Jumaat, 26 Julai 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Kaunter khidmat pelanggan di 72 pasar seluruh negara

Posted: 26 Jul 2013 12:28 AM PDT

KUALA LUMPUR 26 Julai - Kaunter Khidmat Pelanggan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) disediakan di 72 pasar besar di seluruh negara, mulai hari ini hingga 11 Ogos.

Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata ia diwujudkan sempena pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Aidilfitri.

Semua kaunter itu diselia pegawai penguatkuasa KPDNKK bagi membolehkan pengguna membuat aduan selain menyemak timbangan barangan yang dibeli menggunakan penimbang yang disediakan.

Beliau berharap pengguna dapat memanfaatkan perkhidmatan itu demi kepuasan mereka dan meminta peniaga supaya berhati-hati dan tidak mengambil kesempatan terhadap pembeli.

Bercakap pada sidang media selepas meninjau harga barangan di Pasar Chow Kit di sini hari ini, beliau berkata, hasil tinjauan mendapati para peniaga akur dan tidak mempunyai masalah untuk mematuhi skim itu.

"Ini kerana kementerian telah mengadakan perbincangan dengan semua pihak termasuk persatuan penternak, pengeluar, pemborong dan peniaga serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi menyelaras harga maksimum demi kepentingan pengguna," katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Bashah berkata, peniaga dialu-alukan untuk menjual barangan lebih murah daripada harga ditetapkan bagi membantu pengguna membeli barang keperluan. - BERNAMA

Peniaga, pemborong ingkar harga kawalan boleh dipenjara

Posted: 26 Jul 2013 12:12 AM PDT

HASAN Malek menunjukan tanda harga warna merah jambu yang disarankan pihak berkuasa bagi barangan harga kawalan sewaktu lawatan kerja di pasar besar Jalan Meru, Klang hari ini. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Selangor, Othman Nawang (dua kanan). - UTUSAN

KLANG 26 Julai - Peniaga dan pemborong yang masih berdegil untuk mematuhi peraturan pelaksanaan kawalan harga sempena musim perayaan ini akan dikenakan denda dan boleh dipenjara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berkata, tindakan tegas terhadap peniaga dan pemborong itu adalah mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Kementerian tidak lagi akan berkompromi terhadap peniaga dan pemborong yang masih berdegil mematuhi peraturan.

"Kita tidak pilih bulu...peniaga dan pemborong yang ingkar dengan menjual barangan kawalan lebih tinggi daripada harga siling yang ditetapkan kerajaan bakal dikenakan denda dan penjara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dan melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan di Pasar Besar Jalan Meru, Klang, di sini hari ini.

Hasan berkata, skim kawalan harga yang dikuatkuasa bermula hari ini sehingga 11 Ogos itu bertujuan mengekang berlaku penyelewengan harga sepanjang musim perayaan Aidilfitri.

"Dalam skim ini, sebanyak 20 jenis barang telah dikategori sebagai barang kawalan termasuk ayam, daging lembu, ikan kembung, cili merah, bawang, kubis, telur, tomato, ubi kentang, kacang tanah dan kelapa.

"Barang-barang ini kita tidak letakkan harga siling mengikut suka-suka hati tetapi mengikut pada situasi semasa dan ia dilihat fleksibel...penetapan harga-harga (siling) ini juga masih memberi keuntungan kepada pembeli dan penjual," katanya.

Hasan berkata, pihak penguat kuasa kementerian akan menjalankan pemantauan lebih kerap di lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar pagi dan pasar tani.

"Seramai 1,845 pegawai penguatkuasa dan 1,071 pegawai pemantau harga telah diarah untuk melakukan pemantuan harga di seluruh negara.

"Pengguna juga digalak untuk membuat aduan kepada kami sekiranya terdapat peniaga yang sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan kawalan terutama menjelang Hari Raya," katanya.

Hasan turut menasihatkan peniaga supaya mempamerkan tanda harga jelas untuk setiap barangan termasuk tanda harga khas berwarna merah jambu bagi barang kawalan untuk memudahkan pengguna membuat pilihan. - BERNAMA

Tiada kawasan catat IPU tak sihat hari ini

Posted: 25 Jul 2013 11:43 PM PDT

KUALA LUMPUR 26 Julai - Tiada kawasan mencatat kualiti udara tidak sihat setakat 9 pagi ini, semua kawasan yang dipantau di seluruh negara, merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) baik atau sederhana.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), sebanyak 19 kawasan mencatat bacaan IPU baik dan 33 kawasan merekodkan bacaan IPU sederhana.

Antara kawasan yang berada pada paras baik ialah Alor Setar, Kedah (42); Jerantut, Pahang (43); Kangar, Perlis (45), Tawau, Sabah (33) dan Paka, Terengganu (40).

Kawasan yang mencatat bacaan sederhana termasuk Cheras (62), Pelabuhan Klang (65), Perai di Pulai Pinang (69), Seri Manjung Perak (74) dan Bukit Rambai, Melaka (72).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya). - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved