Rabu, 5 Mac 2014

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Mahkamah Persekutuan putuskan

Posted: 05 Mar 2014 11:23 AM PST

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES dan SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

Umat Islam berhimpun di pekarangan Istana Kehakiman sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai penggunaan kalimah Allah di Putrajaya, semalam. - bernama

PUTRAJAYA 5 Mac - Persoalan sama ada majalah mingguan, The Herald berhak atau tidak untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan Menteri Dalam Negeri yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam seksyen bahasa Melayu penerbitan itu, akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Ketetapan itu dibuat selepas permohonan Gereja Roman Katolik untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap perintah larangan Mahkamah Rayuan bertarikh 14 Oktober 2013 selesai didengar hari ini di hadapan panel khas seramai tujuh hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Enam lagi ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum; serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datuk Zainun Ali dan Datuk Jeffrey Tan.

Terdahulu, peguam Datuk Sulaiman Abdullah yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) berkata, keputusan menteri pada 7 Januari 2009 yang tidak membenarkan The Herald menggunakan kalimah Allah dalam seksyen bahasa Melayu penerbitan itu, bebas daripada sebarang unsur mala fide (niat jahat).

Menurut beliau, menteri berkenaan juga tidak tersalah arah ataupun bertindak secara salah ketika mengeluarkan perintah melarang gereja itu menggunakan kalimah tersebut.

Malahan beliau menegaskan, ketika mengeluarkan perintah larangan itu, Menteri Dalam Negeri telah mempertimbangkan sedalam-dalamnya faktor keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Justeru itu, pihaknya menyatakan, tiada sebarang kecacatan dalam perintah tersebut kerana mematuhi segala peraturan tanpa sebarang unsur yang tidak rasional.

Sulaiman sehubungan itu memohon supaya Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Gereja Roman Katolik untuk mendapatkan kebenaran merayu.

Pihak gereja memfailkan permohonan tersebut di Mahkamah Persekutuan pada 11 November tahun lalu dengan mengemukakan 26 persoalan mengenai Perlembagaan Persekutuan, undang-undang pentadbiran dan kuasa mahkamah untuk membenarkan Menteri Dalam Negeri melarang penggunaan perkataan teologi (Tuhan).

Dalam permohonan itu pihak gereja menamakan Menteri Dalam Negeri, kerajaan Malaysia, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, Wilayah Persekutuan, Melaka, Johor, Kedah, Selangor dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) selaku responden pertama hingga kelapan.

Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan yang mewakili Menteri Dalam Negeri dan pihak kerajaan berhujah, dalam permohonan untuk mendapat kebenaran merayu, mahkamah akan mengkaji semula keputusan pihak berkuasa awam bahawa semakan kehakiman adalah berkaitan proses membuat keputusan dan bukannya terhadap keputusan itu sendiri.

Peguam Mubashir Mansor yang mewakili Majlis Agama Islam Johor, Kedah, Melaka dan Wilayah Persekutuan pula menarik perhatian mahkamah dengan mengatakan, isu yang menjadi persoalan bukannya mengenai pertembungan agama dan bukan juga isu Islam mencampuri urusan agama Kristian.

Sebaliknya menurut beliau, ia sebenarnya berhubung persoalan terjemahan dan salah terjemah kalimah Allah.

Pihak pemohon juga, kata beliau, mesti membuktikan perkara penting iaitu kalimah Allah berasal daripada perkataan Arab dan dalam terjemahan bahasa Melayu juga mengandungi kalimah Allah.

Sehubungan itu, katanya, pihak pemerintah yang mempunyai kuasa mutlak untuk membuat pindaan ke atas perkataan tersebut.

Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Macma pula berkata, pemohon gagal membuktikan bagaimana perintah menteri yang berkenaan salah di sisi undang-undang.

"Oleh itu, mahkamah tidak sepatutnya membuang masa untuk menjawab semua persoalan ini," kata peguam tersebut.

Pihak gereja yang diwakili peguam Tan Sri Dr. Cyrus Dass dalam hujahnya menyifatkan, menteri berkenaan telah membuat kenyataan sewenang-wenangnya tanpa disokong dengan sebarang bukti.

Katanya, menteri gagal menunjukkan dan menjelaskan bagaimana penggunaan kalimah Allah dalam The Herald versi bahasa Melayu mampu mengancam keselamatan negara dan boleh menyebabkan kekeliruan agama.

Hak golongan minoriti menurut Dass, telah terjejas disebabkan keputusan Mahkamah Rayuan itu kerana hak tersebut bukan diatur oleh kuasa eksekutif sebaliknya ditentukan oleh mahkamah.

Rayuan pendakwaan diteruskan

Posted: 05 Mar 2014 11:23 AM PST

Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 5 Mac - Sehingga ke saat-saat akhir, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih berusaha untuk menangguhkan rayuan pihak pendakwaan terhadap perintah pembebasan Ketua Pembangkang itu daripada pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Percubaan ad-hoc di mahkamah tertinggi negara, Mahkamah Persekutuan itu bagaimanapun menemui kegagalan apabila panel lima hakim yang diketuai oleh Tan Sri Abdull Hamid Embong memutuskan bahawa permohonan penangguhan interim (sementara) yang didengar pada pukul 4.30 petang tidak mempunyai sebarang merit.

Panel tersebut juga sebulat suara menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang alasan untuk mengganggu keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan Ahli Parlimen Permatang Pauh untuk menangguhkan pendengaran rayuan pihak pendakwaan yang dijadualkan esok dan lusa.

Yang turut bersidang ialah Hakim-Hakim Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah, Datuk Seri Zaleha Zahari dan Datuk Ramly Ali.

Anwar melalui peguam-peguamnya, Karpal Singh dan R. Sivarasa memohon penangguhan pendengaran rayuan itu hari ini selepas memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, Isnin lalu yang menolak permohonan kali ketiganya untuk menyingkirkan peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pasukan pendakwaan.

Pendengaran permohonan ad hoc itu dibuat selepas Karpal menemui Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria di kamar hakim pada petang ini.

Alasan yang diberikan ialah panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Balia Yusof Wahi telah mengeluarkan penghakiman penuh berhubung keputusan yang dibuat pada 3 Mac lalu.

Selain itu, panel tersebut turut menolak permohonan Anwar untuk menangguhkan pendengaran rayuan itu atas alasan tiada sebarang keadaan istimewa yang membolehkan rayuan itu ditangguhkan walaupun pihak pembelaan ingin merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan tersebut.

Mahkamah tersebut juga menyatakan terdapat elemen yang menunjukkan permohonan ketiga untuk menyingkirkan Muhammad Shafee dibuat atas tujuan melengah-lengahkan rayuan pihak pendakwaan yang pada ketika ini bergerak begitu perlahan seperti siput ekoran tiada sebarang perkembangan sejak Julai 2013.

Dua percubaan Anwar untuk menggugurkan Muhammad Shafee daripada mengetuai pihak pendakwaan dalam rayuan kes liwatnya sebelum ini telah ditolak sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan.

Pendengaran rayuan itu pula sebelum ini telah tertangguh sebanyak tiga kali.

Anwar, 67, dilepas dan dibebaskan pada 9 Januari 2012 daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari, 28, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Keputusan itu dibuat selepas perbicaraan kes liwat itu tertangguh sebanyak 69 kali.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved