Jumaat, 13 September 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


13 dijel dua tahun, denda RM5,000

Posted: 13 Sep 2013 11:52 AM PDT

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my

SEBAHAGIAN daripada 13 individu yang dikenakan hukuman dua tahun penjara dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, semalam.

KUALA KANGSAR 13 Sept. - Tiga belas individu termasuk seorang ibu tunggal masing-masing dihukum penjara dua tahun dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini setelah didapati bersalah menyertai perhimpunan haram di hadapan Masjid Ubudiah, Bukit Chandan semasa majlis angkat sumpah Menteri Besar Perak, lima tahun lalu.

Hakim Norsalha Hamzah yang memerintahkan hukuman tersebut berkuat kuasa hari ini turut mengarahkan tempoh pemenjaraan kesemua tertuduh ditambah lima bulan lagi jika gagal membayar denda.

Beliau membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes berkenaan.

"Kes ini melibatkan kepentingan institusi diraja. Hukuman ini sebagai pengajaran kepada masyarakat dan pada pendapat saya ia satu kesalahan serius," kata beliau.

Ketegasan Norsalha terserlah apabila beliau tidak membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menggantung pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Kesemua tertuduh termasuk ibu tunggal yang juga bekas pekerja am Masjid Ubudiah, Suhana Abdullah, 49, dilihat tergamam dan hanya mendiamkan diri semasa keputusan itu dibacakan ke atas mereka.

Beberapa wanita dipercayai anggota keluarga tertuduh yang berada di galeri awam juga dilihat menangis sambil bercakap antara satu sama lain.

Sebaik sahaja prosiding selesai, kesemua tertuduh di hantar ke Penjara Tapah dekat sini.

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang berada di galeri awam semasa permulaan prosiding juga dilihat meninggalkan kompleks mahkamah sebelum keputusan perbicaraan selesai dibacakan Norsalha.

Selain Suhana, tertuduh-tertuduh lain ialah Bad Latif Mansor, 47, Meor Safizal Meor Mohamed Amin, 38, Mohd. Faiz Mohd. Arshad, 26, Zulhaizam Zulkifli, 29, dan Isha Riduan Ishak, 59.

Yang turut didakwa ialah Adi Hilmee Mohd. Nasir, 44, Yusoff Jaafar, 48, Idris Mohd. Thaib, Nazir Hamid, Mohd. Hasri Ismail, dan Mohamed Ismail, 47.

Kesemua mereka didakwa menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang iaitu menentang satu proses perundangan upacara pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak di bawah Perkara XV1(2)(a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Mereka didakwa telah melakukan kesalahan tersebut selepas solat Jumaat, 6 Februari 2009 di Jalan Istana, Bukit Chandan di sini.

Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kekecohan yang berlaku di Jalan Bukit Chandan, laluan utama ke Istana Iskandariah itu dilakukan penyokong Pakatan Rakyat dipercayai untuk menghalang kenderaan orang kenamaan termasuk kereta dinaiki kerabat diraja Perak menghadiri majlis angkat sumpah Menteri Besar baharu, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang menggantikan Mohd. Nizar.

Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd. Daud mengendalikan pendakwaan manakala kesemua tertuduh diwakili lapan peguam yang diketuai oleh Augustine Anthony.

Keadaan juga menjadi kecoh seketika sebelum dan selepas prosiding kes itu selesai apabila kira-kira 20 penyokong yang turut hadir melaungkan takbir.

Bersih 3.0: Lelaki dipenjara setahun dan denda

Posted: 13 Sep 2013 11:52 AM PDT

KUALA LUMPUR 13 Sept. - Seorang lelaki dihukum penjara setahun dan denda RM5,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati bersalah atas tiga pertuduhan termasuk mencederakan seorang wartawan stesen TV AlHijrah semasa perhimpunan Bersih 3.0, tahun lalu.

Hakim Mahmud Abdullah memutuskan demikian setelah pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap Mohd. Safuan Mamat @ Nordin, 26, di akhir kes pembelaan.

Beliau memerintahkan bagi pertuduhan pertama, lelaki yang bekerja sebagai penoreh getah itu dihukum penjara setahun dan denda RM3,000 manakala pertuduhan kedua, dia dipenjara tiga bulan dan denda RM2,000.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh dihukum penjara sebulan dan denda RM500.

Beliau turut memerintahkan hukuman itu dilaksanakan serentak bermula hari ini dan tambahan penjara enam bulan lagi jika tertuduh gagal membayar denda tersebut.

Mohd. Safuan didapati bersalah atas tuduhan merosakkan kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan kon semasa mengambil bahagian dalam rusuhan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini pada pukul 3.50 petang, 28 April 2012.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Haffiza Jemali mengikut Seksyen 440 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda.

Dia juga didapati bersalah menggunakan kekerasan dengan mendatangkan kecederaan terhadap Konstabel Mohamad Kamil Paiman ketika perhimpunan itu di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dia turut didapati bersalah menyebabkan kecederaan terhadap wartawan stesen TV AlHijrah, Mohd. Azri Mohd. Salleh, 29, di tempat masa dan tarikh sama sama.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, Mohd. Safuan yang diwakili peguam, Dr. Zulqarnain Lokman memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya secara sukarela telah menyerah diri kepada pihak polis walaupun semasa kejadian banyak individu lain yang terlibat.

Katanya, anak guamnya yang hanya berpendapatan RM500 sebulan tidak pernah gagal menghadiri perbicaraan walaupun terpaksa berulang alik dari Terengganu.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh untuk mengantung hukuman tersebut dengan menambah jumlah jaminan daripada RM1,000 kepada RM9,000.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved