Sabtu, 12 April 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Diusir selepas diami 80 tahun

Posted: 11 Apr 2014 12:28 PM PDT

Oleh Ani Awang
utusanpenang@utusan.com.my

SEBAHAGIAN daripada penduduk mengadakan tunjuk perasaan secara aman sebagai membantah pengambilan tanah mereka oleh pemaju di Kampung Permatang Tok Subuh, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/AZMAN ASMAYATIM

BUKIT MERTAJAM 11 April - Penduduk Kampung Permatang Tok Subuh di sini meminta kerajaan negeri campur tangan dalam masalah mereka yang diusir pemilik tanah walaupun telah meneroka kawasan tersebut sejak 80 tahun lalu.

Difahamkan tanah itu telah dijual oleh pemilik tanah kepada sebuah syarikat dengan penduduk hanya ditawarkan jumlah pampasan yang sedikit.

Salah seorang penduduk, Jab Samad, 67, berkata, beliau kecewa dengan sikap pemilik tanah yang enggan berbincang tentang perkara itu sebaliknya mengheret penduduk ke mahkamah.

Kami tidak mahu pampasan tetapi apa yang kami mahu adalah rumah sebagai tempat tinggal," katanya ketika ditemui mengadakan demonstrasi secara aman bersama kira-kira 50 penduduk kampung itu di sini hari ini.

Seorang suri rumah, Hamidah Che Embi, 46, berkata, mereka amat memerlukan rumah bagi meneruskan kesinambungan hidup berkeluarga.

Katanya, pampasan sebanyak RM15,000 hingga RM35,000 yang ditawarkan oleh pemilik tanah kepada mereka dilihat sangat tidak berbaloi.

Kami tidak mahukan wang kerana kami memerlukan rumah untuk tempat berlindung.

Apa akan jadi kepada generasi akan datang jika tidak mempunyai tempat tinggal," katanya sambil memberitahu mereka akan diheret ke mahkamah pada 18 April ini.

Tambah Hamidah, tindakan pemilik tanah mahu mengusir penduduk dengan menggunakan mahkamah adalah satu tindakan tidak wajar.

Unimap sedia 5 program buat 20,000 pengunjung

Posted: 11 Apr 2014 12:28 PM PDT

ARAU 11 April - Lima program mega bakal menanti pengunjung di kampus induk Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Pauh Putra di sini yang bermula esok hingga Ahad ini.

Kelima-limanya ialah Program Kesihatan 10,000 Langkah, Upacara Penanaman Pokok, Malaysia International Robot Competitions (MIRoC) 2014, International Engineering Invention & Innovation Exhibition 2014 (i-ENVEX 2014) dan Karnival Pengajian Tinggi Negara (KPTN).

Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin memberitahu, UniMAP menyasarkan kehadiran lebih 20,000 pengunjung ke kampusnya itu menerusi lima program yang dijangka menarik minat ramai.

Acara pertama, Program 10,000 Langkah akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Helmi Yahaya.

Program ini merupakan inisiatif universiti dalam membudayakan warga UniMAP kepada amalan gaya hidup sihat dan dijangka disertai lebih 3,000 orang terdiri daripada staf dan keluarga serta pelajar UniMAP," katanya.

Selain itu, katanya program sehari itu meliputi Upacara Penanaman Pokok yang akan disempurnakan oleh Ketua Pentagon Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Datuk Dr. Abd. Latif Mohamad.

Menerusi program tersebut FRIM telah menyumbangkan sebanyak 500 pokok untuk ditanam di sekitar kampus UniMAP Pauh Putra, sebahagian daripada usaha FRIM menyokong inisiatif kampus hijau yang dilancarkan oleh UniMAP.

Kata Kamarudin, dua program dalam kategori Sains dan Inovasi akan berlangsung di Dewan Peperiksaan kampus berkenaan iaitu MIRoC 2014 dan i-ENVEX 2014.

MIRoC merupakan program tahunan yang dianjurkan UniMAP sejak 2010, melibatkan empat acara yang terdiri daripada Rope Climbing Robot, Fire Fighting Robot dan Rescue Robot serta Conquere Robot.

Sementara itu, jelas Kamarudin, program i-ENVEX yang mula dianjurkan pada tahun 2009, bakal menyaksikan penyertaan 20 negara, antaranya, Kemboja, China, Mesir, India, Indonesia, Iraq, Korea Selatan, Filipina dan Malaysia.

Beliau berkata, sebanyak 398 produk penyelidikan akan dipamer dan dipertandingkan mengikut empat kategori yang telah ditetapkan iaitu, Sekolah Menengah, Institusi Pengajian Tinggi (IPT), UniMAP Internal dan antarabangsa.

Program terakhir, KPTN Ke-10 bagi zon utara atau lebih dikenali sebagai Program Jom Masuk U bakal memberi peluang kepada pengunjung khususnya pelajar untuk mendapatkan maklumat berkaitan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam ataupun Swasta.

UniMAP telah dipilih oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menjadi tuan rumah Program Jom Masuk U bagi zon keempat yang akan berlangsung selama dua hari, bermula esok hingga Ahad ini.

Turut terlibat dengan dalam program dijalankan ialah agensi di bawah KPM serta badan-badan berkaitan seperti pihak yayasan negeri, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) dan Malaysian Qualifications Agency (MQA).

SK Kampung Kota Bukit perlu bangunan baharu

Posted: 11 Apr 2014 12:28 PM PDT

MAHADZIR Abdul Hamid (kiri) meninjau bilik guru yang sempit di SK Kampung Kota Bukit, Sik, Kedah, kelmarin. - UTUSAN/Norlia Ramli

SIK 11 April - Bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Kota Bukit di sini akan diganti baharu sekiranya hasil siasatan dilakukan pihak berkaitan mendapati tidak selamat diduduki lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid berkata, perbincangan yang dilakukan dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pegawai khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya menunjukkan maklum balas positif.

Perbincangan telah dilakukan dengan pihak-pihak yang bertanggungjawab dan adalah amat wajar sekolah tersebut digantikan dengan bangunan yang baharu," katanya ketika membuat tinjauan susulan ke sekolah tersebut semalam.

Menurut Mahadzir, sekolah tersebut yang dibina pada tahun 1963 masih mengekalkan struktur bangunan yang lama dengan keadaannya jauh ketinggalan berbanding sekolah-sekolah lain.

Sekian lama pelajar-pelajarnya belajar dalam keadaan daif dan tindakan perlu dilakukan segera demi prestasi akademik pelajarnya yang pada masa ini kurang memberangsangkan," katanya lagi.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), SM Zainuddin Md Isa, 48, berkata, beliau berharap agar bangunan baharu dibina bagi mengurangkan kepadatan pelajar di dalam bilik darjah.

Saya harap ini menjadi kenyataan dengan bangunan baharu yang lebih selesa kerana bilangan pelajarnya semakin ramai.

Sekarang zaman dah merdeka, sekolah lain semuanya dapat bangunan yang cantik dan lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti makmal, bilik komputer, bilik bacaan dan kantin yang sempurna, tetapi di sekolah ini keadaannya adalah sebaliknya," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved