Rabu, 25 Disember 2013

Utusan Online - Agrobiz


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Agrobiz


Borong rumpai laut kering di Pasar Tanjung Tawau

Posted: 25 Dec 2013 10:02 AM PST

Pasar Tanjung Tawau tidak pernah sunyi dari pengunjung dan merupakan antara destinasi utama pelancong ke Tawau khususnya mereka yang mencari stok makanan kering dan juga jika mahu mendapatkan cenderamata untuk saudara mara dan sahabat handai. Pasar, yang terletak di bandar ketiga terbesar Sabah itu, dibuka pada 1999 dan menempatkan 6,000 buah kedai yang sekaligus menjadikannya pasar tertutup terbesar di Malaysia. - BERNAMA

TAWAU 25 Dis. - Barangkali, Pasar Tanjung Tawau tidak salah jika diumpamakan sebagai syurga hasil laut dan barangan tradisional bagi mereka yang datang membeli-belah.

Pasar, yang terletak di bandar ketiga terbesar Sabah itu, dibuka pada 1999 dan menempatkan 6,000 buah kedai yang sekaligus menjadikannya pasar tertutup terbesar di Malaysia.

Daripada barangan kraf, tikar, periuk belanga, permainan kanak-kanak, sayur segar, pelbagai jenis rempah, hinggalah pelbagai jenis makanan serta kudapan termasuk keropok tradisional amplang yang sangat popular di Sabah boleh didapati di sini.

Bagaimanapun sudah tentulah tidak lengkap jika anda berkunjung ke pasar ini tanpa membeli rumpai laut kering yang kebelakangan ini amat popular sebagai sumber khasiat kolagen untuk kesihatan, kecantikan dan keanjalan kulit.

Pasar Tanjung Tawau dan bandar Tawau khasnya menjadi tumpuan utama aktiviti jual beli rumpai laut kerana terletak berhampiran dengan Semporna, yang menjadi kawasan industri rumpai laut terbesar negara.

Mengenai kebaikan rumpai laut, saintis menganggapnya sebagai makanan pelbagai fungsi yang berpotensi tinggi sebagai agen penambah dalam industri pemakanan halal, kosmetik, produk perubatan, farmaseutikal dan bahan api bio.

Biasanya, rumpai laut dituai untuk mengeluarkan Carrageenan (Karagenan) yang sangat bernilai terutama dalam industri pemakanan sebagai agen pemekat, penstabil dan menghasilkan gelatin halal menggantikan gelatin daripada haiwan seperti khinzir yang banyak diguna untuk membuat kapsul ubat dan vitamin.

Karagenan juga biasanya digunakan dalam makanan jenis tenusu bagi mengekalkan tekstur berkrim seperti dalam aiskrim dan yogurt serta mengekalkan kelembutan dan jus dalam produk daging.

Secara umumnya terdapat tiga jenis rumpai laut kering yang berada di pasaran berdasarkan warna - ungu, keperangan atau kehijauan.

Bagaimanapun menurut seorang penduduk tempatan yang dikenali sebagai Syafiqah, kesemua jenis rumpai laut itu tiada banyak perbezaan.

"Ia masih jenis rumpai laut yang sama dengan perbezaan warna berlaku kerana cara pengeringan yang dilakukan oleh pengusaha.

"Rumpai laut yang dikeringkan di tempat redup dan tertutup akan mengekalkan warna ungu, manakala jika dijemur di bawah sinar matahari, warnanya akan pudar menjadi kuning keperangan," jelas beliau.

Sementara itu, rumpai laut berwarna hijau pula biasanya direndam dalam pewarna semulajadi bagi menjadikan lebih menarik.

Mengenai harga, penjual meletakkan harga RM10 sekilo, manakala di sekitar

"Pasar Filipina Kota Kinabalu pula harganya sekitar RM20 sekilo.

Bagaimanapun, tinjauan di sekitar Lembah Klang mendapati rumpai laut kering berwarna ungu digredkan sebagai kualiti AAA dan dijual pada harga RM35-RM45 bagi setiap 100 gram.

Oleh itu, bagi pelawat ke Tawau pasti berbaloi membeli rumpai laut di pasar berkenaan.

Sementara itu, Sabah yang adalah satu-satunya negeri pengeluar rumpai laut negara dijangka terus meningkatkan pengeluaran tahunan rumpai laut untuk membekalkan permintaan global yang semakin meningkat.

Setakat ini, akuakultur rumpai laut dibangunkan di daerah Semporna sebagai antara Bidang Ekonomi Utama Negara di bawah Program Transformasi Ekonomi, melalui projek mini-estet dua spesies rumpai laut utama.

Dua spesies itu adalah Kappaphycus alverazii dan Euchema spinosom.

Malah kajian Universiti Malaysia Sabah (UMS) misalnya menjangkakan bahawa negeri di bawah bayu itu akan menghasilkan sekurang-kurangnya 150,000 tan metrik rumpai laut terproses berkualiti tinggi bernilai sehingga RM 1.45 bilion menjelang 2020. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved