Khamis, 4 Julai 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Penantian 14 tahun berakhir

Posted: 03 Jul 2013 11:41 AM PDT

Oleh IFQDAR RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my

Projek pembinaan jalan dari Ladang Kelapa Sawit Sedenak ke Kampung Murni Jaya dan Felda Bukit Batu giat dijalankan dan dijangka siap pada Disember ini.

KULAIJAYA 3 Julai - Selepas 14 tahun menunggu, akhirnya penduduk Kampung Murni Jaya dan Felda Bukit Batu, di sini bakal memperoleh jalan baharu setelah mendapat peruntukan RM2.7 juta daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Jalan tersebut akan menghubungkan Ladang Kelapa Sawit Sedenak ke dua kawasan terbabit yang didiami kira-kira 5,000 penduduk, selain memberi manfaat kepada penduduk di kampung berdekatan seperti Kampung Sungai Siam; Kampung Sungai Besoi; Kampung Sri Muar; Kampung Sungai Sayong 1; Kampung Sungai Sayong 2 dan Kampung Sri Leban.

Ketua UMNO Cawangan Kampung Sungai Sayong, Ibrahim Naim, 52, berkata, projek pembinaan jalan berturap sepanjang lima kilometer (km) dan selebar enam meter itu bermula pada 18 Jun lalu dan dijangka siap 2 Disember ini.

Jelas beliau, projek berkenaan dapat memendekkan tempoh perjalanan dari kampung terlibat daripada 80 km kepada 40 km menuju Bandar Kulaijaya.

"Berita gembira ini sememangnya ditunggu-tunggu sejak sekian lama semenjak kawasan perkampungan ini dibuka sekitar 1963. Kami amat berterima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan yang diberikan meskipun ia banyak kali tertangguh.

"Saya yakin, selepas ini lebih banyak projek pembangunan dapat dilaksanakan, sekali gus dapat memberi kemudahan menyeluruh kepada penduduk kampung serta berlaku perubahan besar pada masa akan datang," katanya kepada pemberita ketika mengadakan tinjauan ke lokasi berkenaan, di sini semalam.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, Ali Mazat Salleh dan jurutera daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kulaijaya, Abdul Jalil Abdul Wahab.

Sementara itu, Ali Mazat menjelaskan, pelaksanaan projek itu sememangnya dinantikan oleh semua penduduk kampung terlibat kerana sebelum ini terpaksa menempuhi perjalanan yang jauh untuk ke pelbagai lokasi sehingga mengambil masa sejam untuk ke bandar Kulaijaya untuk urusan seharian.

"Ia amat menyukarkan terutamanya jika berlaku kecemasan. Sebagai contoh, mereka yang sakit terpaksa pergi ke Hospital Kluang yang jaraknya lebih dekat berbanding daerah Kulaijaya sendiri namun apabila tiba di sana pihak Hospital Kluang meminta kes dirujuk ke hospital daerah kami sendiri.

"Projek tersebut mula diumumkan sejak 1999, namun tertangguh berikutan kekangan termasuk proses mendapatkan keizinan daripada ladang terlibat. Saya percaya selepas ini, ia akan muncul sebagai antara jalan penting dan nilai komersial tanah di kawasan sekitar pasti meningkat sekali gus menjadi hadiah bermakna kepada semua penduduk terlibat," katanya.

Jangan tangkap ikan di perairan negara jiran

Posted: 03 Jul 2013 11:41 AM PDT

Ahmad Maslan (depan, empat dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada empat nelayan Pontian yang dibebaskan oleh pihak berkuasa Indonesia di Pontian, baru-baru ini.

PONTIAN 3 Julai - Nelayan di daerah ini dinasihatkan mematuhi kawasan penangkapan ikan yang ditentukan dan tidak sesekali memasuki kawasan perairan negara jiran bagi mengelakkan mereka ditahan oleh pihak berkuasa negara berkenaan.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berkata, pihaknya tidak mahu lagi ada kes penahanan nelayan tempatan berulang disebabkan mereka gagal mematuhi peraturan.

Beliau berkata, penahanan 12 nelayan tempatan dalam tempoh dua tahun ini perlu menjadi pengajaran kepada semua supaya lebih-lebih berhati-hati ketika menangkap ikan dan tidak menceroboh perairan negara lain.

Menurutnya, kejadian tersebut telah menimbulkan kesukaran kepada pelbagai pihak terutamanya ahli keluarga mereka serta melalui proses perundangan yang ketat sebelum nelayan tersebut dapat dibebaskan.

"Saya berharap selepas ini tiada lagi kes nelayan Pontian ditahan di negara jiran walaupun Jakarta dan Kuala Lumpur mempunyai perjanjian berkaitan isu tersebut yang dimeterai pada 2012.

"Biarpun ada penyelesaian, proses berkaitan memakan masa lama seperti berlaku pada nelayan yang ditahan pada 2011 yang hanya dibebaskan selepas 10 bulan mereka ditahan," katanya dalam majlis penyampaian sumbangan kepada empat nelayan yang baru-baru ini dibebaskan oleh pihak berkuasa Indonesia setelah ditahan pada 22 Mei lalu.

Mereka ialah Mohamad Suria Rahman, 18; Shamsudin Bachok, 37, Jefrry Karim, 33, dan Idris Mohd. Rohani, 24.

Sementara itu, dua lagi kumpulan nelayan berkenaan iaitu Mohd. Salleh Rahman, 29, dan Ahmad Nadzhan Mohd. Nazri, 18, masih ditahan sementara menunggu perbicaraan kes tersebut.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, nelayan berkenaan perlu menjauhi kawasan perairan antarabangsa dan tidak sekali-kali cuba memasuki kawasan negara jiran.

"Mengenai nasib dua orang nelayan yang masih ditahan, perbincangan bersama Wisma Putra akan dilakukan dan berharap keluarga dapat bersabar serta berdoa supaya mereka dibebaskan secepat mungkin," katanya.

Ahmad berkata, pihaknya akan berhubung dengan Pegawai Konsul Malaysia di Pekan Baru bagi mendapatkan maklumat tentang perbicaraan yang akan dijalankan terhadap Mohd. Salleh di Tanjung Pinang.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved