Jumaat, 13 September 2013

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Op Cantas: Polis tahan 18 individu di Pulau Pinang

Posted: 13 Sep 2013 09:20 PM PDT

PULAU PINANG 14 Sept. - Polis menahan 18 individu dalam Op Cantas yang dilakukan di lima premis hiburan di negeri ini malam tadi.

Dalam operasi lebih tujuh jam itu, empat lelaki yang dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap turut diberkas selain polis turut merampas tiga batang rotan dan tiga cota yang dipercayai akan digunakan untuk pergaduhan.

Seramai lebih 200 orang pengunjung pusat hiburan turut diperiksa. - UTUSAN ONLINE

30 anak kapal Taiwan diselamatkan

Posted: 13 Sep 2013 11:52 AM PDT

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

SEBAHAGIAN daripada anak kapal Taiwan Jin-Shan-Mei yang diselamatkan sambil diperhatikan oleh Abdul Razak Johan (tiga dari kiri) sebaik tiba di pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Lumut, Perak, semalam.

LUMUT 13 Sept. - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menyelamatkan 30 anak kapal Taiwan Jin-Shan-Mei yang karam di perairan sempadan antarabangsa Malaysia dan Indonesia, dipercayai dilanggar lari oleh sebuah kapal dagang bermuatan bahan api, kira-kira 18 batu nautika (33.3 kilometer) dari Pulau Jarak awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.05 tengah malam, sebahagian besar anak kapal berkenaan yang merupakan warga asing dalam perjalanan dari Cape Town, Afrika Selatan menuju ke Singapura bagi memunggah hasil perikanan termasuk ikan tuna.

Kesemua nelayan tersebut yang berumur antara 23 hingga 45 tahun itu terdiri daripada lima warga Korea, Filipina (5), China (11), Vietnam (4), Indonesia (4) dan seorang warga Taiwan yang juga merupakan pemerhati di Jabatan Perikanan negara itu.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim 3 Perak, Kapten Maritim Abdul Razak Johan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pusat kawalan maritim Langkawi yang memaklumkan bahawa kapal sepanjang 42 meter dan lapan meter lebar itu dilaporkan tenggelam selepas dilanggar sebuah kapal dagang yang tidak dikenal pasti.

Beliau berkata, sebaik sahaja menerima maklumat, pihaknya melancarkan operasi mencari dan menyelamat pada pukul 12.30 pagi dengan mengarahkan Kapal Maritim (KM) Tugau ke lokasi kejadian yang disertai oleh 10 anggota.

"Kita juga telah menghubungi kapal-kapal yang berada di sekitar lokasi kejadian untuk membantu anak kapal tersebut. Kebetulan satu kapal dagang APL Illinios yang sedang belayar dari India ke Singapura, memberi maklum balas dan menyelamatkan mereka.

"Keadaan laut bergelora menyebabkan KM Tugau tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 3 pagi. Mereka kemudiannya memindahkan kesemua anak kapal Jin-Shan-Mei ke jeti Kastam Kampung Acheh," katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Abdul Razak turut mengesahkan tiada sebarang laporan kematian mahupun kecederaan diterima kerana kesemua anak kapal itu dibawa menaiki rakit keselamatan sebelum diselamatkan oleh kapal dagang APL-Illinois.

"Kejadian seumpama ini merupakan kali kedua yang berlaku di wilayah Utara sepanjang Selat Melaka sejak tahun 2007. Kali pertama berlaku adalah pada 2010 dan sebanyak lima awak-awak berjaya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan.

"Kita akan menghantar kesemua anak kapal Jin-Shan-Mei kepada ejen mereka termasuk pihak imigresen bagi memudahkan penghantaran pulang ke negara masing-masing selain melaporkan insiden ini ke Jabatan Laut," katanya.

Sementara itu, seorang nelayan warga Indonesia, Abdul Roman, 24, dari Jawa Tengah mendakwa, sewaktu kejadian dia sedang tidur sebelum dikejutkan oleh rakan-rakannya yang panik dengan pelanggaran yang berlaku dalam keadaan gelap, kira-kira pukul 10.40 malam.

"Saya sudah bekerja selama dua tahun dan pada perjalanan kali ini, kami belayar selama enam bulan. Kami dari Cape Town kemudian ke Uruguay dan seterusnya ke Singapura untuk memunggah ikan dalam muatan yang sudah penuh, sebelum pulang ke Taiwan.

"Semua orang panik apabila terbau gas ammonia kerana saluran sistem penyejuk sudah pecah. Terdapat hanya dua rakit keselamatan, satu daripadanya dinaiki oleh 20 orang bersama beg pakaian sementara satu rakit lagi dinaiki sebanyak 10 orang. Kami berhimpit-himpit kira-kira enam jam sebelum menerima bantuan," katanya.

Seorang lagi nelayan dari Indonesia, Danny Bambang Sitiawan, 23, dari Jawa Timur berkata, sewaktu kejadian, dia sedang duduk berehat sambil membuka jendela kapal.

Tiba-tiba dia ternampak satu kapal menghimpit mereka sebelum berlaku pelanggaran sehingga menyebabkan air naik, sekali gus mengakibatkan kapal Jin-Shan-Mei tenggelam tidak sampai dalam tempoh masa dua jam.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved