Rabu, 25 Disember 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Berderau erat hubungan masyarakat

Posted: 25 Dec 2013 10:02 AM PST

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanktn@gmail.com

kerja-kerja memasak untuk majlis kenduri kahwin anak penduduk di Kampung Kuala Medang, Kuala Lipis turut dilakukan secara bersama, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 25 Dis. - Amalan gotong-royong dalam kalangan orang Melayu di sesetengah kawasan khususnya di kawasan bandar terhakis akibat perubahan sistem nilai masyarakat berikutan ledakan teknologi dan pembangunan.

Namun, senario berkenaan tidak berlaku dalam kalangan penduduk Kampung Kuala Medang, Hulu Jelai di sini apabila amalan itu masih dikekalkan bagi mengeratkan hubungan sesama penduduk di situ.

Boleh dilihat kegiatan itu dibuat dalam majlis kenduri kendara, membuat bubur Asyura, kebersihan dan keceriaan kampung serta kegiatan kemasyarakatan lain.

Amalan itu dilaksanakan bukan sahaja melibatkan penyertaan golongan tua, malahan penduduk dalam kalangan usia remaja dan belia turut melaksanakan kerja mengikut kemahiran serta keupayaan masing-masing.

Terbaru, perkara itu dapat dilihat melalui majlis kenduri perkahwinan anak pasangan penduduk, Marzuki Imam Yahya dan Jahaya Indok, di kampung berkenaan semalam.

Kegiatan itu bermula seminggu lebih awal iaitu tugas mendirikan tempat menghidangkan jamuan tetamu, memasak, menyediakan peralatan, termasuk hiasan pelamin, menyembelih serta menyiang daging sehinggalah majlis berkenaan selesai dengan sempurna.

Ketua Kampung Kuala Medang, Jelai, Ismail Mat Sam, 58, berkata, amalan tersebut adalah sesuatu yang meringankan kerja dan merupakan lambang jati diri orang Melayu sejak turun temurun.

"Di kampung ini, semangat berderau masih subur dan menjadi amalan kerja dalam bidang kemasyarakatan terutama membabitkan kenduri kendara, sambutan acara dalam bulan Islam, urusan kematian dan majlis tertentu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kampung itu semalam.

Menurut Ismail, amalan itu mendidik masyarakat di situ bekerja lebih bersistem mengikut kemahiran dan keupayaan masing-masing malahan memberi peluang anak muda mempelajari bidang tertentu ketika menyelenggarakan majlis kenduri atau acara keramaian.

Pengerusi Gerakan Belia 4B, Ahmad Daniar Ismail, 34, berkata, nilai berkenaan sangat signifikan membentuk sahsiah dan jati diri golongan remaja dan belia untuk mengabdikan diri, tenaga dan sokongan moral terhadap kegiatan di kampung.

"Pembabitan dalam gotong-royong memberi manfaat golongan berkenaan menimba pengetahuan dan kemahiran sesuatu tugas daripada orang tua selaku barisan pelapis kepimpinan di peringkat kampung pada masa akan datang," ujarnya.

Sumbangan dari seluruh negara amat dihargai

Posted: 25 Dec 2013 10:02 AM PST

Suraya Yaacob menyampaikan bantuan daripada Skuad Sukarelawan Kebajikan Kedah kepada Ismail Abd. Muttalib (tengah) di pekan Tajau, Maran, Pahang, baru-baru ini.

MARAN 25 Dis. - Kerajaan negeri amat menghargai sumbangan makanan, kewangan, perabot dan tenaga sukarelawan dari seluruh negara membantu mangsa banjir di beberapa daerah di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, sumbangan dalam pelbagai bentuk itu juga membuktikan keprihatinan tinggi dalam kalangan rakyat tanpa mengira kaum.

Katanya, musibah banjir yang ditanggung penduduk Kuantan, Pekan, Rompin, Maran, Jerantut dan Bera secara langsung menduga keutuhan semangat persaudaraan rakyat dalam membantu saudaranya yang di dalam kesulitan.

''Contohnya, kerajaan negeri Kedah yang bukan sahaja menghantar 40 ahli Skuad Sukarelawan Kebajikan Negeri Kedah diketuai Exco Kerajaan Negeri itu, Datuk Suraya Yaacob, malah mereka turut menyumbangkan 1,000 tilam dan 2,000 bantal kepada mangsa banjir di Chenor.

''Turut dibawa ialah makanan kering berzat, pakaian terpakai dan beberapa barangan keperluan bayi dan wanita,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Penyerahan tilam dan pelbagai barangan keperluan itu disampaikan sendiri Suraya kepada Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abd. Muttalib di pekan Tajau di sini.

Menurut beliau, lebih bermakna sukarelawan ini turut bergotong-royong membersihkan kawasan perumahan di kawasan tersebut serta memasak makanan untuk mangsa banjir.

Katanya, kesudian sukarelawan seperti ini memberi semangat baharu kepada mangsa banjir yang tertekan kerana banyak barangan rosak selain terpaksa bersusah payah membersihkan kediaman mereka selepas air surut.

Sementara itu, Suraya berkata, peluang untuk turun padang membantu mangsa banjir memberi kesempatan untuknya merasai sendiri kesusahan yang dialami mangsa.

''Barangan seperti tilam dan bantal yang disumbangkan sememangnya keperluan penting penduduk terlibat setelah rumah kediaman mereka ditenggelami air," katanya.

RM43j naik taraf jalan Persekutuan

Posted: 25 Dec 2013 10:02 AM PST

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanktn@gmail.com

JERANTUT 25 Dis. - Kerajaan negeri akan memohon peruntukan RM43 juta daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melaksanakan semula projek menaik taraf jalan Persekutuan bermula dari Simpang Jengka 8 ke Sungai Tekam yang terbengkalai sejak enam tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, perkara itu telah dibawa ke peringkat pentadbiran daerah dan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Kita sedang mengusahakan projek ini semula kepada Unit Bahagian Jalan JKR di peringkat Pusat membabitkan peruntukan segera RM43 juta tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas melawat jalan persekutuan lama Jerantut-Maran yang runtuh akibat mendapan tanah di Felda Sungai Tekam di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini tentang permintaan ribuan penduduk yang menggunakan jalan lama Jerantut-Maran supaya pihak bertanggungjawab segera membaik pulih dua kawasan jalan runtuh akibat banjir baru-baru ini.

Runtuhan tanah akibat banjir itu menyebabkan laluan berhampiran Felda Sungai Tekam Getah ditutup kerana tidak selamat untuk dilalui oleh semua jenis kenderaan.

Menurut Ahmad Shukri, sebelum ini, jalan tersebut sudah dibaik pulih tetapi runtuh kerana mendapan tanah akibat banjir baru-baru ini.

Katanya, kerajaan negeri memberi jaminan projek menaik taraf jajaran baharu laluan berkenaan akan direalisasikan demi keselesaan penduduk di kawasan tersebut.

"Saya berharap penduduk dapat menggunakan laluan alternatif yang disediakan kerana kerajaan negeri menerusi JKR akan menyegerakan projek berkenaan tidak lama lagi," ujarnya.

Dalam pada itu, seorang penduduk di Pusat Perkhidmatan Pertanian Tun Razak (PPTR) Tekam, Md. Nasir Abd. Hamid berkata, masyarakat di situ berharap kerajaan negeri dan JKR dapat melaksanakan projek tersebut dengan segera.

"Kejadian mendapan tanah berdekatan Sungai Tekam menimbulkan kesukaran orang ramai untuk berulang alik ke bandar Jerantut dan diharap masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin demi keselesaan penduduk," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved