Selasa, 16 Julai 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Petisyen PKR ditolak, kerusi Parlimen Machang kekal milik BN

Posted: 16 Jul 2013 11:49 AM PDT

Mohd. Hafarizam Harun (tengah) bersama barisan peguam BN di luar Mahkamah Pilihan Raya, Kota Bharu selepas mahkamah menolak rayuan petisyen pilihan raya oleh PKR bagi mencabar keputusan PRU-13 dengan kos dan mengekalkan kemenangan kepada BN di Kota Bharu, Kelantan, semalam.

KOTA BHARU 16 Julai - Kerusi Parlimen Machang kekal milik Barisan Nasional (BN) apabila Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini menolak petisyen Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi mencabar keputusan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu.

Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim memutuskan demikian setelah menerima bantahan awal BN dengan alasan pihak pempetisyen iaitu bekas calon PKR kerusi itu, Wan Zawawi Wan Ismail gagal mematuhi beberapa peraturan di bawah Kaedah 9 Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.

Beliau memerintahkan Wan Zawawi membayar kos berjumlah RM60,000 iaitu merangkumi RM30,000 kepada responden pertama, Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, dan masing-masing RM15,000 kepada responden kedua, Pegawai Pengurus Pilihan Raya serta responden ketiga, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dalam penghakimannya, Hakim Zamani berkata, kegagalan utama pihak pempetisyen ialah berkaitan notis kelayakan peguam yang hanya membenarkan peguam Hisham Fauzi mewakili pempetisyen dan bukannya penama lain selain hujahan pihak pempetisyen yang tidak menepati kaedah.

Pada 10 Julai lalu, tiga peguam daripada PKR, R. Sivarasa, Latheefa Koya, dan Muhammad Afiq Muhammad Noor muncul secara tiba-tiba bagi menggantikan Hisham dalam prosiding petisyen tersebut.

Bagaimanapun kehadiran mereka dibantah oleh peguam BN, Datuk Mohd. Hafarizam Harun dengan alasan ketiga-tiga mereka tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) kerana bukan peguam yang dilantik oleh pempetisyen mengikut Kaedah 9 Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.

Bantahan itu turut disokong oleh Peguam Kanan Persekutuan, Azizan Md. Arshad yang mewakili responden kedua dan ketiga.

Bantahan tersebut kemudian diterima oleh mahkamah.

Terdahulu, Mohd. Hafarizam turut memaklumkan kepada mahkamah tindakan Latheefa yang mempertikaikan keputusan Hakim Zamani itu melalui laman web sosial, Twitter dan menyifatkan tindakan itu sebagai satu penghinaan.

Dalam respons beliau, Hakim Zamani menyatakan, perkara itu sepatutnya dibawa kepada Majlis Peguam dan beliau tidak mahu melibatkan dirinya dalam sebarang provokasi seperti itu.

"Majlis Peguam yang perlu menasihati peguam dan saya tidak mahu terlibat dalam tindakan berbentuk politik kerana segala keputusan yang saya buat adalah telus," tegasnya.

Pada pilihan raya umum lalu, calon BN, Ahmad Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Machang berjaya menewaskan Wan Zawawi dengan majoriti 805 undi.

Kes khalwat Beego: Serbuan atas aduan pasangan lain

Posted: 16 Jul 2013 11:49 AM PDT

KUALA LUMPUR 16 Julai - Serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap sebuah rumah yang turut didiami pelakon dan bekas penyanyi kumpulan Phyne Ballerz, Beego, dua tahun lalu dibuat berikutan aduan orang awam terdapat satu pasangan lelaki dan perempuan bukan muhrim berkhalwat di dalam rumah itu.

Pegawai Penguat Kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Gombak Timur JAIS, Muhammad Luqman Ramli berkata, aduan yang diterima itu menyebut lelaki berkenaan bernama Fikry Zainon manakala pasangannya pula bernama Hadijah.

Bagaimanapun, kata saksi pihak pendakwaan itu, semasa serbuan berkenaan, pihaknya mendapati terdapat tiga individu lain di dalam rumah tersebut iaitu Beego dan rakannya, Mohd. Arsli Meor Atan Ahmad dan Azlina Yazit @ Aziz.

Muhammad Luqman berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam, Fakhrul Azman Abu Hassan dalam perbicaraan kes khalwat Beego dan dua rakannya di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Luqman bersetuju ketika disoal Fakhrul Azman bahawa aduan yang dibuat berhubung kes itu adalah palsu kerana terdapat perbezaan dalam aduan yang hanya menyebut satu pasangan berbanding fakta iaitu semasa serbuan terdapat tiga individu lain.

Saksi itu turut mengakui penyiasatan terhadap kes tersebut tidak lengkap kerana tidak melakukan pemeriksaan di salah sebuah bilik dan bilik air di dalam rumah berkenaan.

''Saya percaya tidak ada orang di dalam bilik berkenaan dan penghuni rumah itu turut memaklumkan tiada sesiapa di dalam bilik air,'' katanya.

Beego atau nama sebenarnya, Md. Aszerul Nizam Abdullah, 33, dan dua rakannya itu, Fikry dan Mohd. Arsli dibicarakan setelah mereka mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkhalwat dengan dua kenalan wanita mereka, Hadijah Mohamad Mokhar dan Azlina di Oakleaf Kondominium, Bukit Antarabangsa, Ampang di sini pada pukul 6 pagi, 23 Februari 2011.

Azlina dan Hadijah yang berusia awal 30-an mengaku bersalah pada Mei tahun lalu atas tuduhan tersebut dan masing-masing membayar denda berjumlah RM3,000 setiap seorang.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 20(1)(a) bagi lelaki dan Seksyen 20(1)(b) bagi perempuan, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya.

Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin menetapkan perbicaraan kes itu bersambung 1 Oktober ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved