Jumaat, 26 Julai 2013

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Wanita disyaki ada hubungan sulit mati ditikam suami

Posted: 26 Jul 2013 12:22 PM PDT

Than Dar

BATU GAJAH 26 Julai - Akibat mengesyaki isteri mempunyai hubungan sulit, seorang wanita ditikam sehingga mati oleh seorang lelaki dipercayai suaminya di bilik sewa mereka di sebuah rumah kedai dua tingkat di Jalan Pasar di sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 11.20 malam itu, mangsa, Than Dar, 25, seorang warga Indonesia yang bekerja sebagai pembantu kedai ditemui penyewa lain dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah serta mulutnya berbuih.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, polis yang menjalankan siasatan di lokasi kejadian, menemukan sebilah pisau pemotong sayur di bawah tubuh mangsa selain kesan tikaman di bahagian belakang badannya.

"Polis menangkap empat individu termasuk suaminya yang kesemuanya merupakan warga Myanmar dan berdaftar dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR).

"Kesemuanya yang berumur antara 20 hingga 30 tahun itu ditangkap di sekitar Batu Gajah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Shaharon Anuar berkata, polis percaya motif kejadian adalah disebabkan cemburu berikutan suami mangsa mempercayai isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

Beliau berkata, mangsa tinggal bersama suami dan adik iparnya di dalam rumah kedai berkenaan manakala sebuah lagi bilik di sebelahnya dihuni dua lagi lelaki warga Myanmar.

"Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian disebabkan kesan tikaman di bahagian belakang yang menembusi paru-paru kanan mangsa.

"Kesemua suspek direman selama tujuh hari dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Sementara itu, jiran mangsa yang tinggal di tingkat atas rumah kedai berkenaan, G. Moganathas, 16, mendakwa, sewaktu kejadian, dia mendengar bunyi bising lalu mengetuk pintu rumah mangsa.

"Saya tidak boleh tidur malam kerana bunyi bising seperti bertengkar. Namun, suaminya kata tiada apa-apa. Selepas itu, saya kembali semula dan mendapati suaminya sudah melarikan diri bersama anak lelaki mereka berusia satu setengah tahun.

"Saya lihat mangsa mati terlentang, lalu menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan," katanya.

Pengemis Pakistan kutip RM3,000 sebulan

Posted: 26 Jul 2013 12:22 PM PDT

Dua penguat kuasa Jabatan Imigresen Negeri Sembilan bertindak menahan seorang pengemis wanita warga Pakistan dalam operasi di lampu isyarat dekat Taman AST, Seremban, semalam.

SEREMBAN 26 Julai - Dengan wajah sedih dan tangan dihulur bersama tisu kepada pemandu kereta yang berhenti di lampu isyarat dekat Taman AST, dua wanita pengemis warga Pakistan boleh meraih sehingga RM3,000 sebulan.

Lebih mengejutkan ketika serbuan dilakukan oleh pegawai Imigresen di lokasi tersebut semalam, dua wanita berkenaan sudah pun memiliki tiket penerbangan pulang ke negara asal bersama beberapa keping wang RM1 dan RM5 dengan nilai RM300 hasil kutipan separuh hari mengemis di Jalan Sungai Ujong dekat Taman AST itu.

Kegiatan yang dilakukan warga Pakistan menggunakan Pas Lawatan Sosial selama sebulan ke negara ini dipercayai perbuatan satu sindiket yang menjalankan aktiviti itu sejak beberapa bulan lalu.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman memberitahu, penahanan kedua-duanya dibuat selepas orang ramai membuat aduan berhubung kegiatan itu yang boleh membahayakan keselamatan pemandu, terutama ketika menghampiri kenderaan di laluan sibuk.

"Ketika ditahan, dua wanita itu cuba melarikan diri. Hasil pemeriksaan lanjut terhadap dua wanita berusia 50-an, kami menemukan dua telefon bimbit, stok tisu muka selain longgokan wang di dalam empat buah beg yang dianggarkan berjumlah RM300," katanya di sini hari ini.

Jelas Faizal Fazri, siasatan lanjut turut mendapati mereka mempunyai salinan tiket penerbangan untuk pulang ke negara asal yang sepatutnya hari ini.

"Mereka mempunyai Pas Lawatan Sosial selama sebulan tetapi menyalahgunakan untuk tujuan mengemis," tegasnya.

Malah beliau percaya bahawa wujudnya sindiket terancang yang modus operandinya menggunakan wanita warga Pakistan yang berlainan identiti untuk tujuan mengaburi pihak berkuasa.

"Mereka ini kita lihat sebagai pengemis profesional dan boleh memperoleh pendapatan lebih RM3,000 sebulan hasil kutipan daripada orang ramai.

"Wang berkenaan akan digunakan untuk menyara kehidupan mereka beserta tambang pulang ke negara selepas tugasan selesai," katanya.

Tambah Faizal Fazri lagi, kesemua wanita berkenaan telah dibawa ke Jabatan Imigresen negeri di Wisma Negeri, dekat sini untuk siasatan lanjut sebelum tindakan susulan diambil.

"Kes ini disiasat di bawah Peraturan 39 (b) akta yang sama kerana melanggar syarat pas yang telah ditetapkan," jelas beliau.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved