Khamis, 1 Mei 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Dana khas penternak lembu

Posted: 01 May 2014 11:51 AM PDT

Oleh ASZAHARI ALI
utusanktn@gmail.com

MOHAMAD NAJIB

KUANTAN 1 Mei - Orang ramai yang menternak lembu secara kecil-kecilan kini berpeluang mengembangkan perusahaan mereka pada skala besar apabila Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mewujudkan dana khas bagi membantu golongan itu.

Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa), Mohamad Najib Pendek berkata, kenyataan Menteri berkenaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menyalurkan dana berkenaan melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan AgroBank itu amat dialu-alukan.

Menurutnya, dana tersebut diharap dapat membantu meningkatkan pengeluaran daging lembu tempatan sekali gus mengurangkan pergantungan daging import yang kini menguasai kira-kira 70 peratus keperluan semasa.

"Pasfa menyambut baik usaha kementerian dan berharap ahli dapat menggunakan peluang membesarkan projek ternakan lembu bagi meningkatkan taraf hidup mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Mohamad Najib berkata, selain dana itu, Pasfa turut menyokong langkah kerajaan menambah pusat sembelih berlesen di setiap daerah sebelum akhir Jun ini bagi mengawal harga daging segar.

Jelasnya, ketika ini, terdapat 29 pusat sembelih milik kerajaan manakala 200 lagi beroperasi tanpa lesen kerana belum menepati kriteria ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

"Tempat itu perlu ditambah kerana dapat mengekang kenaikan harga daging selain menjimatkan masa, tenaga dan kos penghantaran lembu peniaga ke rumah sembelih yang berhampiran dengan kawasan ternakan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, usaha mewujudkan satu pusat sembelih untuk satu daerah agak sukar dilaksanakan kerana perlu melalui sistem audit sebelum dilesenkan serta mematuhi aspek kebersihan, keselamatan makanan dan status halal.

Menurutnya, sebagai sokongan kepada usaha kerajaan, Pasfa bersedia membina pusat sembelih itu di atas tanah kepunyaan pertubuhan tersebut di Gebeng yang dijangka boleh membantu penternak di kawasan berhampiran.

10,000 mangsa banjir masih tercicir wang ihsan

Posted: 01 May 2014 11:51 AM PDT

Sebahagian mangsa banjir mengambil wang ihsan di Dewan Orang Ramai Balok, Kuantan, kelmarin.

KUANTAN 1 Mei - Mangsa banjir di negeri ini yang masih belum menerima bantuan wang ihsan tidak perlu bimbang kerana terdapat kira-kira 10,000 lagi nama yang tercicir daripada senarai penerima bantuan tersebut.

Timbalan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Ogu Salim Omar berkata, nama yang tercicir itu terdiri daripada mangsa banjir yang berpindah dan tidak berpindah serta yang membuat rayuan.

"Jadi kita (MKN) berharap mangsa yang belum menerima bantuan wang ihsan banjir ini dan merasakan nama mereka tercicir supaya menyerahkan nama dengan segera kepada tok empat atau ketua kampung di kawasan masing-masing.

"Ini kerana MKN akan mendapatkan senarai nama mangsa banjir yang belum menerima bantuan wang ihsan banjir itu daripada tok empat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Penyampaian Wang Ihsan kepada 1,181 penerima dari kawasan Beserah dan Sungai Karang di Dewan Orang Ramai Balok di sini semalam.

Yang turut hadir, Setiausaha Keselamatan MKN negeri, Mohd. Zairasyahli Shah Zakaria.

Ogu Salim berkata, pihaknya menjangkakan selewat-lewatnya awal Jun ini pemberian wang ihsan banjir kepada semua mangsa yang tercicir selesai.

Sementara itu, katanya, pihaknya telah selesai menyerahkan wang ihsan banjir kepada kira-kira 10,141 mangsa yang tidak berpindah di daerah ini.

"Pemberian ini yang bermula pada Isnin lalu melibatkan enam kawasan di daerah ini iaitu di Sungai Isap, Inderapura, Taman Tas, Bukit Rangin, Balok dan Wisma Belia Indera Mahkota," katanya.

Laporkan pihak cemarkan alam sekitar

Posted: 01 May 2014 11:51 AM PDT

MARAN 1 Mei - Rakyat perlu mempunyai tanggungjawab melaporkan segera kepada pihak berkuasa mengenai pihak yang rakus melakukan pencemaran sehingga menjejaskan alam sekitar.

Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abd. Muttalib berkata, sokongan padu rakyat dalam memantau dan menghalang perlakuan negatif sangat menyumbang kepada pembentukan alam sekitar yang bersih dan selesa didiami penduduk.

Justeru tegasnya, pembentukan Pasukan Pemantauan Pencemaran (3P) sebagai sukarelawan sangat relevan yang berperanan sebagai mata dan telinga kerajaan bagi membendung masalah tersebut.

"Peranan skuad 3P ini penting dalam membantu kerajaan untuk menguatkuasakan peraturan terhadap kesalahan berkaitan alam sekitar yang boleh menyebabkan pencemaran lebih parah dan tidak terkawal.

"Kelestarian alam sekitar memerlukan sokongan padu semua pihak yang peka dengan disiplin diri menjaga alam sekitar yang bersih," katanya selepas merasmikan 3P peringkat Parlimen Maran di Taman Tasik Maran di sini baru-baru ini.

Ismail yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, dengan adanya pasukan itu diharap dapat membantu Jabatan Alam Sekitar (JAS) bertindak menyelamatkan khazanah negeri jika ada pihak tidak bertanggungjawab cuba memusnahkannya.

Menurutnya, ahli kumpulan 3P adalah Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), ketua kampung, penghulu, persatuan dan rukun tetangga yang dihadkan kepada maksimum 20 orang.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved