Isnin, 31 Mac 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


RM6j bantu projek pertanian mega

Posted: 30 Mar 2014 11:55 AM PDT

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

ISMAIL Mohamed (kanan) melihat madu lebah seorang pengusaha selepas merasmikan Pakej Projek Usahawan Lebah Peringkat Negeri di Kompleks Bimbingan Usahawan Tani,Pagoh, baru-baru ini. - UTUSAN/ISHAK RAHMAD

PAGOH 30 Mac - Kerajaan negeri memperkenal satu skim baharu dengan peruntukan sebanyak RM6 juta untuk memulakan projek pertanian, penternakan atau perusahaan berskala besar secara berkelompok pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamad berkata, keutamaan diberi kepada pihak yang berkemampuan mengendalikannya seperti Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan koperasi petani.

"Skim ini akan dikendali Agrobank. Peruntukan ini merupakan simpanan terkumpul daripada dana pinjaman industri kecil berasaskan pertanian dan makanan di negeri ini yang diperkenalkan Agrobank pada tahun 2000.

"Bermula tahun tersebut, pinjaman sebanyak RM1 juta diperuntuk khusus bagi merangsang program Satu Daerah Satu Industri tetapi terpaksa ditangguhkan kerana tidak berjaya dan gagal mencapai matlamatnya. Wang yang ada itu dilabur semula sehingga menjadikan jumlahnya terkumpul sebanyak RM6 juta," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pakej Projek Usahawan Lebah Peringkat Negeri di Kompleks Bimbingan Usahawan Tani, di sini kelmarin.

Beliau berkata, menerusi skim baharu itu tidak bermakna pengusaha kecil tidak lagi mempunyai sumber pinjaman, sebaliknya mereka digalak meminjam daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) dengan jumlah pinjaman awal antara RM5,000 hingga RM15,000 tanpa perlu mengemukakan cagaran.

Selain itu, Ismail berkata, menerusi pinjaman TEKUN mereka juga boleh mendapatkan pinjaman secara berperingkat-peringkat sehingga RM100,000 jika prestasi bayaran balik pinjaman dilunaskan dengan baik.

Dalam pada itu, beliau meminta pihak Agrobank bertindak tegas terhadap peminjam yang gagal membayar hutang kerana mereka juga perlu bertanggungjawab, amanah dan harus berusaha mencari jalan untuk menjelaskan bayaran berkenaan.

Ustaz, anak nelayan tawan Gunung Ledang

Posted: 30 Mar 2014 11:55 AM PDT

ABD. Mutalib Abd. Rahim ( berdiri lima dari kanan) dan Abd. Razak Minhat ( berdiri lima dari kiri) bersama peserta Ekspedisi Menawan Puncak Gunung Ledang di Taman Legenda Gunung Ledang, baru-baru ini.

LEDANG 30 Mac - Keceriaan jelas terpancar pada wajah 42 peserta Ekspedisi Menawan Puncak Gunung Ledang yang berjaya menyempurnakan misi mereka malam kelmarin selepas lebih empat jam pendakian penuh cabaran.

Segala kesukaran dan keperitan mereka menawan puncak Gunung Ledang berketinggian 1,276 meter dari paras laut dengan melalui trek berbatu, gaung dan terpaksa menggunakan tali nyata berbaloi.

Malah kejayaan itu lebih manis apabila mereka disambut dan diraikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat.

Ekspedisi anjuran Pejabat Pendidikan Agama Daerah (PPAD) Ledang dengan kerjasama Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-mukim (JPMM) DUN Serom dan Pertubuhan Nelayan Kawasan (PNK) Ledang bermula serta berakhir di Taman Legenda Gunung Ledang.

Abd. Mutalip dalam ucapan penutupnya berkata, program tersebut unik dan lain daripada biasa kerana menggabungkan warga pendidik, komuniti setempat dan anak nelayan.

"Program ini julung kali diadakan. Sebelum ini apabila mahu menganjurkan program seumpama ini kita banyak bangkitkan perkara negatif. Usaha dakwah perlu diubah bagi memastikan dapat bersama-sama orang muda," katanya.

Pegawai Pendidikan Agama Daerah Ledang, Khalid Ithnin pula berkata, program berkenaan bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat setempat, golongan belia dan persatuan nelayan daerah.

"Hasrat menganjurkan program ini sudah lama dirancang. Program selama tiga hari ini yang acara kemuncaknya mendaki Gunung Ledang turut diisikan dengan beberapa pengisian rohani, antaranya tazkirah, solat berjemaah dan qiamullail," katanya.

Seorang peserta, Mohd. Rohaizat Zainal, 25, wakil belia dari PNK Ledang mengakui gembira dapat bersama-sama menjayakan ekspedisi tersebut walaupun mengalami kesukaran semasa mendaki dan menuruni puncak gunung itu pada waktu malam.

"Pelbagai rintangan dilalui. Saya mendapat luka-luka kecil, tergelincir dan sebagainya, namun tidak mematahkan semangat kami. Kesakitan yang dihadapi hilang apabila masing-masing berjaya menawan puncak gunung ini," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved