Sabtu, 18 Januari 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Klinik desa perlu segera dibaiki

Posted: 17 Jan 2014 09:59 AM PST

Oleh Nursuraya Zulkifli
utusanmelaka@utusan.com.my

Keadaan Klinik Desa Kampung Batang Melaka, Jasin, Melaka yang terbiar dan masih belum dinaik taraf.

JASIN 17 Jan. - Penduduk Kampung Batang Melaka merayu kerajaan negeri membaikpulih semula Klinik Desa yang telah dirobohkan tahun lalu bagi memudahkan mereka mendapatkan rawatan.

Sejak ketiadaan klinik itu, rata-rata penduduk terpaksa ke Selandar yang terletak sejauh 10 kilometer untuk mendapatkan sebarang rawatan di klinik milik kerajaan di situ.

Seorang penduduk, V. Masanam, 53, berkata, sejak klinik desa di kampung itu dirobohkan, orang ramai khususnya berpendapatan rendah dan tidak mempunyai kenderaan menghadapi masalah ingin membuat rawatan.

Menurutnya, kedudukan klinik di Selandar yang jauh menyebabkan penduduk menghadapi kesukaran untuk berulang-alik mendapatkan rawatan biasa, sebarang kes kecemasan dan rawatan susulan.

"Pada mulanya, kami sangat gembira kerana mendapat tahu klinik desa yang telah dirobohkan akan dinaik taraf.

"Tetapi malangnya, setelah dirobohkan sejak setahun lalu tidak ada tanda-tanda klinik itu akan dibaikpulih," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Masanam berkata, ketiadaan klinik itu memberi kesukaran terutamanya bagi warga emas yang uzur dan penduduk yang tidak mempunyai kenderaan untuk bergerak ke klinik di Selandar.

"Kami berharap masalah ini diambil perhatian dan sentiasa menantikan pembaharuan yang dilakukan memandangkan kedudukan kampung ini yang terletak jauh di luar bandar," katanya.

Bagi Sharif Suboh, 40, berharap pembinaan klinik itu dapat dipercepatkan bagi memudahkan penduduk mendapatkan rawatan dan tidak perlu pergi ke Selandar.

Menurutnya, keadaan klinik yang persekitarannya dipenuhi semak samun dan tidak dibersihkan telah mencacatkan pemandangan di kampung berkenaan.

"Kita harap klinik desa ini boleh dibaikpulih dan digunakan oleh penduduk seperti sebelum ini lagi pun klinik kerajaan di Selandar terlalu jauh," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Batang Melaka, Hasan Maadah, 52, berkata, pihaknya sudah memaklumkan perkara itu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Datuk Abdul Ghafaar Atan.

Katanya, ADUN berkenaan akan membawa perkara tersebut ke pihak Kementerian Kesihatan agar klinik yang telah dirobohkan boleh dibaikpulih untuk kegunaan penduduk di situ.

"Ini bagi memberi keselesaan dan memudahkan penduduk mendapatkan perkhidmatan dan rawatan kesihatan di klinik itu," katanya.

PBM tawar bantu usahawan PKS Melaka

Posted: 17 Jan 2014 09:59 AM PST

TIGA penyelidik, (dari kanan) Munira Minhat, Sabrina Md. Kassim dan Aishah Aziz melakukan ujian makmal di Makmal Perbadanan Bioteknologi Melaka di Ayer Keroh, semalam.

MELAKA 17 Jan. - Perbadanan Bioteknologi Melaka (PBM) menawarkan perkhidmatan meningkatkan kualiti produk usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini bagi memastikan produk berkenaan mendapat tempat dalam pasaran domestik dan antarabangsa.

Timbalan Pengarahnya, Tee Mei Ghee berkata, pihaknya melihat banyak produk usahawan PKS tidak melalui proses ujian makmal seperti yang ditetapkan bagi tujuan pelabelan untuk memaparkan maklumat pemakanan setiap produk yang ingin dipasarkan.

Menurutnya, jika produk-produk yang dihasilkan tidak melalui proses ujian makmal, adalah sukar bagi usahawan PKS untuk memasarkan barangan mereka kerana belum dijamin selamat untuk digunakan oleh orang ramai.

''Di PBM kita menawarkan perkhidmatan meningkatkan kualiti produk usahawan PKS melalui ujian makmal dan turut menawarkan khidmat nasihat bagi membolehkan produk yang dihasilkan mendapat tempat di pasaran domestik.

''Kita melihat banyak usahawan PKS kurang mengambil peduli mengenai ujian makmal yang perlu dibuat kerana ini amat penting untuk membolehkan sebarang produk termasuk makanan dijamin selamat untuk kegunaan orang ramai.

''Bukan sahaja untuk usahawan PKS malah PBM turut menawarkan pelbagai perkhidmatan ujian makmal kepada pihak industri melalui sampel makanan, herba, baja, air, kosmetik, ubatan tradisional dan sebagainya," katanya ketika ditemui di ibu pejabat PBM, Ayer Keroh di sini hari ini.

Mei Ghee berkata, PBM ditubuhkan pada 2005 atas polisi Bioteknologi Kebangsaan bertujuan membangunkan industri bioteknologi tempatan dan membantu memberi manfaat kepada orang ramai.

PBM katanya, turut menyediakan empat makmal ujian iaitu makmal halal, kimia dan teknologi makanan, mikrobiologi dan toksikologi.

''PBM menawarkan ujian makmal untuk sebarang produk usahawan PKS serendah RM200 bagi satu produk dan semua pihak boleh menggunakan fasiliti yang kita sediakan di sini," katanya.

Justeru beliau meminta mana-mana usahawan PKS di negeri atau pihak industri untuk menghubungi PBM bagi mendapatkan sebarang khidmat nasihat dan menggunakan fasiliti ujian makmal yang ditawarkan.

Menurutnya, tiga makmal PBM iaitu halal, kimia dan mikrobiologi berjaya memperoleh sijil ISO 17025:2005 akreditasi daripada Standard Malaysia.

Bagi mereka yang berminat boleh menghubungi PBM di talian 06-2313622 atau e-mel: info@mib.gov.my, laman web, www.melbio.com.my atau datang ke pejabat PBM di Lot 7 Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

Dua pasukan penceramah beri penerangan mengenai GST akan diwujud

Posted: 17 Jan 2014 09:59 AM PST

Sebahagian peserta mendengar penerangan Ahmad Maslan pada Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional Peringkat Negeri Sembilan di Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

MELAKA 17 Jan. - Dua pasukan penceramah akan diwujudkan bagi memberi penerangan tentang pelaksanaan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) secara menyeluruh di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, dua pasukan itu terdiri daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Kementerian Kewangan.

Menurutnya, pasukan tersebut dijangka diwujudkan antara satu hingga dua minggu lagi iaitu selepas tamat pelaksanaan Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional di seluruh negeri pada 2 Februari depan.

"Kita tidak mahu sistem pencukaian yang diguna pakai oleh 83 peratus daripada negara dalam dunia ini dimomokkan oleh pembangkang.

"Dengan pelaksanaan GST, pada tahun pertama ekonomi akan mengalami pertumbuhan, iaitu tambahan 0.3 peratus manakala eksport akan bertambah 0.5 peratus.

"Pada tahun pertama juga memang ada sedikit kenaikan harga barang tetapi ini hanya berlaku sekali kerana sistem GST masih baharu kerana 10 peratus cukai jualan itu masih berada dalam kos perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional peringkat negeri yang dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini baru-baru ini.

Ahmad berkata, selepas 10 peratus cukai dibuang daripada kos perniagaan, hanya tinggal enam peratus dan sistem tersebut akan mula stabil begitu juga dengan harga barang.

Katanya, perbandingan pihak pembangkang terhadap peratusan GST yang tinggi antara negara ini dengan Singapura iaitu tiga peratus ketika baru dilaksanakan adalah tidak berasas.

"Saya ingin memaklumkan bahawa cukai yang dilaksanakan Singapura kini adalah tujuh peratus, negara jiran kita banyak yang antara tujuh hingga 10 peratus, Singapura ketika hendak melaksanakan GST tiada cukai jualan dan cukai perkhidmatan.

"Berbanding dengan negara kita yang telah mempunyai lima peratus cukai jualan di mana kebanyakannya 10 peratus dan enam peratus cukai perkhidmatan, takkan kita hendak tukar ke angka yang terlalu rendah sehingga tidak dapat mengumpul hasil," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved