Isnin, 31 Mac 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


13,000 rumah untuk warga kota

Posted: 30 Mar 2014 11:55 AM PDT

Oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR
kota@utusangroup.com.my

Ahmad Phesal Talib (dua, kanan) dan Syed Ali Alhabshee (dua, kiri) mendengar penerangan daripada petugas AADK Cheras, Mohd. Hairee Hairudin (kanan) mengenai bahaya pengambilan dadah di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AZLIZA HAILANI

KUALA LUMPUR 30 Mac - Sebanyak 13,000 rumah mampu milik akan dibina di sekitar ibu negara bagi memberi peluang kepada lebih ramai warga kota memiliki rumah sendiri.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, ini merupakan inisiatif bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pihak kerajaan dan swasta dalam membantu masyarakat di bandar raya ini.

"Walaupun setakat ini kita tidak boleh beri tempoh masa rumah-rumah tersebut akan disiapkan, namun kita menjangka projek itu akan siap dalam tempoh dua tahun lagi.

"Rumah tersebut adalah jenis pangsapuri yang boleh dibeli serendah RM300,000 dan tumpuan pembinaannya adalah di luar pusat bandar. Kita rancang keluasan rumah tersebut sekurang-kurangnya 800 kaki persegi agar dapat memberi keselesaan kepada penghuninya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Program Masyarakat Sihat Hidup Sejahtera yang dianjurkan bersama oleh UMNO Bahagian Cheras, Persatuan Penduduk Perumahan Awam Jalan Hang Tuah dan DBKL di Dataran Perumahan Awam DBKL, Jalan Hang Tuah di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Sementara itu, Ahmad Phesal menasihati orang ramai supaya menjaga harta benda awam supaya dana yang ada tidak dibazirkan semata-mata untuk membaik pulih kemudahan tersebut.

"Tahun lalu, DBKL telah menghabiskan RM12 juta untuk membaiki lif di perumahan awam dan pada tahun ini sebanyak RM9 juta telah digunakan bagi tujuan sama.

"Jika wang tersebut tidak digunakan untuk kerja-kerja pembaikan, sudah tentu ia boleh disalurkan bagi kegunaan lain yang memberi manfaat kepada warga kota," katanya.

Menurutnya lagi, mereka yang berjaya mendapatkan perumahan awam harus bersyukur dan menjaganya sebaik mungkin kerana ramai lagi warga kota yang berminat membelinya.

"Pada masa ini sukar untuk mendapatkan rumah Projek Perumahan Rakyat DBKL kerana ramai yang menghantar permohonan.

"Dianggarkan kira-kira 110,000 orang yang memohon untuk tinggal di perumahan DBKL, tetapi hanya 38,000 yang layak. Justeru, jagalah harta benda awam di kediaman itu supaya tidak rosak," ujarnya.

Tanah mendap ancam keselamatan penduduk

Posted: 30 Mar 2014 11:55 AM PDT

ZULKIFLI Ismail (kiri) melihat kesan rekahan di tempat letak kereta di Saujana Damansara, Petaling Jaya, semalam.- UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ

PETALING JAYA 30 Mac - Masalah tanah mendap yang berlaku sejak kira-kira lima tahun lalu semakin membimbangkan penduduk di sekitar Jalan PJU 10/10G, Saujana Damansara di sini.

Pengerusi Persatuan Penduduk Rumah Kedai Saujana Damansara, Zulkifli Ismail, 38, mendakwa, pihaknya kepada telah membuat aduan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) namun masih tiada sebarang tindakan diambil bagi menyelesaikan masalah tersebut.

"Sudah berkali-kali penduduk membuat aduan, namun umpama masuk telinga kanan, keluar telinga kiri kerana kami tidak nampak usaha MBPJ melakukan apa-apa terhadap aduan tersebut.

"Sewaktu saya berjumpa dengan pihak pemaju dan MBPJ tidak lama dahulu, mereka menyalahkan satu sama lain. Akhirnya penduduk tersepit akibat tiada sebarang kata putus dicapai oleh kedua-dua pihak berkenaan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut Zulkifli, dia juga pernah dipanggil untuk menghadiri mesyuarat yang dianjurkan oleh pihak terbabit, namun tarikhnya ditukarkan pada saat-saat akhir menyebabkan tiada wakil penduduk yang turut serta.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan itu mendapati tebing di kawasan itu rosak teruk akibat hakisan tanah sehingga menyebabkan permukaan tempat letak kereta turut mengalami rekahan.

Sementara itu, seorang penduduk, Hisham Arshad, 41, berkata, sesetengah penduduk terpaksa berdepan risiko dengan meletak kenderaan di kawasan tersebut ekoran kekurangan ruang parkir.

"Janganlah tunggu sehingga masalah tanah mendap ini menjadi serius dan menjejaskan bangunan rumah kedai. Jika lambat bertindak, saya bimbang ia akan mengancam nyawa penduduk.

"MBPJ pernah berjanji untuk menghantar wakil mereka ke kawasan ini bagi melakukan tinjauan terhadap masalah tanah mendap itu, tetapi janji tersebut tidak ditunaikan," keluhnya.

Sehubungan itu, penduduk mahu Datuk Bandar Petaling Jaya, Datin Paduka Alinah Ahmad turun padang dan mengambil berat masalah itu kerana aduan mereka selama ini tidak dilayan oleh pihak berkuasa tempatan tersebut.

Asrama pekerja bakal dibina di tapak Pasar Keramat

Posted: 30 Mar 2014 11:55 AM PDT

KUALA LUMPUR 30 Mac. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mendirikan sebuah asrama pekerja di tapak Pasar Keramat di sini bagi memudahkan orang ramai yang ingin menginap buat sementara waktu ketika berada di ibu negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md. Ikshan berkata, pembinaan kemudahan yang dinamakan Rumah Kaunsel itu dijangka bermula pada Mei depan apabila 144 peniaga di pasar itu berpindah ke Keramat Mall.

"Pembinaan asrama pekerja itu membolehkan mereka yang datang dari luar Kuala Lumpur mempunyai tempat untuk menginap ketika melakukan pelbagai urusan kerja di ibu negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan Anugerah Penilaian Prestasi Utama (KPI) Kebersihan Kawasan Perumahan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2013 di sini, baru-baru ini.

Pada majlis itu Pangsapuri Sri Penara, Bandar Seri Permaisuri menjadi juara keseluruhan dan turut memenangi kategori Anugerah Terbaik Perumahan Swasta dan Anugerah KPI manakala Perumahan Awam Seri Perak meraih Anugerah Terbaik Perumahan Awam dan Anugerah KPI.

Sementara itu, Ikhsan memberi jaminan, peniaga yang berpindah ke Keramat Mall akan menikmati pelbagai kemudahan dan insentif yang akan disediakan oleh DBKL.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved