Jumaat, 26 Julai 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Kuala Besut: Pas patut cermin diri!

Posted: 26 Jul 2013 12:22 PM PDT

Oleh Zulkifli Jalil

Seorang penyokong Pas memakai penutup hidung yang tertera Pas for All yang berlatar belakangkan poster calon dan bendera Barisan Nasional pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil N01 Kuala Besut, Terengganu, di Sekolah Kebangsaan Nail, pada 24 Julai lalu. - Utusan/Irwan Majid

IMPIAN pakatan pembangkang untuk menguasai Kuala Besut memang menggunung tinggi. Kata ketuanya, Anwar Ibrahim beberapa hari lepas, sejarah politik Terengganu akan berubah sekiranya calon Pas menang.

Katanya, kalau kerusi itu beralih arah, baharulah kerajaan Pusat terpinga-pinga, seterusnya akan pasti memberikan sepenuh perhatian kepada rakyat Terengganu.

Hasrat menggunung itu diperkuatkan lagi dengan kenyataan Naib Presiden Pas, Mahfuz Omar bahawa Kuala Besut boleh mencipta rekod dunia jika berlaku perubahan yang memihak pembangkang.

Keinginan mencanak Pas untuk menakluki DUN Kuala Besut membawa kepada beberapa perbuatan provokasi, antaranya sehingga penyokong mereka sanggup mengedar risalah tertera rayuan Realisasikan semangat Melayu Bersatu, UMNO & Pas, inilah masanya 16:16." Walaupun di bawah helaian risalah itu terpampang logo empat pertubuhan, Perkasa, MBM, GPMS dan Pekida kononnya sebagai penaja gerak saraf itu, namun semua maklum itu adalah muslihat kader-kader pembangkang.

Apa akan terjadi seandainya BN kalah di Kuala Besut kelmarin? Walaupun Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengatakan pihaknya tidak akan menuntut atau berebut jawatan Menteri Besar, namun sebaliknya cakap-cakap dalam kalangan penyokong mereka memang terang lagi bersuluh mahukan jawatan itu. Antaranya, dengan posisi 16:16, maka kemungkinan akan melibatkan juga campur tangan Sultan Terengganu.

Kata mereka, walaupun DUN tetap kekal dikuasai BN kerana parti kerajaan ada satu undi lagi iaitu Speaker lantikan BN, namun mereka tetap masih boleh mencabarnya. Jika Pas menang di Kuala Besut dan kemudian membuat usul undi tidak percaya kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, maka apa yang akan berlaku ketika itu?

Barangkalilah, sejarah Sidang DUN Perak di bawah pokok seperti yang berlaku pada 3 Mac 2009 boleh berulang kerana pembangkang boleh melakukan tindakan-tindakan yang di luar jangkaan.

Pembangkang boleh melakukan tindakan di luar dugaan untuk menarik perhatian rakyat. Walaupun perkara-perkara seumpama itu sepatutnya tidak perlu dilakukan tetapi tidak mustahil dilakukan oleh pembangkang.

Contoh terbaharu, demonstrasi Blackout 505 - itu juga salah satu cara mereka untuk mengalih perhatian rakyat dan membentuk kebencian rakyat kepada kerajaan.

Namun, malam 24 Julai lalu, kenyataannya di Kuala Besut memihak kepada BN. Ini apabila calon BN,

Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman meraih majoriti 2,592 undi, lebih tinggi berbanding 2,343 pada Mei lalu. Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman memperoleh 8,288 manakala lawannya dari Pas, Endot @ Azlan Yusof mendapat 5,696 undi.

Sejumlah 79.78 peratus atau 14,108 orang daripada 17,683 pengundi di kawasan DUN Kuala Besut menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam pilihan raya kecil kawasan itu.

Dan mahu tak mahu Pas mesti terima hakikatnya bahawa parti itu tidak boleh pandang mudah kepada kekuatan UMNO.

Kalaupun dihidu dari peringkat awal lagi, kekalahan Pas di Kuala Besut memang telah dijangkakan. Perkara ini terang-terangan yang mana semua pihak percaya jangkaan ini.

Jentera Pas sendiri seakan-akan tidak bermaya.

Tidak seperti beberapa siri pilihan raya kecil yang berlangsung sebelum ini yang jelas menampakkan kesungguhan jentera dan petugas parti itu bersemuka dengan jentera dari BN, elemen ini tidak pula berlaku di Kuala Besut.

Kain rentang dan bendera Pas tidak banyak kelihatan berbanding suasana yang bertambah biru didominasi BN. Kumpulan ulama dan jentera muslimah seperti membawa haluan sendiri.

Dikatakan calon pilihan Naib Presiden Pas, Husam Musa itu sendiri berdepan sabotaj parti.

Ramai di Kuala Besut sudah mengagak perkara ini apatah lagi kelibat Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut juga langsung tidak kelihatan membantu jentera parti.

Dipercayai ini ada kaitan dengan rasa tidak puas hati mereka dengan tindakan kepimpinan Pas Pusat yang menolak mentah-mentah calon yang dikemukakan oleh Pas negeri dan kawasan.

Kerana itulah dikatakan Pas Pusat terpaksa membawa Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berusia 82 tahun turun padang membantu jentera meskipun beliau sendiri dalam keadaan cukup uzur.

Sepanduk-sepanduk serta poster yang dinaikkan oleh Pas untuk memburukkan UMNO dan BN hanya menjatuhkan imej Pas di mata penduduk Kuala Besut. Taktik menjanjikan pengundi berusia 21 tahun ke atas dengan petrol untuk motosikal secara percuma di saat-saat akhir juga telah memalit persepsi tidak baik penyokong Pas sendiri terhadap parti itu. Malah, kelibat pelajar-pelajar universiti terutama dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, juga tidak banyak membantu.

Pas bergerak bersendirian tanpa DAP yang akur dengan pengundi Cina di Kuala Besut - cuma berjumlah 148 orang manakala India cuma empat orang.

Namun ini sepatutnya tidak menggugat kewibawaan Pas yang memang cekap mempraktiskan syurga neraka, pahala dosa untuk kepentingan mereka.

Pas wajar akui hakikat mereka gagal dalam pilihan raya kecil pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-13.

Tidak perlu bicara pasal undi popular, yang nyata Pas sewajarnya akur pakatan parti itu dengan DAP dan PKR banyak memalitkan imej tidak elok untuk mereka.

Dengan PRU-13 menyaksikan beberapa pemimpin Pas tewas termasuklah Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub, Haron Din selain Mahfuz, yang tidak kalah tetapi kehilangan Kedah selain Nik Abdul Aziz sendiri yang kian terpinggir, Pas kena mencongak masa depan parti sendiri.

Kemenangan UMNO di Kuala Besut memastikan kestabilan politik negeri terjamin.

Memanjatkan syukur! Sidang DUN di bawah pokok tidak berulang di negeri itu.

Ambil tahu bahaya penyebaran ajaran Syiah di Malaysia

Posted: 26 Jul 2013 12:22 PM PDT

Oleh Azman Anuar

PENYEBARAN ajaran sesat Syiah bukan isu baharu. Kita sudah mendengar kesesatan ajaran itu pada tahun 1990-an lagi.

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996 pun telah memutuskan ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam.

Sebab itu beberapa kali, Majlis Fatwa Kebangsaan mengingatkan sebarang bentuk penyebaran Syiah atau ajaran agama lain daripada ajaran Islam mengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini adalah dilarang.

Baru-baru ini Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengisytiharkan sebuah pertubuhan bernama Pertubuhan Syiah Malaysia sebagai haram berkuat kuasa serta-merta mengikut Seksyen 5 (1), Akta Pertubuhan 1966 kerana mencetuskan keresahan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Syabas diucapkan kepada kepimpinan KDN yang baru ini. Pihak berkuasa agama negeri khasnya, kenalah bertindak tegas terhadap penganut fahaman Syiah ini. Kita kena bendung pengembangan Syiah di negara ini sebelum terlewat.

Kesan buruk ajaran ini dapat kita lihat pada konflik yang wujud antara puak Syiah dan Sunni di Iraq, Pakistan dan beberapa negara Arab. Mereka saling bermusuhan dan berbunuhan. Apakah kita harus membiarkan gejala ini meresap masuk dan mempengaruhi umat Melayu dan Islam di Malaysia?

Kita sedar, sejak fatwa penyelewengan itu dikeluarkan, belum nampak satu tindakan tegas dan berani diambil terhadap individu yang dilihat cuba menyebarkan dakyah ajaran Syiah itu.

Hakikatnya, memang bukan mudah untuk pihak berkuasa dan jabatan agama mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas sebarang aktiviti penyebaran fahaman itu. Punca halangan itu ialah terdapat beberapa negeri belum mewartakan enakmen berhubung isu Syiah berkenaan.

Sebab itu gesaan supaya setiap negeri yang belum mewartakan fatwa menyekat penyebaran syiah tersebut perlu dilaksanakan segera. Ia bertujuan bagi membolehkan penguatkuasaan dapat dilaksana secara menyeluruh.

Kita kena faham kenapa Syiah tidak boleh disebar di Malaysia. Syiah bukan ajaran Islam, jadi statusnya sama seperti agama-agama lain di negara ini. Oleh itu pengikut Syiah boleh mengamalkan ajaran mereka tetapi dilarang sama sekali mengembangkan atau menyebarkan fahaman tersebut kepada umat Islam yang majoritinya mengikut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Pengaruh ajaran sesat Syiah dilaporkan semakin berkembang di negara ini berdasarkan bilangan ahli pertubuhan tersebut.

Hal ini menjadi lebih membimbangkan apabila ada dakwaan beberapa tokoh politik tertentu terlibat sebagai penganut dan pihak yang bertanggungjawab dalam menyebarkan fahaman Syiah itu di negara ini.

Hasil carian maklumat dalam Internet, didapati gerakan Syiah di Malaysia dibiayai secara langsung oleh kerajaan dan ahli perniagaan Iran. Menerusi gerakan ini, fahaman Syiah disebarkan dengan meluas tanpa sebarang tindakan berkesan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Agama Negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Akhirnya muncul beberapa tokoh profesional Syiah dalam kalangan pemimpin berpengaruh, pensyarah, ahli profesional, pakar perubatan, golongan guru termasuk guru agama sekolah.

Pada hari ini, gerakan menyebarkan fahaman Syiah ini bergerak secara terang-terangan berikutan pertambahan 'ahli' mereka.

Cari dan bacalah maklumat mengenai penyebaran fahaman Syiah di Malaysia supaya kita memahami gerakan mereka.

Kini mereka sebar melalui Internet. Sebelum ini gerakan Syiah menyebarkan fahaman melalui beberapa cara. Pertama melalui lawatan pemimpin negara Iran ke Malaysia yang disusuli dengan kempen dan penerangan fahaman Syiah serta lawatan rakyat Malaysia ke Republik Islam Iran itu.

Kedua melalui pelajar Malaysia yang ditawarkan belajar di Iran dengan diberi biasiswa dan kemudahan asas yang secukupnya atau melalui pegawai-pegawai Kedutaan Iran di Malaysia yang membuat lawatan ke pusat-pusat pengajian tinggi di Malaysia.

Ketiga, dengan memberi hadiah berupa buku fahaman Syiah kepada perpustakaan-perpustakaan umum seperti perpustakaan universiti, masjid dan kedai buku yang terkenal.

Banyak maklumat tentang penyelewengan dan bahaya ajaran Syiah perlu kita ketahui.

Langkah Kementerian Dalam Negeri memantau dan sedia mengambil tindakan undang-undang ke atas beberapa pemimpin kanan sebuah parti politik kerana bertanggungjawab menyebarkan fahaman Syiah di negara ini sangat dialu-alukan.

Apa yang patut kita lakukan sebagai rakyat dan umat Islam berfahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah?

Ikutlah nasihat Tun Dr. Mahathir Mohamad, sebagai ibu bapa dan guru agama elok mereka menyemai dengan mendalam pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam kalangan anak-anak sejak kecil bagi membolehkannya dijadikan pegangan kukuh ketika dewasa kelak.

Kata negarawan itu, kegagalan berbuat demikian, dikhuatiri akan menyebabkan mereka mudah dipengaruhi ajaran lain seperti Syiah atau ajaran sesat yang akan memecah belahkan masyarakat Islam.

Sejak beberapa tahun lalu pelbagai ancaman menimpa umat Islam di Malaysia, namun ada pihak buat tidak tahu apabila perpecahan kecil akhirnya mengancam kedudukan agama dan bangsa mereka.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved