Ahad, 27 April 2014

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Dua termasuk wanita ditahan

Posted: 27 Apr 2014 11:38 AM PDT

Oleh ROSMAWATI SALIHIN
pengarang@utusan.com.my

Hamza Taib

KOTA KINABALU 27 April - Polis menahan dua individu, termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan penjualan projek pembinaan dan lot banglo di beberapa daerah di negeri ini, membabitkan kerugian melebihi RM1.5 juta

Kedua-duanya ditahan pada pukul 12.55 tengah hari di sebuah premis berhampiran Karamunsing Capital di sini, Khamis lalu, ekoran daripada 17 laporan polis yang dibuat oleh mangsa di Penampang, Kudat, Kota Belud dan Ranau.

Siasatan mendapati, suspek wanita berusia 48 tahun yang ditahan itu merupakan pengarah urusan syarikat tersebut manakala pembantunya, lelaki berusia 47 tahun.

Modus operandi mereka adalah dengan mengiklankan projek pembinaan dan lot banglo di seluruh negeri pada harga murah dalam akhbar-akhbar tempatan.

Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Hamza Taib berkata, para pelanggan yang berminat kemudian diminta untuk membayar bayaran deposit sebanyak 20 peratus daripada nilai hartanah berkenaan.

"Difahamkan, sehingga kini 76 pelanggan yang percaya telah membuat pembayaran deposit bernilai RM1.56 juta.

"Pembayaran dibuat tanpa sebarang perjanjian jual beli atau penyerahan kunci seperti yang dijanjikan," katanya selepas melancarkan eksesais pengambilan khas jawatan (lelaki dan wanita) konstabel kaum Cina di sini, semalam.

Hamza seterusnya berkata, siasatan mendapati syarikat berkenaan tidak mempunyai sebarang lesen berhubung kontrak pembinaan dan juga untuk mengutip sebarang bayaran daripada orang ramai.

"Kedua-dua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu," katanya.

Lelaki maut dipukul ketika mengambil wuduk solat Isyak

Posted: 27 Apr 2014 11:38 AM PDT

HAKIMI Md. Setapa, 33, menunjukan tempat ayahnya, Md. Setapa Ab. Radzad maut dipukul lelaki bertopeng di ruang dapur rumahnya di Kampung Gua Raja, Gua Ipoh, Tanah Merah, Kelantan, semalam. - UTUSAN/SAMSUL BAHARI MOHAMED

TANAH MERAH 27 April - Seorang lelaki berusia 75 tahun maut dipukul ketika mengambil wuduk untuk solat Isyak di rumahnya di kampung Gua Raja, Gua Ipoh di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam, mangsa Md. Setapa Ab. Radzad dipukul menggunakan sebatang kayu oleh seorang lelaki yang memakai topeng ski.

Isteri mangsa, Sabariah Awang Noh, 71, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas mendengar suaminya menjerit dalam bilik air di ruang dapur di bahagian bawah rumah tersebut.

"Saya bergegas turun ke bawah dan melihat seorang lelaki memakai topeng ski dan berpakaian serba hitam berlari keluar melalui pintu dapur.

"Ketika itu saya mendapati dahi dan bahagian belakang kepala suami saya berdarah namun dia masih boleh bergerak dan berjalan duduk di atas tangga di ruang dapur," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Katanya, dia kemudian meminta pertolongan daripada jiran untuk membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Gual Ipoh di sini.

Katanya, Md. Setapa yang berlumuran darah disahkan meninggal dunia pada pukul 9 malam di klinik tersebut.

"Ketika kejadian hanya saya dan suami sahaja berada di rumah manakala anak lelaki saya ke surau. Arwah tidak mempunyai musuh dan dia hanya bekerja sebagai penoreh getah sahaja," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Suprintendan Abd. Aziz Mahmud ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian tersebut dan siasatan sedang dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Hasil bedah siasat mendapati mangsa maut akibat serangan jantung kerana terkejut dipukul dengan kayu.

"Pihak polis sedang mengenal pasti identiti suspek dan usaha untuk mengesannya sedang giat dijalankan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved