Sabtu, 12 April 2014

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Nelayan Vietnam menyorok 17 jam di perut bot elak dikesan

Posted: 12 Apr 2014 02:10 AM PDT

KEMAMAN 12 April - Gara-gara mahu mengelak daripada dicekup pihak berkuasa, lima daripada 24 nelayan Vietnam sanggup menyorok dan berhimpit-himpit di dalam petak simpanan barang di perut bot selama kira-kira 17 jam.

Malah ada yang cuba menyogok pegawai pemerintah kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 8 (DM 8) Kuantan sebanyak RM1,300 semalam.

Pengarah Operasi APMM DM 8, Komander Maritim Rahim Ramli berkata, kelima-lima mereka ditemui setelah pemeriksaan dilakukan ke atas bot itu kira-kira 1.35 pagi, sebaik ia tiba di jeti Pangkalan Maritim APMM Kemaman di Bukit Kuang kira-kira pukul 6.30 petang.

Beliau berkata, ketika ditahan pada pukul 1.35 pagi kira-kira 27 batu nautika utara dari Pulau Tioman, kelima-lima lelaki berkenaan sempat menyusup masuk ke dalam tempat persembunyian itu tanpa dilihat kerana lampu di atas bot itu telah dipadam sebaik kapal maritim APMM mengesan mereka.

"Semasa melakukan rondaan, kita berjaya mengesan bot berkenaan melakukan aktiviti tunda ganding bersama sebuah lagi bot lain, namun sebaik menyedari kapal maritim menghampiri bot mereka, mereka menyuluh pula ke arah kapal pihak berkuasa.

"Pada masa yang sama kesemua nelayan terbabit bertungkus lumus memotong tali serta pukat dan kedua-dua bot itu berpecah melarikan diri ke arah dua haluan berbeza bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa," kata Rahim kepada pemberita di sini.

Menurutnya, sebuah daripada bot berkenaan bagaimanapun berjaya ditahan. - BERNAMA

Jawatankuasa tangani impak ekonomi, pelancongan dengan China

Posted: 12 Apr 2014 01:50 AM PDT

KOTA KINABALU 12 April - Satu jawatankuasa bagi mengkaji impak ekonomi, perdagangan dan pelancongan ditubuhkan semalam bagi memantau, sekali gus menangani kesannya termasuk merangka strategi terbaharu membabitkan hubungan perdagangan antara Malaysia dan China.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, jawatankuasa itu amat penting bagi menghadapi beberapa isu membabitkan negara itu bermula dengan kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 dan kes penculikan rakyat negara berkenaan di Resort Singamata, Semporna dekat sini pada 2 April lalu. - UTUSAN ONLINE

407 penguat kuasa ditugaskan pada festival mencandat sotong

Posted: 12 Apr 2014 01:10 AM PDT

TERENGGANU 12 April - Tiga ratus dua pegawai dan anggota polis telah ditugaskan bagi memastikan keselamatan para peserta Festival Mencandat Sotong Antarabangsa 2014 yang bermula semalam.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Md Jamil berkata, polis turut dibantu oleh 105 penguat kuasa dari agensi lain seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Beliau berkata, kesemua petugas keselamatan dari pelbagai agensi itu turut dilengkapi dengan 14 aset keselamatan di darat dan laut bagi memastikan perjalanan festival selama tujuh hari itu berjalan lancar.

"Langkah yang dilakukan ini memberi keyakinan tahap keselamatan kepada kira-kira 250 pengamal media cetak dan elektronik dari dalam dan luar negara sepanjang menyertai festival itu di negeri ini.

"Kita bukan sahaja mengawal keselamatan mereka semasa berada di daratan malah ketika melakukan aktiviti di air seperti mencadat sotong juga diberi kawalan keselamatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Festival Candat Sotong Antarabangsa Terengganu di perairan negeri ini disertai kira-kira 250 petugas media dari 25 buah negara untuk menjadi rakan penyiar dan liputan program sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 selama tujuh hari.

Antara negara yang menyertai festival ini antaranya ialah Australia, Brunei, China, Jerman, Korea Selatan, Hong Kong, India, Indonesia, Perancis, Sepanyol, Singapura, Thailand, United Kingdom dan Amerika Syarikat. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved