Rabu, 16 April 2014

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Perak bakal beraksi tanpa penyokong

Posted: 16 Apr 2014 11:14 AM PDT

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
Sukan@utusan.com.my

PASUKAN FRU terpaksa menggunakan meriam air untuk menyuraikan penyokong Perak yang cuba menyerang penyokong JDT selepas pasukan Perak tewas 1-0 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh, kelmarin. - UTUSAN/ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN

PETALING JAYA - Kekecohan yang dicetuskan penyokong Perak terhadap penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh kelmarin mungkin akan menyebabkan pasukan Bos Gaurus beraksi di laman sendiri di dalam stadium kosong.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, hukuman itu merupakan antara tindakan yang boleh dikenakan terhadap mana-mana persatuan bola sepak yang gagal menyediakan kawalan keselamatan mengikut piawaian yang ditetapkan sehingga membolehkan kekecohan seumpama itu tercetus.

Beberapa kemungkinan akan berlaku sekiranya dikenakan tindakan tatatertib, kemungkinan Perak terpaksa beraksi di dalam stadium kosong tetapi kami berharap tidak sampai ke tahap itu.

FAM sedang menunggu laporan penuh daripada pegawai perlawanan untuk dirumuskan sebelum diserahkan kepada jawatankuasa berkenaan untuk tindakan susulan kerana kami melihat perkara ini sebagai sesuatu yang sangat serius," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma FAM di sini semalam.

Pertemuan di antara kedua-dua pasukan itu dicemari insiden kekecohan penyokong yang berlaku selepas perlawanan tamat.

Tindakan pantas Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan anggota keselamatan lain berjaya menghalang insiden tersebut menjadi lebih buruk.

Kira-kira 250 penyokong JDT lari ke tengah padang untuk menyelamatkan diri dan mereka menunggu beberapa lama di situ hingga keadaan selamat sebelum beredar.

Kekecohan sudah dijangka akan berlaku kerana pada sebelah pagi dua buah bas yang membawa skuad Harimau Selatan diconteng di bahagian sisi dengan cat kuning ketika diletakkan berhampiran hotel penginapan skuad berkenaan.

Hamidin berkata, pihaknya turut kecewa dengan insiden yang berlaku itu sambil menyifatkan tindakan seperti itu menjejaskan kerancakan sukan bola sepak tanah air dan sekali gus memberikan implikasi tidak baik kepada Persatuan Bolasepak Perak (Pafa).

Katanya, insiden itu berpunca daripada segelintir penyokong yang ingkar dengan peraturan keselamatan yang ditetapkan dan beliau khuatir akan terus berlaku sekiranya tidak dibendung secara menyeluruh.

Secara peribadi saya sangat sedih dengan kejadian ini kerana pelbagai usaha telah dilakukan termasuk kempen Anti Hooligan dan surat peringatan kepada pihak persatuan berhubung insiden seumpama ini.

Bagaimanapun ia tetap menjadi tanggungjawab untuk menyediakan kawalan keselamatan yang mencukupi bagi membendung perkara ini daripada berlaku dan sekiranya berlaku kekacauan lagi pada masa akan datang, agak malang buat Pafa," katanya.

Bulan lalu, Pafa dikenakan denda berjumlah RM20,000 selepas mengaku bersalah di bawah empat pertuduhan termasuk tindakan penyokong membakar mercun ketika pemain menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Terengganu pada 25 Januari lalu di laman sendiri.

Tiga lagi kesalahan melibatkan pembakaran mercun selepas tamat perlawanan, tindakan penyokong membakar suar dan gagal menyediakan kawalan keselamatan yang mencukupi semasa perlawanan berlangsung.

Penyokong Perak bertindak ganas kerana dendam

Posted: 16 Apr 2014 11:14 AM PDT

Oleh SAYED HESHAM IDRIS
hesham.idris@utusan.com.my

Penyokong JDT diarah berkumpul di tengah padang oleh pihak keselamatan selepas diserang penyokong pasukan tuan rumah selepas perlawanan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh kelmarin.

IPOH - Tindakan ganas penyokong Perak terhadap penyokong Johor Darul Takzim (JDT) selepas perlawanan Liga Super di Stadium Perak kelmarin disifatkan kekecohan melibatkan penyokong yang terburuk dalam sejarah bola sepak negara.

Ia tercetus selepas perlawanan yang berakhir dengan pasukan pelawat menang 1-0 apabila penyokong Perak memasuki kawasan tempat duduk yang dikhaskan untuk penyokong JDT.

Bagaimanapun, tindakan pantas Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan anggota polis berjaya menghalang kejadian lebih buruk berlaku.

Suasana tegang itu memaksa penyokong pasukan pelawat lari menyelamatkan diri ke tengah padang.

Setelah gagal merapati penyokong JDT di dalam stadium, penyokong Perak menunggu penyokong pelawat di luar pula.

Kemuncak kekecohan menyaksikan anggota FRU terpaksa menggunakan gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan penyokong Perak yang menunggu bas pemain JDT keluar dari kawasan stadium.

Malah, bas yang membawa pemain JDT mengalami kerosakan akibat dibaling dengan batu. Namun tiada laporan tentang kecederaan serius yang dialami oleh penyokong kedua-dua pasukan.

Petanda perlawanan bertukar kecoh sudah kelihatan semasa aksi kedua-dua pasukan lagi apabila penyokong tuan rumah bertindak membakar suar dan membaling mercun.

Mengulas insiden tersebut, Presiden Persatuan Bolasepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin melahirkan rasa dukacita dan menyifatkannya kekecohan paling buruk pernah berlaku di Stadium Perak.

Menurutnya, keganasan yang dicetuskan oleh penyokong Perak adalah perbuatan yang melampau, tidak bertamadun dan tidak sewajarnya berlaku.

Pafa turut meminta maaf kepada para penyokong JDT kerana insiden ini.

Sebagai tuan rumah, Pafa telah menyediakan kawalan keselamatan yang sepatutnya, khas untuk perlawanan ini bagi menjamin keselamatan penonton, namun apa yang berlaku di luar jangkaan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat dua petugas media di sini, jurufoto Kumpulan NSTP, Supian Ahmad, 35, dan wartawan akhbar Sinar Harian, Razif Rosli, 30, yang cedera akibat terkena bata dan mercun yang dibaling oleh penyokong.

Mengulas punca penyokong Perak bertindak agresif, Zainol tidak menolak kemungkinan ia bermotifkan 'balas dendam' ekoran kekecohan ketika skuad Bos Gaurus berkunjung ke Larkin dalam perlawanan Liga Super pada 18 Januari lalu.

Namun, tegas Zainol, sepatutnya tiada lagi istilah balas dendam kerana Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sendiri sudah menjelaskan bahawa insiden di Larkin itu terpencil dan sudah selesai.

Kekecohan semalam mungkin disebabkan ada pihak yang sengaja membangkitkan dan memainkan semula elemen supaya membalas dendam sejak sebelum perlawanan lagi.

Akibatnya mereka bertindak di luar batasan kerana dikuasai emosi.

Saya juga mendesak pihak berkuasa supaya menyiasat sama ada penyokong yang ditangkap turut dipengaruhi unsur lain seperti pengambilan alkohol dan sebagainya," katanya.

Zainol bagaimanapun menolak andaian kekecohan disebabkan penyokong Perak mahu menunjukkan protes terhadap Pafa ekoran prestasi buruk pasukan itu yang kini menghuni tangga tercorot liga.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved