Rabu, 16 April 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Bina dewan SMK (P) Sultan Abu Bakar

Posted: 15 Apr 2014 12:32 PM PDT

Oleh Zulhisham Isahak
utusanjohor@utusan.com.my

MUAR 15 April - Pembinaan dewan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Sultan Abu Bakar di sini akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).

Usul pembinaan dewan tersebut yang dikemukakan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu diserahkan kepada Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim untuk disampaikan kepada Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat.

Razali yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyifatkan dewan baharu itu sebagai satu keperluan untuk keselesaan pelajar selepas mendengar penjelasan mengenainya daripada PIBG sekolah tersebut.

Sekolah akan dapat melakukan banyak program dengan adanya dewan baharu. Sekolah ini layak mendapatnya kerana sering berjaya dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Pembinaan dewan ini juga adalah satu penghargaan kepada sekolah ini kerana keputusan peperiksaannya sering mendapat tempat kedua di negeri ini selepas Johor Bahru," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Bangunan Baharu, Hari Keusahawan dan Anugerah Pelajar Cemerlang sekolah itu di sini kelmarin.

Razali berkata, keputusan akademik sekolah tersebut yang cemerlang setiap tahun mengharumkan nama daerah ini dan seharusnya segala keperluan mereka perlu dipenuhi.

Mengenai program tersebut, beliau berkata, penganjurannya dapat membakar semangat dan meningkatkan motivasi para pelajar untuk terus mencipta kejayaan pada masa depan.

Sementara itu, Pengetua sekolah berkenaan, Rohanah Yahya berkata, anugerah tersebut diberikan kepada 120 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PMR, SPM, STPM pada tahun lalu.

Program ini bagaikan mini konvokesyen selain penghargaan kepada mereka dalam peperiksaan yang lalu.

Pemenang My Body Fit Camp bawa pulang emas, perak

Posted: 15 Apr 2014 12:32 PM PDT

NURUL Effendy Zainal (duduk, tiga dari kiri) dan Muhammad Bahagia Jemali (duduk, empat kiri) bersama sebahagian peserta dalam majlis penyampaian hadiah di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Johor, Larkin, Johor Bahru, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 15 April - Program mengawal berat badan dan meningkatkan kecergasan My Body Fit Camp yang melabuhkan tirai penganjuran pertamanya menyaksikan enam peserta membawa pulang emas dan perak dalam majlis penyampaian hadiah yang diadakan di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Johor, Larkin, di sini Sabtu lalu.

Balquis Abdul Malek, 40, menjuarai kategori kecergasan manakala Nur Azura Abdol Hafiz, 27, mendapat tempat pertama kategori berat badan yang membolehkan masing-masing membawa pulang jongkong emas seberat 10 gram.

Yon Minhat, 36, dan Hazlin Ali, 29, pula terpaksa berpuas hati di tempat kedua dan ketiga bagi kategori kecergasan yang menawarkan hadiah 1 dinar emas dan jongkong perak seberat 100 gram di mana ganjaran serupa turut dibawa pulang bagi Anis Liyana Buliyah, 26, dan Farah Fathin Juned, 25, bagi kategori berat badan.

Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat yang diwakili oleh pegawai khas beliau, Nurul Effendy Zainal sambil disaksikan pengarah program My Body Fit Camp, Muhammad Bahagia Jemali.

Dalam ucapannya, Nurul Effendy menyambut baik pendekatan luar kotak My Body Fit Camp untuk menganjurkan program yang menawarkan hadiah emas dan perak kepada pemenang, yang disifatkan sebagai satu keunikan berbanding program seumpamanya.

Saya difahamkan program mengambil inspirasi daripada langkah pihak berkuasa tempatan Dubai, Emiriah Arab Bersatu yang menawarkan 1 gram emas bagi penduduk yang berjaya menurunkan sekilogram berat badan pada November lalu.

Saya harap program ini dapat diteruskan kerana selain menjadikan hadiah emas dan perak sebagai motivasi peserta menguruskan berat badan dan meningkatkan kecergasan, ia juga memberi kesedaran amalan hidup sihat yang disarankan Kementerian Kesihatan," katanya.

Sementara itu Muhamad Bahagia berkata, program ini mendidik peserta mengenai kecergasan serta kesihatan di samping mendapatkan bentuk badan yang diiinginkan dan rata-rata peserta tidak mengalami penurunan berat badan yang banyak namun berlaku perubahan komposisi tubuh yang menjadi mereka lebih cergas.

Program yang akan memulakan penganjuran kali kedua di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Johor, Larkin, di sini pada 18 April ini, turut mendapat sokongan daripada Regency Specialist Hospital yang menyediakan perkhidmatan ambulans, UEG Network sebagai penaja lokasi seminar dan Utusan Malaysia sebagai media rasmi.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved