Ahad, 13 Oktober 2013

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


10 kes ragut Dungun selesai

Posted: 13 Oct 2013 12:21 PM PDT

Oleh SITI AIRUNISSA ALAUI
utusanganu@utusan.com.my

Ahmad Zailani Yaacub (tengah) menunjukkan barang yang dirampas daripada seorang suspek kes ragut yang ditangkap dalam sidang akhbar di IPD Dungun, Terengganu, semalam.

DUNGUN 13 Okt. - Tindakan seorang peragut menyimpan hasil kegiatan jenayah ternyata membawa padah apabila memudahkan pihak polis menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes ragut di sekitar bandar ini sejak Ogos lalu.

Suspek berusia 27 tahun dan tidak bekerja ditahan kira-kira pukul 3.30 petang Jumaat lalu di Kampung Alor Tembesu ketika menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Ahmad Zailani Yaacub memberitahu, setelah diperiksa, polis menemui dompet dan dua unit telefon bimbit bersama suspek.

"Siasatan lanjut membawa kepada penemuan sebuah kotak mengandungi beberapa beg tangan wanita, dompet, telefon bimbit dan dokumen peribadi milik mangsa ragut di bawah rumah suspek," katanya ketika ditemui hari ini.

Menurut Ahmad Zailani, suspek turut mengaku melakukan jenayah itu dengan menyasarkan wanita yang menunggang bersendirian dan meletakkan beg tangan dalam bakul motosikal.

"Selain itu, suspek turut bertindak nekad dengan meragut pejalan kaki termasuk di lokasi tumpuan ramai," katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 397 Kanun Keseksaan dan suspek yang disahkan positif dadah ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Sementara itu, menurut Ahmad Zailani, pihaknya berjaya mematahkan kegiatan pecah masuk dua buah tadika di Ketengah Jaya dekat sini yang berlaku pada 28 September dan 9 Oktober lalu selepas menahan seorang lelaki berusia 23 tahun Khamis lalu.

"Suspek ditahan di rumahnya di Felda Kerteh 4 dan polis berjaya menemukan semula sebuah projektor dan alat pemain cakera video digital yang dicuri dari kedua-dua tadika berkenaan," katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan suspek kini ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

Rumah MB Perlis terbakar

Posted: 13 Oct 2013 12:21 PM PDT

Oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR dan SHOLINA OSMAN
pengarang@utusan.com.my

kuarters kerajaan yang didiami keluarga Azlan Man musnah terbakar di Jalan Negeri Sembilan Selatan, Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Empat ahli keluarga Menteri Besar Perlis, Azlan Man terselamat walaupun banglo dua tingkat yang dihuni mereka di Jalan Negeri Sembilan Selatan, Bukit Persekutuan di sini terbakar malam tadi.

Kebakaran dipercayai bermula pukul 10.30 malam sehingga memusnahkan keseluruhan tingkat atas banglo kuarters kerajaan dua tingkat itu.

Difahamkan ketika kejadian, Azlan berada di Perlis manakala isteri dan anak-anaknya tiada di rumah kerana dalam perjalanan ke Kangar. Ahli keluarga beliau yang berada di rumah ketika itu ialah anak saudara serta pembantu rumah.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Zahari Mohamad, punca kebakaran masih disiasat namun dipercayai kebakaran berpunca daripada puntung rokok atau mancis yang digunakan salah seorang ahli keluarga di rumah tersebut.

"Kebakaran itu memusnahkan hampir 60 peratus daripada rumah banglo dua tingkat itu kerana struktur bangunan dan lantai yang diperbuat daripada papan.

"Sebanyak lima buah jentera melibatkan 57 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah, Seputeh, Sentul, Pantai dan Taman Tun Dr. Ismail terlibat memadamkan kebakaran rumah ini," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Menurut Zahari, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada pukul 10.43 malam dan mengambil masa kira-kira sejam untuk memadamkan api.

Menurutnya, kesemua mangsa tidak mengalami kecederaan dan pihaknya masih menyiasat motif sebenar kebakaran dan jumlah kerugian yang dialami.

Sementara itu di KANGAR, Azlan berkata, kesibukan tugas menyebabkan beliau sehingga kini belum dapat melihat keadaan rumahnya yang terbakar.

Beliau juga tidak dapat menentukan bila beliau akan kembali ke ibu negara untuk melihat keadaan rumahnya itu yang diduduki sejak bertugas sebagai penjawat awam.

"Saya menyerahkan kepada isteri dan anak-anak untuk memeriksa keadaan rumah saya kerana banyak juga dokumen penting yang terbakar," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian elaun Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Dewan Warisan hari ini.

Azlan berkata, beliau bersyukur kerana sekali pun rumahnya terbakar tetapi tiada kecederaan dilaporkan.

"Semasa kejadian, isteri saya dan anak-anak dalam perjalanan balik ke Kangar. Mereka kemudian terpaksa berpatah balik setelah dimaklumkan mengenai kebakaran tersebut," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved