Ahad, 13 Oktober 2013

Utusan Online - Pendidikan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Sejarah diajar di sekolah rendah

Posted: 13 Oct 2013 12:21 PM PDT

ABDULLAH ABDUL RAHMAN
Guru Besar SK Pasoh 1 (Felda)
Simpang Pertang, Negeri Sembilan

Mata pelajaran Sejarah akan diajar kepada murid-murid tahap dua (tahun 4) sekolah rendah mulai tahun hadapan.

Pengajaran mata pelajaran ini sememangnya dialu-alukan kerana sebelum ini tidak ada mata pelajaran tertentu yang ada elemen sejarah secara khusus diketengahkan untuk murid sekolah rendah dan jika adapun elemen sejarah hanya dalam mata pelajaran Kajian Tempatan.

Walau bagaimanapun unsur sejarah yang diketengahkan dalam mata pelajaran berkenaan lebih kepada sejarah sosial dan budaya masyarakat Malaysia seperti belajar hidup bersama dan bermuafakat.

Dalam era negara mencipta kemajuan khususnya dalam bidang sains dan teknologi, ramai yang khuatir dan bimbang dengan tahap patriotisme serta semangat cinta akan tanah air di kalangan generasi muda yang diharapkan dapat mendokong aspirasi negara.

Dengan cadangan mata pelajaran Sejarah diajar di sekolah rendah pada tahun hadapan ibarat 'pucuk dicita ulam mendatang'.

Sebagai guru saya sangat bersetuju mata pelajaran Sejarah diajar di peringkat rendah dan menengah sekiranya perkara itu mampu menyelesaikan masalah sosial yang melanda masyarakat khususnya anak remaja yang merupakan pewaris dan pemimpin masa depan.

Apa yang penting, sukatan mata pelajaran Sejarah sekolah rendah yang digubal perlu bersesuaian, cocok dan berkesan, bukannya sejarah yang mengandungi fakta yang dimanipulasi oleh Barat.

Di sinilah fokus asal dan matlamat kita memperkenalkan mata pelajaran Sejarah di sekolah rendah iaitu untuk memberi pemahaman dan penghayatan mendalam kepada murid supaya menghayati sejarah sejak awal usia di samping mengenali secara dekat tokoh terbilang yang berjasa kepada negara.

Pendidikan sejarah juga penting dalam usaha melahirkan warga negara yang setia dan cinta akan negara.

Oleh yang demikian, murid perlu diberikan pemahaman mendalam mengenai proses perkembangan masyarakat dan negara.

Kesedaran mendalam mengenai sejarah penting kerana pada masa kini negara melalui pelbagai cabaran serta kejayaan justeru melalui mata pelajaran Sejarah kita dapat mewujudkan kebanggaan serta keperibadian bangsa Malaysia itu sendiri.

Mata pelajaran Sejarah memainkan peranan penting dalam memberikan penekanan kepada unsur kesinambungan dan perubahan yang berlaku dalam kehidupan masyarakat serta negara.

Saya percaya dan yakin sejarah yang diajar nanti bukan sekadar untuk tujuan peperiksaan semata-mata malah lebih penting daripada itu adalah menanam rasa hormat, persefahaman dan toleransi rakyat pelbagai kaum.

Di samping itu, pengajaran sejarah diharap dapat menyedarkan mereka betapa sejarah dan asal-usul sesuatu bangsa tidak wajar diperlekehkan atau dipermudahkan demi keharmonian dan perpaduan kaum.

Mungkin juga kita mengharapkan pada peringkat sekolah rendah, mata pelajaran Sejarah tidak perlu disibukkan dengan tujuan peperiksaan yang memerlukan murid menghafal fakta dan tarikh tertentu untuk mendapat markah tinggi.

Oleh sebab mata pelajaran Sejarah baru diperkenalkan, kita mengharapkan mata pelajaran itu diajar dengan cara paling menyeronokkan dan menghiburkan.

Janganlah sampai mata pelajaran Sejarah menjadi bebanan hingga menyebabkan hilang minat dan keyakinan untuk mereka mempelajari sejarah semasa di peringkat menengah nanti.

Mengasah kemahiran tulis berita

Posted: 13 Oct 2013 12:21 PM PDT

Peserta bengkel e-Pengarang Utusan Malaysia bergambar kenangan selepas tamat program itu di SK Ramuan China Besar dekat Masjid Tanah, Melaka baru-baru ini.

SEKOLAH Kebangsaan (SK) Ramuan China Besar menjadi sekolah pertama yang mengambil inisiatif menubuhkan Kelab e-Pengarang anjuran Unit Pendidikan Utusan Malaysia untuk menggalakkan murid menajamkan kemahiran penulisan mereka.

Menurut Guru Penyelaras Program itu, Ahmad Nor Khusairi Jamali, penubuhan kelab dan bengkel yang diadakan berjaya memberikan gambaran kepada peserta mengenai kehebatan dan cabaran kerjaya wartawan.

"Latihan amali seperti menemu bual, merakam gambar dan menulis berita menjelaskan kepada peserta mengenai kemahiran-kemahiran yang perlu mereka kuasai dalam proses penghasilan berita," katanya selepas tamat program itu di sekolahnya dekat Masjid Tanah, Melaka baru-baru ini.

Sebanyak 20 murid tahap dua mengikuti program yang mula diperkenalkan bulan lalu itu untuk membolehkan mereka memahami tugas seorang pengarang yang bersifat 360 darjah dalam sesuatu organisasi penerbitan.

Program berbentuk bengkel penulisan berita selama empat jam itu dikendalikan oleh Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim bersama penolongnya, Azmy Mohamed dan wartawan pendidikan, Norizan Abdul Muhid.

Pada akhir program, peserta diberi sijil penyertaan Kelab e-Pengarang Utusan Malaysia yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Paya Lebar Ramuan China Besar, Yaaman Yusoff.

Bagi Yaaman, pihaknya amat menghargai komitmen dan keprihatinan akhbar Utusan Malaysia bekerjasama dengan SK Ramuan China Besar dalam menganjurkan program tersebut.

"Usaha ini secara tidak langsung membantu mengetengahkan bakat penulisan di kalangan murid melalui ilmu serta kemahiran baharu yang dipelajari semasa bengkel," ucapnya.

Sementara itu, peserta program, Muhd. Balqis Mohd. Nadzley, 10, memberitahu, dia teruja kerana berpeluang mempelajari teknik mengedit foto mengikut keperluan akhbar.

Rakannya, Aina Athirah Azizul, 11, berkata, bengkel itu memberi murid peluang serta ruang mengarang berita aktiviti dan pencapaian sekolah untuk disiarkan di akhbar.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved