macam itu sahaja, memang masuk hospital, disebabkan itu prosesnya amat rumit walaupun hanya untuk menikmati sepinggan ubi ini," katanya.

Katanya, ubi yang dihiris secara kecil dan nipis akan direndam dengan air garam bersama daun getah ipoh selama tiga hari.

"Dahulu ubi gadung direndam ke dalam sungai kerana tiada baldi, tetapi sekarang sudah ada baldi. Selepas rendam, kita kena basuh lagi sampailah isi ubi menjadi putih seterusnya direbus," katanya.

Menurutnya, perkara yang paling penting adalah untuk membuang beberapa bahagian yang menjadi punca mabuk dan pening kepada manusia.

"Sebelum proses merendam, bahagian yang berwarna hitam dalam ubi tersebut perlu dibuang walaupun ia bersaiz kecil.

"Cara pembuangannya juga berbeza bukan sekadar memotong bahagian yang hitam tetapi ada caranya. Ramai yang tidak tahu cara membuang bahagian itu dengan betul sebab itulah ubi gadung itu masih beracun," katanya.

Disebabkan penyediaan ubi ini amat rumit, ia dilakukan secara bergotong-royong oleh penduduk setempat.

Menurut Besah, lelaki akan membantu mencari ubi gadung di hutan manakala wanita pula mengupas dan menghiris ubi ini.

"Memang meriah suasananya dan apabila sudah masak, semua penduduk dapat merasai kenikmatan ubi berkenaan," katanya.

Kebiasaannya, ubi gadung dimakan dengan kelapa parut, digaul dengan gula dan sedikit garam, malah ada juga yang memasukkannya dalam masakan

kari bergantung kepada kesukaan seseorang itu.

Rasa ubi gadung lebih lemak dan manis, maka tidak hairanlah orang kampung sanggup menunggu sehingga empat hari hanya semata-mata untuk menikmati beberapa pinggan ubi gadung sahaja.

Penduduk Sungai Sumun lega dibekal pili bomba

Posted: 05 May 2014 12:19 PM PDT

SHAHRUL Zaman Yahya (duduk, kanan) turut mengecat pecat pili bomba sebagai simbolik perasmian Program Santai Komuniti Penduduk Sungai Sumun 2 dan 1 bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Bagan Datoh, Perak, semalam.

BAGAN DATOH 5 Mei - Penduduk di Sungai Sumun dekat sini kini boleh menarik nafas lega apabila kawasan kediaman mereka mula dilengkapi dengan pili bomba, sekali gus memudahkan kerja-kerja pemadaman api sekiranya berlaku kebakaran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, langkah berkenaan dilihat mampu mengatasi kekurangan bekalan air bagi memadamkan kebakaran seperti sebelum ini, apatah lagi apabila kira-kira 700 pili bomba akan dipasang di Hutan Melintang dan Bagan Datoh pada tahun ini menerusi program Teman Pili Bomba.

"Penyediaan pili ini diharap dapat membantu pasukan bomba dan penyelamat untuk menyelamatkan harta benda awam sekiranya berlakunya kebakaran.

"Pada masa yang sama, rakyat juga harus mempunyai kesedaran betapa pentingnya menjaga harta awam agar dapat dimanfaat oleh semua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Program Santai Komuniti Penduduk Sungai Sumun 2 dan 1 bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Shahrul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri berkata, pendekatan yang dibawa oleh pihak bomba dalam memberi maklumat serta kesedaran kepada rakyat mengenai langkah keselamatan serta pencegahan kebakaran, amat dialu-alukan.

Beliau berkata, langkah tersebut sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan terutamanya dalam aspek keselamatan rakyat khususnya di kawasan-kawasan perumahan.

Kaedah TRIZ mampu maksimumkan potensi individu, organisasi

Posted: 05 May 2014 12:19 PM PDT

SARIMAH Misman (kanan) bertukar memorandum perjanjian dengan Norashikin Yahaya sambil disaksikan oleh Roslan Saidin (dua dari kiri) dan Mohd. Razali Hussain dalam majlis seminar Teori Penyelesai Masalah di Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/Sazali Che Din

KEPALA BATAS 5 Mei - Penggunaan kaedah TRIZ atau Teori Penyelesaian Masalah Secara Inventif mampu memaksimumkan potensi individu, pekerja dan organisasi ke arah sektor industri yang lebih kompetitif.

Sehubungan itu, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menggesa lebih ramai individu dan organisasi menggunakan kaedah itu bagi meningkatkan produktiviti mereka untuk mencapai sasaran pertumbuhan empat kali ganda berbanding dua peratus setahun sekarang.

Malah, pengiktirafan MPC Wilayah Utara sebagai Pusat Kecemerlangan TRIZ mampu melonjakkan usaha ke arah penyelesaian masalah secara lebih inovatif dan sistematik dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ketua Pengarah MPC, Datuk Mohd. Razali Hussain berkata, sehingga kini terdapat lebih 600 pekerja yang telah dilatih menggunakan kaedah itu yang berperanan sebagai pemudah cara ke arah penggunaan TRIZ secara lebih menyeluruh.

"Harapan MPC adalah membentuk satu komuniti TRIZ di seluruh negara dengan menjadikan MPC Wilayah Utara sebagai Pusat Kecemerlangan yang memberi fokus kepada kolaborasi, koordinasi, komunikasi dan kecekapan seluruh warga organisasi.

"Sebenarnya, TRIZ bukan hanya boleh diaplikasikan di organisasi tertentu sahaja, malah untuk masyarakat setempat terutama pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis perasmian Seminar TRIZ dan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) projek TRIZ di sini hari ini.

Perasmian seminar itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin yang mewakili Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Empat syarikat menandatangani MoU untuk projek TRIZ pada majlis itu iaitu Mattel (M) Sdn. Bhd., Malaysian NPK Fertilizer Sdn. Bhd., Modenas (M) Sdn. Bhd. dan Inokom Corporation Sdn. Bhd.

Dalam majlis tersebut, MPC diwakili oleh Pengarah MPC Wilayah Utara, Sarimah Misman manakala SQM Inokom diwakili oleh pengurusnya, Norashikin Yahaya.

Tambah Mohd. Razali, MPC Wilayah Utara juga kini melangkah setapak lagi dengan menerbitkan buku panduan TRIZ berbahasa Melayu sebagai panduan asas kepada mereka yang ingin menggunakan kaedah tersebut di organisasi mereka.

Katanya, buku yang pertama kali diterbitkan di Malaysia itu dilengkapi dengan kajian kes berkaitan sektor industri serta merupakan inisiatif MPC untuk mendekatkan RRIZ kepada golongan sasar.

"Selain itu sejak tahun lalu, pelbagai program telah dilaksana termasuk misi pembelajaran ke Perancis, perbincangan meja bulat, kursus dan seminar serta beberapa program latihan.

"MPC Wilayah Utara juga mewujudkan bilik perbincangan TRIZ yang dilengkapi bahan bacaan seperti buku, jurnal dan poster maklumat mengenai TRIZ," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved