Sabtu, 18 Januari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Kaedah baharu latih kadet bomba

Posted: 18 Jan 2014 11:04 AM PST

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
utusanktn@gmail.com

ABDUL Wahab Mat Yassin (duduk, tengah), Noriza Harun (duduk, empat dari kiri) dan Hashnuddin Hussin (duduk, empat dari kanan) bersama peserta Bengkel Jurulatih Kadet Bomba Siri 1/2014 di Balai Bomba Temerloh, Pahang, semalam.

TEMERLOH 18 Jan. - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang akan memperkenalkan kaedah baharu dalam latihan serta pembelajaran kadet bomba di semua sekolah menengah terlibat bermula tahun ini.

Pengarahnya, Datuk Abdul Wahab Mat Yassin berkata, pengenalan itu penting dalam usaha menarik lebih ramai pelajar menyertai kadet bomba sekali gus menjadikannya pilihan utama mereka dalam aktiviti kokurikulum.

Jelasnya, langkah itu akan memastikan pembelajaran tidak terhad kepada teori dan praktikal di kawasan sekolah sahaja, tetapi melibatkan pendedahan lapangan serta penggunaan infrastruktur peralatan kebombaan sebenar.

"Kita berharap jurulatih dapat mengajar dengan teknik lebih berkesan dan menggalakkan mereka mengadakan program di kawasan balai bomba berhampiran bagi melaksanakan latihan kawad, kelas pengajaran atau aktiviti perkhemahan.

"Selain itu, kita akan membenarkan pelajar dibawa ke lokasi kebakaran menggunakan kenderaan utiliti untuk memberi pendedahan sebenar dan melihat sendiri bagaimana pasukan bomba bertindak dalam operasi pemadaman serta keselamatan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menutup Bengkel Jurulatih Kadet Bomba Siri 1/2014 di Balai Bomba Temerloh di sini hari ini.

Yang turut hadir, Penolong Pengarah (Latihan) JBPM negeri, Noriza Harun dan Ketua Balai Bomba Temerloh, Hashnuddin Hussin.

Seramai 32 peserta daripada 16 balai bomba menyertai bengkel selama tiga hari yang berakhir hari ini.

Menurut Abdul Wahab, melalui kaedah baharu itu pihaknya akan meningkatkan latihan berbentuk kawad, penggunaan pili bomba dan juga jentera bomba bagi memberi pendedahan mengenai teknik operasi jabatan penyelamat itu.

"Kita juga akan mengadakan program lawatan antara balai dan daerah untuk bertukar pengalaman, pengetahuan serta mengeratkan hubungan antara ahli pasukan selain mengadakan perkhemahan peringkat negeri seperti sebelum ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, meskipun sambutan terhadap kadet bomba pada masa ini amat menggalakkan, pihaknya masih mengehadkan sekolah yang terlibat kerana mengalami kekurangan jurulatih.

Katanya, pada masa ini terdapat 50 jurulatih bertanggungjawab melatih kira-kira 10,000 ahli kadet bomba daripada 115 sekolah di negeri ini.

Bomba Pahang juara perarakan Maulidur Rasul

Posted: 18 Jan 2014 11:04 AM PST

ADNAN Yaakob (barisan kedua, tiga dari kiri) dan di kanannya Syed Ibrahim Syed Ahmad bersama para pemenang pertandingan sepanduk tercantik sempena Maulidur Rasul peringkat negeri di Dewan Jubli Perak di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

KUANTAN 18 Jan. - Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang berjaya merangkul gelaran juara bagi kategori jabatan kerajaan dalam pertandingan sepanduk tercantik sempena perarakan sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Dewan Jubli Perak di sini Selasa lalu.

Dalam pertandingan itu, juara kategori swasta menjadi milik Yayasan Pahang manakala kategori sekolah dan institusi pengajian tinggi dimenangi Sekolah Menengah Teknik Kuantan.

Johan bagi ketiga-tiga kategori masing-masing membawa pulang wang tunai bernilai RM2,000 dan sijil penghargaan.

Hadiah disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dengan diiringi oleh Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Bagi tempat kedua pula, Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi kategori agensi kerajaan, Lembaga Hasil Dalam Negeri (swasta) dan Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (sekolah dan institusi pengajian tinggi).

Pemenang tempat kedua membawa pulang wang tunai RM1,500 dan sijil penyertaan.

Tempat ketiga dimenangi Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara Pahang (kerajaan), Imtiyaz Travel and Tour (swasta) dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (sekolah dan institusi pengajian tinggi) dengan membawa pulang wang tunai RM1,000 serta sijil penghargaan.

Seramai 3,000 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta, sekolah dan institusi kerajaan hadir bagi menyertai perarakan yang bermula pada pukul 8 pagi.

Sementara itu menurut Syed Ibrahim, perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul yang diadakan setiap tahun dilaksanakan sebagai memperingati jasa dan perjuangan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

"Sambutan yang dilakukan disemarakkan lagi dengan perarakan yang merupakan sebagai satu simbolik ikatan ukhuwah dan persaudaraan yang erat terjalin dalam kalangan umat Islam.

"Dengan penuh rasa keinsafan dan kecintaan, perarakan turut diiringi dengan selawat dan salam terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

"Saya berharap kita semua dapat bersama-sama berusaha memperkukuhkan persaudaraan dan hidup dalam keadaan aman dan harmoni tanpa mengira pandangan dan fahaman masing-masing," katanya ketika berucap pada majlis itu.

Polis rampas tiga senapang

Posted: 18 Jan 2014 11:04 AM PST

SULAIMAN A. Hamid (dua dari kiri) menunjukkan senapang buatan sendiri yang dirampas daripada penagih dan pengedar dadah dalam sidang akhbar di IPD Maran, Pahang, semalam. - MINGGUAN/SALEHUDIN MAT RASAD

MARAN 18 Jan. - Penahanan seorang pengedar dadah berjaya membongkar rahsianya memiliki tiga laras senapang buatan sendiri dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Huma Luas di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Supritendan Sulaiman A. Hamid berkata, dalam serbuan pukul 1.30 petang itu, polis merampas sebutir peluru berukuran .38, sebuah beg berisi bebola besi pelbagai saiz, tiga telefon bimbit, satu alat penimbang elektronik dan peralatan menghisap dadah.

Katanya, polis turut merampas sejumlah dadah daripada suspek berusia 32 tahun antaranya, satu tiub penyedut minuman dipercayai heroin, satu biji pil yaba, pil Eramin 5 dan tiga peket plastik disyaki syabu.

Tambah beliau, siasatan mendapati suspek yang juga penagih dadah mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Akta Senjata Api 1960.

"Suspek dipercayai membuat senapang menggunakan gas dan bebola besi bagi tujuan bersaing dengan kumpulan pengedar dadah.

"Kita bimbang senapang itu mungkin boleh dijual kepada pihak lain untuk jenayah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran di sini hari ini.

Sulaiman berkata, suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut selain disiasat di bawah Seksyen 39A (2), Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved