Khamis, 4 Julai 2013

Utusan Online - Rekreasi


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Pilihan pendaki tempatan

Posted: 03 Jul 2013 11:30 PM PDT

Oleh Muhammad Afiq Mohd Asri

Pemandangan indah yang mendamaikan dari puncak Bukit Tabur yang terletak di Hutan Simpan Hulu Gombak Tambahan.

Bila berbicara mengenai kerja ada yang menganggapnya sebagai sesuatu yang memenatkan ataupun memberi tekanan terutama yang bekerja di ibu kota.

Tetapi itu adalah fitrah hidup manusia untuk mencari sesuap nasi. Sesekali kita haruslah merapatkan hubungan dengan alam semulajadi di mana warga kota harus merehatkan minda dan melibatkan diri dengan aktiviti mendaki yang sekali gus memberi ketenangan serta kepuasan diri.

Saya baru-baru ini berpeluang mendaki bukit Tabur bersama empat rakan dalam ekspedisi yang dijalankan selama sehari dengan melihat panorama damai dan indah di bukit itu yang menawarkan terapi minda bagi warga kota yang sudah lumrah dengan kehidupan penuh tekanan di ibu kota.

Bukit Tabur, yang terletak di Taman Melawati, Gombak, juga dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Bukit Hangus dengan ketinggian 396 meter.

Bukit, yang membentuk permatang kuarza sepanjang kira-kira 14 kilometer itu berada dalam Hutan Simpan Hulu Gombak Tambahan 1 dan boleh dilihat dari lebuh raya Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Bagi laluan pendakian untuk ke sana adalah melalui Kampung Klang Gates, yang terletak 50 meter dari pintu pagar Empangan Klang Gates iaitu di belakang kawasan perumahan Taman Melawati.

Ekspedisi bertujuan berkongsi kemahiran mengambil gambar menerusi aktiviti riadah di samping menghayati keindahan alam semulajadi yang tinggi nilainya di negara ini.

Taman rekreasi

Empangan Klang Gates adalah kawasan tadahan air utama di Kuala Lumpur dan sebuah empangan di Ampang, Selangor yang merentangi Sungai Klang dan adalah empangan yang tertua di Malaysia.

Ia dibuka pada tahun 1958 sebagai satu daripada Projek Nasional Malaysia. Selain empangan, di sana juga terdapat taman rekreasi Klang Gate yang terciptanya kolam-kolam air serta air terjun sepanjang anak sungai Klang Gate dari lebihan tadahan air yang disalurkan.

Bagi peminat aktiviti berkhemah dan merentas hutan pastinya bukit Tabur menjanjikan kepuasan.

Sebelum pengunjung sampai ke puncak bukit, mereka akan melalui beberapa penanda aras yang ditandakan pada batu iaitu dari checkpoint satu hingga checkpoint 12.

Pada checkpoint ketiga, pengunjung akan dapat melihat empangan Klang Gates yang luas seakan laut yang dilitupi banjaran.

Seorang pendaki professional yang mahu dikenali sebagai Alam, 27, sedikit sebanyak memberi penjelasan akan laluan dan pengalaman ke puncak itu.

Katanya, apabila tiba di lokasi, pengunjung akan dibawa oleh pendaki yang berpengalaman melalui kaki bukit Tabur sebelum meneruskan pendakian ke puncak bukit yang memakan masa satu jam setengah.

"Pengunjung bakal diuji oleh laluan yang berbukit-bukau, laluan sempit, tebing curam serta licin selain memanjat batu yang berbahaya.

"Bagaimanapun, segala kesukaran dan keletihan akan hilang apabila pengunjung tiba di puncak bukit yang menjanjikan pemandangan menarik serta suasan nyaman," katanya sambil menambah bahawa laluan denai di bukit itu banyak batuan yang keras.

Menurut Alam, dari puncak bukit pengunjung boleh menikmati pemandangan yang mengujakan iaitu seluruh ibu kota Kuala Lumpur.

Faktor keselamatan

Mendaki adalah aktiviti lasak dan menjadi satu daripada aktiviti yang cukup popular di dunia namun faktor keselamatan harus diutamakan.

Berdasarkan pemerhatian penulis ketika mendaki di bukit Tabur, aliran denai dakian yang ditetapkan begitu sempit.

Apabila berada di atas bukit Tabur, pengunjung akan melalui tebing curam yang tinggi untuk sampai ke puncak serta permukaan bukit yang terdiri daripada batuan yang keras.

Disarankan kepada pengunjung yang ingin mendaki bukit Tabur haruslah dalam berkumpulan ataupun sebelum mendaki melaporkan diri ke balai polis yang berdekatan.

Pengunjung juga tidak digalakkan mendaki ketika hujan kerana laluan akan menjadi licin dan merbahaya.

Di bukit Tabur, terdapat curam yang dalam, pengunjung harus berhati-hati kerana melalui jalan tebing bergenting tinggi.

Penjawat Awam, Mazizul Akmal Abdullah, 27, menjadikan aktiviti mendaki sebagai aktiviti yang wajib dilakukan pada setiap hujung minggu apabila berkunjung di sana.

"Mendaki adalah hobi saya, jika ada kelapangan saya akan ke sini dan bukit Tabur adalah tempat ekstrem yang penuh dengan cabaran.

"Lagipun aktiviti ini sinonim dilakukan di kawasan berbukit-bukau dan gunung-ganang yang memerlukan kekuatan mental dan fizikal," katanya.

Menurut beliau, di bukit Tabur terdapat habitat bagi spesies monyet kecil yang jarang dilihat oleh orang luar.

"Setiap kali mendaki saya akan nampak kumpulan kecil monyet mencari makanan di tebing empangan. Monyet-monyet itu berbulu keperangan manakala ekornya berwarna kemerah-merahan," katanya.

Sementara itu, seorang mahasiswa Aliff Asyraf Wazir, 23, berpendapat dengan melakukan aktiviti mendaki boleh memberi kepuasan diri.

"Ia sebenarnya menyeronokkan, lagipun mendaki di bukit Tabur dapat mengukur tahap stamina seseorang itu sebelum mendaki di gunung yang lebih tinggi.

"Bukit Tabur adalah tempat permulaan bagi seseorang yang ingin berjinak-jinak dengan dunia mendaki dan ia dilakukan secara aktiviti luaran.

"Jika ada kelapangan saya akan membawa kawan yang lain untuk turut serta," katanya sambil menambah bahawa bukit Tabur sebagai bukit yang lebih mencabar jika dibandingkan dengan Bukit Broga di Semenyih, Selangor. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved