Sabtu, 26 Oktober 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Kerajaan bantu mangsa banjir kilat

Posted: 26 Oct 2013 12:01 PM PDT

Oleh SYAH HAIRIZAL KAMALUL ARIFINutusanpahang@utusan.com.my

KUANTAN 26 Okt. - Sebanyak 20 keluarga yang terlibat dalam banjir kilat di Lembah Bertam, Cameron Highlands Rabu lalu akan menerima bantuan sebanyak RM3,000 setiap keluarga melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, selain itu, keluarga terbabit juga akan menerima sumbangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300.

Katanya, kesemua keluarga berkenaan turut diberikan tempat tinggal baharu di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dibangunkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil dan Perusahaan Getah (RISDA).

"Sebanyak 12 rumah di bawak projek PPRT itu telah siap dibina dan hanya menunggu masa untuk diduduki, kediaman itu akan diberikan kepada 12 keluarga mangsa terbabit dengan bencana.

"Baki lapan keluarga lagi akan diusahakan kerajaan negeri untuk pemindahan mereka di kawasan berhampiran," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Beliau memberitahu, banjir kilat yang meragut tiga nyawa itu berpunca daripada masalah lumpur yang mendap di dalam takungan Empangan Hidro Elektrik Sultan Abu Bakar di Cameron Highlands.

"Saya tidak menolak kemungkinan punca lain kejadian itu adalah daripada kegiatan penerokaan secara berleluasa terhadap hutan yang berdekatan empangan tersebut," ujarnya.

Beliau juga bersetuju dengan kenyataan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mahukan penguatkuasaan ke atas aktiviti kebersihan dipantau dengan lebih ketat.

Katanya, sikap masyarakat yang tidak mengambil berat soal kebersihan alam sekitar dengan membuang sampah sesuka hati ke dalam saliran air turut menyumbang kepada bencana itu.

"Kejadian yang berlaku di Cameron Highlands hampir sama berlaku di Kuantan akhir tahun lalu disebabkan sikap masyarakat yang membuang sampah di saliran air.

"Jika sikap begini tidak berubah, saya percaya kejadian serupa akan berulang," ujarnya.

Pahang pantau keselamatan penuntut di Mesir

Posted: 26 Oct 2013 12:01 PM PDT

Penuntut baharu dan lama yang akan melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar di Mesir menunjukkan sumbangan wang saku tajaan Amanah Saham Pahang (ASPA) yang diterima mereka di Kuantan, semalam. - MINGGUAN/MAHATHIR ALI

KUANTAN 26 Okt. - Kerajaan negeri bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kedutaan Malaysia di Kaherah, Mesir dalam memantau keselamatan para penuntut negeri ini yang melanjutkan pengajian ke negara tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas negeri, Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, langkah itu diambil supaya mereka dapat mengikuti pengajian dengan selesa serta tidak terpengaruh dengan situasi yang berlaku di negara berkenaan ketika ini.

Menurutnya, kerajaan juga tidak menghalang penuntut terbabit sama ada yang baharu atau lama melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar atau mana-mana universiti di negara itu asalkan mereka memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pengajian masing-masing.

"Perkara ini sudah dipersetujui sebelum ini dan kerajaan negeri bersikap terbuka dalam hal tersebut.

"Kita tidak akan menghalang mereka dan terpulang jika ingin meneruskan niat untuk ke negara berkenaan. Bergantung kepada mereka dan persetujuan ibu bapa masing-masing dan kita tiada masalah kalau penuntut terbabit mahu meneruskan pengajian di sana," katanya selepas mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob pada majlis penyampaian wang saku kepada penuntut Pahang ke Mesir di Wisma Belia di sini hari ini.

Yang turut hadir Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman.

Seramai 188 penuntut menerima wang saku sebanyak RM1,000 setiap serang sumbangan Amanah Saham Pahang (Aspa).

Syed Ibrahim berkata, pihaknya sentiasa mengambil maklum perkembangan semasa yang berlaku dengan mendapatkan maklumat terkini daripada pejabat Kedutaan Malaysia di Mesir.

Pada majlis tersebut, beliau menasihati para penuntut supaya tidak terpengaruh dengan fahaman Syiah atau fahaman yang menyeleweng daripada agama Islam sepanjang berada di negara tersebut.

Menurutnya, mereka juga perlu bijak membuat pilihan dan tidak terpengaruh dengan sebarang perkembangan konflik yang berlaku di sana.

"Penerangan sudah diberikan dan mereka diingatkan supaya fokus terhadap pengajian dan jangan masuk campur dalam apa juga yang berlaku di negara itu," ujarnya.

Polis Raub tahan 3 penjenayah

Posted: 26 Oct 2013 12:01 PM PDT

RAUB 26 Okt. - Polis percaya dapat menyelesaikan kes pecah rumah termasuk kes curi kereta yang berlaku kelmarin selepas menahan tiga lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Bukit Koman awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Wan Mohd. Samsudin Wan Osman berkata, ketiga-tiga mereka yang berusia antara 30 hingga 40 tahun terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan turut memiliki rekod jenayah.

Beliau berkata, dalam serbuan pukul 2 pagi itu sebuah kereta Proton Wira yang digunakan mereka dikesan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Semakan nombor casis dan enjin kereta tersebut mendapati kenderaan itu dicuri di Kepong, Selangor sebelum ini," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Menurut beliau, hasil soal siasat mendapati salah seorang suspek mengaku terlibat dalam kes pecah rumah dan curi kereta di Taman Raub Jaya 3 kelmarin bersama lagi tiga rakannya yang lain dari Kuala Lumpur.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, polis berjaya merampas wang tunai bernilai RM1,430 bersama dua kunci kenderaan yang dicuri termasuk salah sebuah kereta Toyota Vios milik mangsa.

Beliau memberitahu, ketiga-tiga penjenayah itu juga didapati positif mengambil dadah berdasarkan ujian saringan air kencing.

Kesemua suspek direman sehingga 28 Oktober ini dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved