Rabu, 5 Mac 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Penentuan survival politik kongsi kuasa

Posted: 04 Mar 2014 11:08 AM PST

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) di Bangunan UMNO Bahagian Hulu Langat, Selangor, pada 24 Februari lalu, sebagai persiapan jentera parti menghadapi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang. - UTUSAN

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kajang, Selangor, menentukan survival politik dan demokrasi perkongsian kuasa amalan Barisan Nasional (BN), kesetiakawanan parti-parti komponennya dan nilai-nilai murni Malaysia di abad ke-21.

Politik perkongsian kuasa dan demokrasi perkongsian kuasa diasaskan oleh tokoh pelbagai keturunan pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menerusi pembentukan Perikatan pada tahun 1953.

Prinsip politik dan demokrasi inilah yang memacu perjuangan kemerdekaan negara, pembentukan kerajaan sementara pada tahun 1955 dan pemerintahan Malaysia merdeka hingga ke hari ini.

Perikatan mendukung kedua-dua prinsip ini untuk penyatuan negara, perpaduan rakyat berbilang keturunan, menjamin keselamatan nasional dan mempertahankan kelestarian survival negara di era merdeka.

Ini kerana beberapa pertubuhan politik sebelum kewujudan Perikatan adalah kelompok siasah nasionalis berhaluan kiri, radikal, militan atau pendukung ideologi komunis.

Kesatuan Melayu Muda (KMM), ditubuhkan pada 1938 dan Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dibentuk pada 1945, adalah contoh kelompok nasionalis berhaluan kiri yang bercita-cita memerdekakan Tanah Melayu untuk dicantumkan dengan Indonesia menerusi konsep Indonesia Raya.

Walaupun PKMM dipimpin nasionalis Melayu seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ishak Haji Muhammad dan Ahmad Boestamam, ia juga disusupi oleh elemen-elemen Parti Komunis Malaya (PKM).

Antaranya; "Musa Ahmad selaku Pengerusi Biro Petani [PKM], Abdullah C.D. selaku Pengerusi Biro Buruh [PKM] dan Shamsudin Salleh selaku Pengerusi Biro Sosial [PKM], sebagai ahli jawatankuasa pusat PKMM" (Ramlah 1994).

Pertubuhan politik yang didukung oleh segolongan rakyat Cina di Tanah Melayu serta sekelompok orang Cina yang menjadi rakyat British di Singapura, Melaka dan Pulau Pinang, pula bersifat militan dan tidak bercita-cita memerdekakan negara.

Koumintang (KMT) yang bergerak di Tanah Melayu mulai 1921, hanya pengutip derma bagi perjuangan KMT di China. Sayap pemudanya yang militan, berfungsi menghapuskan musuh KMT di Tanah Melayu terutamanya ahli-ahli Parti Komunis China (PKC) yang menyusupi PKM.

PKM, ditubuhkan pada 1932, di Buloh Kasap, Segamat, Johor, selepas mesyuarat yang dihadiri oleh wakil Komunis Antarabangsa (Comintern) bernama Nguyen Ai Quoc atau Ho Chi Minh (Harper 2001), menubuhkan Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA) untuk menentang Jepun bersama-sama tentera British.

Setelah Jepun menyerah kalah kepada tentera bersekutu pada 16 Ogos 1945 dan sehingga British kembali memerintah Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua, MPAJA melakukan keganasan dan menguasai Tanah Melayu selama 14 hari.

MPAJA "mewujudkan kerajaan tempatan di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor [dan] menubuhkan mahkamah kanggaru untuk menjatuhkan hukuman terhadap pegawai dan anggota polis Melayu yang didakwa sebagai tali barut Jepun" (Harper 2001).

Latar belakang di atas mendorong Tunku Abdul Rahman serta pemimpin lain pelbagai kaum, mewujudkan politik dan demokrasi konsosiasional menerusi Perikatan.

Mereka bertindak demikian untuk memerdekakan negara menerusi diplomasi serta "mengikut jalan perlembagaan, bukannya menerusi kekerasan atau pertumpahan darah" (Tunku Abdul Rahman 1953).

Huraian-huraian ini menunjukkan kemunculan Perikatan dengan prinsip siasah dan demokrasi perkongsian kuasa adalah untuk membolehkan rakyat Malaysia yang majmuk mempunyai wadah perjuangan yang memelihara kemajmukan negara.

Ini sebabnya Perikatan dan kini BN, bersikap sederhana, mendukung kedaulatan Perlembagaan, menitikberatkan perpaduan rakyat serta memelihara keselamatan nasional dan survival negara.

Tindakan yang mendepani zaman ini dilakukan di Malaysia sebelum konsep politik dan demokrasi konsosiasional dihuraikan dalam tulisan Lijphart (1968; 1977) dan sebelum teori konsosional diperincikan dalam karya suntingan Taylor (2009).

Prasyarat amalan politik perkongsian kuasa adalah "pemeteraian kerjasama yang positif di kalangan kepimpinan yang mewakili kelompok berbeza-beza kepentingan untuk mendapatkan semangat tolak-ansur serta mewujudkan permuafakatan" Lijphart (1968).

Ciri-ciri utama demokrasi konsosiasional pula adalah pembentukan "sebuah kerajaan yang berasaskan prinsip gabungan besar yang diwujudkan oleh pemimpin-pemimpin politik yang mewakili pelbagai kelompok yang signifikan dalam sesebuah negara yang plural" Lijphart (1977).

Politik konsosiasional yang diamalkan di Malaysia sejak 57 tahun lalu kini diiktiraf oleh segolongan penganalisis politik dan keselamatan sebagai tatacara siasah terbaik bagi sesebuah negara majmuk.

Lantas bagaimanakah pemimpin komponen BN dan seluruh pengundi Malaysia, khususnya yang akan menentukan nasib calon-calon di PRK Kajang, menilai amalan politik dan demokrasi konsosiasional oleh BN di abad ke-21?

Adakah mereka akan meneruskan amalan dan prinsip yang didukung oleh BN ini? Adakah mereka akan memihak Pakatan Rakyat (PR) yang tindakannya mengancam perpaduan rakyat dan bersekongkol dengan segelintir individu yang nilai moralnya jelas dicemari kesongsangan?

Seluruh persoalan mengenai survival politik dan demokrasi perkongsian kuasa BN, kesetiakawanan parti-parti komponennya dan keunggulan nilai-nilai murni Malaysia di abad ke-21 ini ditentukan oleh PRK DUN Kajang 23 Mac ini.

DATUK RUHANIE AHMAD ialah bekas Ahli

Parlimen Parit Sulong, Johor dan pelajar

peringkat PhD di Universiti Kebangsaan

Malaysia (UKM).

Hentikan eksploitasi kanak-kanak tahfiz

Posted: 04 Mar 2014 11:08 AM PST

Oleh MOHAMMAD NOORIZZUDDIN NOOH

MEREKA ini kebal! Mungkin itu yang boleh dikatakan tentang pihak yang mempergunakan kanak-kanak dan remaja di sebalik nama sekolah atau maahad tahfiz sedangkan ramai ragu-ragu ke mana perginya derma amal tersebut?

Fenomena ini telah memalitkan nama busuk kepada segelintir pentadbir dan pengusaha tahfiz asli yang betul-betul memerlukan dana daripada masyarakat umum untuk terus berdiri memperjuangkan niat yang suci tersebut.

Golongan ini bertindak tanpa perikemanusiaan dengan memperguna dan memperdagangkan kanak-kanak bagi mendapatkan hasil picisan dengan berselindung di sebalik aktiviti kokurikulum demi mengelak tindakan pihak berkuasa.

Notis demi notis dan amaran telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa terlibat namun golongan zalim ini hanya membutakan mata dan memekakkan telinga demi mengecapi keuntungan material duniawi.

Kemurahan hati masyarakat Malaysia dalam soal bersedekah dieksploitasikan.

Nabi SAW bersabda: "Setiap Muslim ada baginya pahala sedekah, mereka bertanya: Wahai Nabi, orang yang tidak dapat? Baginda bersabda: Bekerjalah menggunakan tangan sendiri yang memberi manfaat kepada diri sendiri dan bersedekah, mereka bertanya: Jika tidak dapat?

Baginda bersabda: Hendaklah dia menolong orang yang menderita yang sangat berhajat kepada pertolongan, mereka bertanya: Jika tidak dapat? Baginda menegaskan: Maka hendaklah dia melakukan amal makruf dan menahan diri daripada melakukan kejahatan, maka sesungguhnya perbuatan itu akan mendapat pahala sedekah baginya. (Riwayat Al-Bukhari)

Setiap Muslim berpeluang melaksanakan sedekah daripada hasil yang dikerjakannya dan jika tidak dapat berbuat demikian maka cukuplah dengan membantu orang yang berada dalam kesusahan dengan tenaga yang mereka ada. Akan tetapi dalam dunia serba moden ini, sifat murah hati tersebut senang dimanipulasi oleh golongan zalim ini.

Siapa yang tidak luluh hatinya melihat anak kecil menjual kismis hingga pukul 10 malam. Kadang-kadang hati tergerak untuk membantu akan tetapi jika mengenangkan bahawa ia merupakan satu penipuan maka hati berhenti untuk membantu.

Ada yang berkata, kita bantu sahajalah mereka walaupun kita tahu dalang di sebaliknya. Mereka menyatakan bahawa tanggungjawab bersedekah mereka telah selesai dan apa yang berlaku di sebaliknya hanya Allah yang tahu dan semoga Allah memberikan balasan kepada golongan zalim ini.

Sebenarnya sikap sebeginilah yang membuatkan kelompok zalim dan tidak bertanggungjawab ini merasakan diri mereka kebal.

Sudah sampai masanya, pihak berkuasa membuka mata dan mengaku bahawa perkara ini adalah serius. Tanggungjawab memantau dan menghukum golongan ini merentasi beberapa agensi dan kementerian. Berpakatlah demi maslahah umum.

Gunakan akta dan enakmen yang sedia ada. Jika tidak cukup, kita gubal rang undang-undang baharu demi menjaga dan menjamin keselamatan dan kesejahteraan golongan remaja dan kanak-kanak yang dimanipulasi ini. Sekurang-kurangnya gunakanlah Akta Perlindungan Kanak-kanak sedia ada. Bertindaklah segera sebelum nasi menjadi bubur.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved